Pengerusi pemulihan demokrasi dan mobilisasi Pemuda PAS Suhaizan Kaiat (bawah) berkata, ini kerana berdasarkan semakan di laman web Jabatan Pendafaran Negara (JPN), tiada kod 71 disenaraikan sebagai kod rasminya.
"Mengapa JPN menggunakan kod negara '71' sedangkan setiap negara seluruh dunia sudah mempunyai kod negara kelahiran yang telah ditetapkan oleh JPN sendiri," katanya.
Terdapat seramai 170,818 dalam Daftar Pemilih Induk (DPI) suku ke dua 2011 Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menggunakan kod itu, katanya.
Dalam kenyatannya hari ini, merujuk kes kontroversi Mismah sebelum ini, Suhaizan berkata, wanita itu sepatutnya menggunakan kod negara Indonesia 61 tetapi sebaliknya diberikan kod 71.
"Oleh itu Pemuda PAS menganggap bahawa kod 71 adalah suatu kod warganegara yang tidak diketahui negara asal kelahirannya.
"Walaupun terdapat kecurigaan tetapi oleh kerana nama mereka berada dalam DPI maka mereka diberi hak mengundi bagi memilih ahli parlimen dinegara kita," katanya lagi.
'Negeri Pakatan teramai'
Beliau yang juga ketua Pemuda PAS Johor berkata, sebahagian besar pemegang kod itu terdiri daripada rumpun bangsa Cina sebanyak 42.33 peratus atau sebanyak 71,252. Manakala rumpun bangsa Indonesia pula hanya meliputi 4.37 peratus (7,468 orang).
Manakala menurut pecahan negeri, Suhaizan berkata, negeri Pakatan Rakyat, termasuk Perak dan Wilayah Persekutuan mempunyai pengundi yang tidak diketahui negara asal kelahiran seramai 57.32 peratus (97,923 orang) - jumlah cukup besar yang didakwa boleh menumbangkan kerajaan dalam pilihan raya.
Justeru, Pemuda PAS mengutarakan beberapa persoalan kepada JPN, iaitu:
Kenapa begitu ramai sehingga 170,818 warganegara yang tidak diketahui negara asal kelahirannya dan mereka layak mengundi?
Apakah ada agenda tersembunyi di belakang JPN bagi tujuan manipulasi pilihan raya?
Apakah suatu kebetulan atau sememangnya satu perancangan bahawa negeri Pakatan mempunyai bilangan paling ramai pengundi yang tidak diketahui negara asal kelahirannya?/malaysiakini