.

Sunday 17 July 2011

Kita mahu kebebasan media, Mahfuz jawab Najib

GOMBAK, 17 Julai — Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menyelar kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kelmarin dengan memberitahu bahawa cara berpolitik yang sebenar dan intelektual ialah melalui kebebasan media, yang gagal dijamin oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, dengan adanya kebebasan media rakyat akan dapat mengakses segala maklumat dengan tepat dan tidak berat sebelah.

“Dia (Najib) bercakap mengenai ‘kami bentangkan kes kami dan pembangkang kemukakan kes mereka’. Apa yang kita mahukan ialah maklumat yang bebas,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena ini.

“Selain tuntutan Bersih, kita juga menuntut media yang bebas. Jika tidak, rakyat yang inginkan berita yang benar pun sukar kerana media yang sedia ada memutarbelitkan cerita.

“Media yang bebas mesti ada. Dengan itu barulah kita dapat berpolitik secara intelektual. Bukan dengan cara bentangkan kes,” kata beliau pada ceramah perdana sempena pelancaran ‘Yellow Saturday’ oleh PAS Wilayah Persekutuan — seminggu selepas perhimpunan Bersih 2.0 yang membawa warna kuning.

Putrajaya telah mengharamkan kemeja-T warna kuning Bersih 2.0 Bersih 2.0 juga telah diisytiharkan sebagai haram.

Dalam satu kenyataan di London kelmarin, Najib berkata demonstrasi jalanan bukan jawapan bagi melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan kerana perbuatan itu boleh menjadi tidak terkawal dan mungkin mengakibatkan kecederaan serta kerosakan harta benda.

“Sekiranya ada pihak yang masih tidak berpuas hati dengan kerajaan, marilah kita selesaikannya apabila tiba pilihan raya dan biar rakyat yang membuat keputusan,” katanya.

“Kami akan bentangkan kes kami dan pembangkang akan kemukakan kes mereka. Biar rakyat yang menentukannya,” kata Perdana Menteri.

Kata Najib: “Kita tidak perlukan semua ini (demonstrasi).”

Mahfuz menambah tumpuan utama Pakatan Rakyat juga kini ialah untuk mendapatkan gelombang yang lebih besar menghadapi pilihan raya akan datang.

Katanya, dengan kehadiran golongan muda pada himpunan Bersih 2.0 9 Julai lalu, jelas menunjukkan golongan itu kini telah bangkit.

“Antara manfaat yang kita dapat lihat daripada himpunan Bersih lalu ialah sebanyak 70 peratus yang hadir ialah daripada golongan muda. Inilah kebanggaan Malaysia. Anak-anak muda kini bangkit untuk pertahankan masa depan negara,” ujarnya.

Tambah Mahfuz, kehadiran lebih 50,000 menunjukkan rakyat kini inginkan satu pilihan raya yang bersih kerana pilihan raya di Malaysia merupakan pilihan raya yang paling tidak demokratik.

“Rakyat sekarang sudah sedar mengenai sikap sebenar polis pada himpunan lalu dan kerana tindakan polis itu juga ia membangkitkan kebencian rakyat kepada BN dan Umno yang mahukan pilihan raya yang bersih.

“Kita juga perlu hayati apa yang dituntut bersih. Jangan pergi himpunan sahaja tetapi tidak hayati lapan tuntutan ini,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist