.

Monday 23 November 2009

Apabila Keris Menikam Diri, Pilihlah Jalan Kiri! | Nizar News

Bah Politik Meragut Nyawa
Apabila Keris Menikam Diri, Pilihlah Jalan Kiri!


Oleh : Mohd Sayuti Omar

SATU berita tidak sedih dan tidak mengejutkan dari Kota Bharu yang baru diterima, Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menasihati menantunya Abdul Ariffahmi Abd Rahman, supaya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PMBK. Arahan Nik Aziz itu dilihat sesuatu yang berat dan bercanggah dengan kenyataan-kenyataan beliau sebelum ini terhadap menantunya itu.

Arahan itu bagaimana pun tidak ganjil kepada pandangan umum kerana sikap Nik Aziz meletakkan menantunya di situ dilihat janggal kerana ia menimbulkan berbagai tanggapan negatif. Saya sendiri pernah menulis dalam blog mempertikaikan kewajaran beliau melantik Ariffahmi dan menganggap ia adalah satu keputusan yang akan menyusahkan dirinya sendiri dan bukan tindakan yang bijak.


Bagaimana pun Mursyidul Am Pas itu ada hujjah sendiri apabila beliau inginkan kepada sesuatu. Dia akan mempertahankan keinginan itu dengan hujah-hujah politik dan agama yang selamba hatta menyalahi adat. Dia seorang yang mempunyai keyakinan diri yang kuat.
Mengenai Ariffahmi apabila dipersoalkan tindakan itu berbau kronisme, Nik Aziz bertahan dengan mengatakan menantunya itu layak dan berkelulusan (Ir).


Kalau tidak silap, dua kali dia memperakui akan kebijaksanaan dan kehebatan menantunya itu. Kadang-kadang cara dia mempertahan dan memuji menantunya itu berlebih-lebihan sehingga boleh menghakis wibawa beliau sebagai seorang ulama.


Hari ini apabila beliau dikatakan telah mengarahkan menantunya melepaskan jawatan itu ekoran timbul kemelut di PMBK sejak minggu lalu, ia dilihat kontras dengan pendiriannya sebelum ini. Apakah arahan Nik Aziz itu menandakan dia sudah lupa kepada apa yang diucapkan sebelum ini ataupun bertindak bijak apabila menantunya dilihat bermasalah? Apakah beliau sudah tidak dapat bertahan disebabkan daya tahan atau anti bodi politiknya sudah mulai lemah?


Sekiranya tindakan itu demi mementingkan jemaah, semua harus memuji keputusan demikian. Bukan saja Nik Aziz tetapi sesiapa saja yang berada dalam jemaah harus mendahului jemaah daripada kepentingan diri dan kroni. Segunung pujian patut diberikan kepada Nik Aziz. Bagaimana pun sekiranya arahan Nik Aziz ke atas menantunya itu kerana desakan pihak-pihak tertentu yang berkepentingan ia melambangkan akan kelemahan prinsip Nik Aziz dalam soal yang beliau sendiri mempertahankan sebelumnya.


Dalam pada itu terdengar juga sebelum ini bahawa ada orang yang memberi kata dua kepada Nik Aziz sama ada memilih orang tertentu atau pun Ariffahmi (menantunya). Sudah pasti kata-kata ini menyempitkan keadaan dirinya menyebabkan beliau tidak mempunyai pilihan lain.


Sekali lagi ditegaskan jika keadaan benar, maka apa yang pernah dilakukan oleh Nik Aziz kira-kira hampir 30 tahun dulu terhadap Datuk Mohd Asri Muda kini berlaku kepada dirinya sendiri. Sekitar tahun 1982, Nik Aziz pernah memberi kata-kata dua kepada ahli dan pemimpin Pas Kelantan sama ada pilih dia ataupun Asri Muda. Kata-kata yang bersifat egois itu yang tidak sepatutnya dilafazkan Nik Aziz tetapi telah termaktub sebagai satu sejarah.


Sejarah kejam ini nampak berulang, dan kini ia menimpa ke atas batang tubuh Nik Aziz. Apakah ini hukum karma Allah? Walhualam!


Secara logiknya memang wajar kalau Ariffahmi dinasihati berhenti apabila beliau menimbulkan masalah dan memberi damage kepada parti dan kerajaan Pas. Dalam konteks ini kepentingan jemaah harus diutamakan. Bukan sahaja setakat pegawai penjawat awam seperti Ariffahmi tetapi penjawat jawatan politik juga kalau sudah menimbulkan masalah kepada parti harus diminta melepaskan jawatan. Ia tidak terkecuali juga untuk Nik Aziz sendiri.


Dalam kes Ariffahmi ini ada sedikit kekeliruan. SPRM baru dikatakan membuka fail siasatan ke atasnya, namun Nik Aziz dipercayai atas nasihat kepimpin Pas telah mengambil keputusan agar meminta Ariffahmi berhenti. Apakah keputusan ini sesuatu yang bijak? Memang sebagai penjawat awam Ariffahmi berada di bawah bidang kuasa orang politik dan Kerajaan. Apa saja yang diarah Ariffahmi harus akur. Tetapi persoalannya apakah nasihat itu dibuat tanpa mengira langsung kedudukan Ariffahmi dengan Nik Aziz?

Apapun satu babak awal dalam cerita yang boleh dinamakan "Perang PMBK Bah Merah Politik Pas Kelantan" hari ini sudah pun berakhir. Orang yang didesak agar berundur telah berbuat demikian. Masih banyak lagi babak-bakak yang bersambungan dengan perang ini yang masih belum selesai. Kickdefella kini sudah boleh mengilai terbahak-bahak kerana perjuangannya sudah berjaya.


Apakah selepas ini ia memerlukan Nik Aziz sendiri melepaskan jawatan sebagai MB? Kemudian diikuti dua atau tiga orang Exco yang tidak disenangi juga berbuat demikian? Sekiranya Nik Aziz bermaruah dan berprinsip beliau perlu mengambil tanggungjawab untuk melepaskan jawatan kerana dialah yang membawa masuk Ariffahmi ke dalam PMBK yang kemudian memberi masalah kepada Pas. Kemaafan oleh Pas atas kekhilafannya itu disebabkan kerana dia seorang Mursyidul Am Pas tidak boleh diterima. Status itu tidak dapat menyucikan segala-galanya.
Beliau sering bermadah kalau waktu Zohor orang suruh dia berhenti, waktu Asar dia akan berhenti. Tidakkah apabila beliau menyuruh menantunya berhenti atas arahan pucuk pimpinan Pas itu ianya sebagai signal untuknya juga?


Pada saya masanya juga sudah sampai dan sesuai untuk Tokguruku Nik Aziz ikut sama berhenti bagi mengiringi kesenduan menantunya. Tok guru sudah terlalu letih sangat dah. Sebagai seorang mertua yang baik seharusnya mengiringi perjalanan menantu yang baik. Iya untuk senang Tok Guruku sedia dan relalah pilih jalan kiri walaupun pedih. Kekeramatan dan kehebatan Tokguru nampaknya sudah makin menulah! [wm.kl. 4:30 pm 23/11/09]

Sumber : msomelayu.blogspot.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist