.

Sunday 18 October 2009

PAS WAJIB BERUBAH ! | Nizar News

Setelah perwakilan ke Mesyuarat Agung Luar Biasa MCA dengan beraninya menolak pemimpin yang tidak bermoral kerana mengamalkan rasuah dan hubungan seks, UMNO yang mengemukakan calon perasuah di Bagan Pinang diterima oleh lebih 80% pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka. Hal ini sesungguhnya amat mengecewakan pejuang integriti dan pendakwah Islam. Satu keanehan yang diserlahkan melalui dua insiden itu ialah kewujudan unsur paradoks. Orang bukan Islam bersungguh-sungguh memerangi rasuah dan aktiviti tidak bermoral. Orang Islam pula "menghalalkan" rasuah, penyelewengan, dan salah guna kuasa.

Keanehan itu bukan sahaja memalukan seluruh umat Islam di Malaysia malahan juga mengundang banyak persoalan yang kemudiannya mengusutkan pemikiran. Pengusutan itu tidak syak lagi menjadi duri dalam daging kehidupan duniawi dan menjanjikan kecelakaan di akhirat kelak. Mereka yang beragama Islam tidak boleh mempertikaikan kesahihan kenyataan itu. Tindakan yang positif perlu diambil bagi menanggulangi kecacatan itu.

Sehubungan itu, islamisasi perlu dihidupkan dan digerakkan semula. Kita tidak boleh membiarkan masyarakat Islam di Malaysia dikeji gara-gara kecelaruan pemikiran pelaksana yang mengambil mudah hukum-hakam Islam. Tentulah tidak masuk akal apabila seseorang mengaku dirinya terlibat dengan rasuah tiba-tiba muncul sebagai insan bersih setelah selesai menjalani hukuman parti, sedangkan orang lain yang didakwa melakukan benda yang sama diseret ke mahkamah.

Dalam hal yang disebutkan di atas, bukan sahaja parti itu yang kelihatan berat sebelah malahan juga SPRM yang sudah dinaiktaraf jelas memaparkan sifat tidak telus dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan. Perbuatan khianat ini perlu dihentikan dengan segera. Rakyat wajib menerima maklumat sesahih mungkin tentang kebobrokan itu. Dengan apa cara sekalipun mereka wajib dididik supaya membenci perasuah, penyeleweng, dan pemimpin yang menyalahgunakan kuasa. Selagi hal ini gagal ditangani, selagi itulah kebobrokan tersebut berterusan.

Demi kelangsungan perjuangan, PAS perlu menggalas tanggungjawab ini melalui perancangan yang sistematik dan praktikal. PAS tidak boleh lagi beretorik tentang UMNO menolak Islam tanpa membuktikan kerja buat PAS yang bukan sahaja selaras dengan ajaran Islam malahan juga mendatangkan kemaslahatan kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Banyak ranjau yang perlu ditempuhi untuk merealisasikan hasrat tersebut. Namun, kata orang tua-tua, "Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai."

Keengganan PAS untuk memperjuangkan tugas murni itu akan berakhir dengan tohmahan yang akan mengembalikan parti Islam itu ke takuk lama. Sehubungan itu, slogan PAS FOR ALL dan Islam Memimpin Perubahan akan menjadi gajah putih yang sesuai diletakkan di muzium sahaja. _Pena Mutiara
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist