.

Friday 30 October 2009

ISU PENDERAAN MANTIK HANI : Oleh Nobisha | Nizar News

PENDERAAN MANTIK HANI

Manusia waras tidak boleh menerima penderaan sehingga menyebabkan kematian pembantu rumah warga Indonesia, Mantik Hani. Ia adalah satu perbuatan gila yang tak dapat dimaafkan. Walaupun tidak setuju dengan perbuatan itu, malangnya sebahagian besar kita memilih untuk mendiamkan diri.

Alasannya pelbagai. Mungkin kita sudah tidak ambil pusing dengan apa yang berlaku di sekeliling; masing-masing sibuk dengan urusan yang tak pernah sudah. Mungkin juga marah dengan sikap segelintir rakyat Indonesia yang ingin menyapu (sweeping) rakyat Malaysia dan membakar Jalur Gemilang.

Ada juga yang berhujah bahawa pembantu rumah juga banyak menimbulkan masalah kepada rakyat negara ini. Ya, saya setuju. Namun itu bukanlah alasan untuk kita tidak ambil peduli kepada penderaan yang dilakukan oleh segelintir majikan yang tidak berhati perut.

Sementara apa yang saya sebutkan itu ada asasnya, namun saya fikir kita tidak harus mendiamkan diri; sebaliknya bersuara dan menyatakan sikap dalam soal ini.

Mungkin ada yang berkata menjerit pun tak ada gunanya; bagaikan anjing menyalak bukit. Biarlah saya berbeza pendapat dalam hal ini. Paling kurang kita memberikan mesej yang jelas kepada rakyat Indonesia bahawa kita memprotes perbuatan tersebut, lalu membantu menjernihkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia.

Pada masa yang sama, suara penentangan kita akan membolehkan isu ini dilihat sebagai tidak menggambarkan layanan majikan kepada pembantu rumah yang bekerja di Malaysia. Saya percaya sebahagian besar majikan di negara ini melayani pembantu rumah dengan baik dan penuh berhemah.

Sekiranya kita mendiamkan diri, kebimbangan saya ialah isu ini akan dimainkan oleh media massa dan akhir sekali kita dilihat sebagai setuju dalam senyap dengan perbuatan gila ini.

Ah, kan orang tua-tua selalu berkata, "Diam tanda setuju!" _ BICARA NOBISHA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist