.

Thursday 15 October 2009

Agenda Rakyat di PWTC : Nobisha | Nizar News

Oleh : Nobisha

Saya mengucapkan selamat bersidang kepada perwakilan UMNO di PWTC. Malam tadi, saya sempat bertemu beberapa orang teman lama di sana dan mereka berbicara mengenai perubahan. Nampaknya harapan mereka terlalu tinggi.

Kebimbangan saya ialah sekiranya harapan ini tidak diuruskan dengan baik, ia boleh memberikan masalah kepada parti itu -- terutama sekali apabila cita-cita untuk melihat perubahan itu tidak kesampaian.

Apa pun, saya amat berharap untuk melihat kualiti dalam perbahasan pada tahun ini. Saya tidak mahu membuat apa-apa penilaian awal atau membuat sangkaan tertentu. Pun begitu, saya harapkan perwakilan akan beralih dari bercakap hal-hal parti semata-mata kepada menggunakan wadah parti untuk membicarakan masalah rakyat yang lebih besar. Perbahasan sebegini penting kerana ia memberikan mesej kepada pendengar di luar PWTC bahawa parti itu prihatin dan memperjuangan isu mereka.

Sebenarnya banyak isu pembelaan rakyat yang boleh dibahaskan. Oh ya, isu-isu politik baru, governans, partisipasi dan integriti politik juga harus dibahaskan secara mendalam. Pandangan saya ialah UMNO tidak harus terperangkap dengan membahaskan pindaan perlembagaan semata-mata sehingga orang merasakan parti itu tidak mampu berbicara sesuatu yang lebih besar dari itu. Kalau pun membicarakan soal pindaan perlembagaan, pembahas harus mampu mengaitkan bagaimana pindaan itu akan memberikan kesan kepada kebajikan rakyat, sekaligus memupuk budaya politik Malaysia yang lebih baik.

Penekanan harus diberikan kepada agenda rakyat. Saya sebutkan hal ini kerana sebagai seorang "pelajar" pentadbiran awam, saya dapati banyak kajian yang menjelaskan kegagalan perkhidmatan yang baik adalah disebabkan kebanyakan perubahan yang dibuat adalah bersifat "manager oriented", bukannya "client oriented."

Dalam konteks ini, UMNO tidak harus membuat perubahan untuk menguruskan masalah UMNO semata-mata tetapi yang lebih penting ialah menyelesaikan isu-isu rakyat. Dalam era politik 2.0 dan dengan kepantasan maklumat aliran media baru, perwakilan UMNO harus memanfaatkan persidangan ini untuk berkomunikasi mesej ini kepada rakyat tanpa ragu.

Kebimbangan saya ialah sekiranya perhimpunan kali ini sekadar menjadi tempat untuk "opposition bashing", maka sukarlah parti itu hendak melangkah ke hadapan. Sebagai sebuah parti komponen Barisan Nasional yang menjadi kerajaan, UMNO harus mampu melihat agenda perjuangan yang lebih besar.

Sumber : Bicara Nobisha
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist