Saturday, 5 September 2009

Laporan petugas khas PKFZ akan dibentangkan di Kabinet - PM | Nizar pkfz

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata laporan pasukan petugas khas mengenai hasil siasatan isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang diterimanya semalam akan dibentangkan pada mesyuarat mingguan Kabinet Rabu ini.

"Siasatan masih berjalan dan pihak polis telah mengambil tindakan membekukan akaun syarikat Kuala Dimensi (Sdn Bhd) dan kita akan membuat beberapa keputusan susulan berdasarkan kepada laporan pasukan petugas khas daripada pelbagai segi, (serta) satu siasatan polis," katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan kuarters Jabatan Kerja Raya di Jalan Cheras di sini hari ini.

"Satu lagi apa yang kita nak lakukan dari segi masa depan PKFZ," katanya.Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan pasukan petugas khas mengenai PFKZ kepadanya semalam di Putrajaya.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat bersama anggota pasukan petugas termasuk ketuanya peguam Vinayak Pradhan, dari firma perundangan Skrine mengadakan pertemuan dengan Najib selama sejam di pejabat Perdana Menteri.

Anggota pasukan petugas khas itu turut dianggotai oleh Lim Chee Wee, rakan kongsi Skrine, pengarah urusan PricewaterhouseCoopers Advisory Services (PwC), Chin Kwai Fatt, dan pengarah eksekutif kanan PwC Lim San Peen.

Pasukan Petugas Khas itu ditubuhkan oleh Kementerian Pengangkutan pada Jun lepas bagi mengemukakan cadangan kepada Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) untuk tindakan susulan kerajaan berhubung laporan audit PKFZ.

Pasukan itu yang dibentuk bersamasama dengan jawatankuasa tadbir urus korporat dan jawatankuasa eksekutif diberi tempoh dua bulan untuk mengemukakan cadangan itu.

Mengenai bonus untuk kakitangan kerajaan sempena sambutan Hari Raya, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata: "Tunggulah."

"Tunggu KSN (Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan) tengah berbincang dengan Cuepacs dan sebagainya," katanya.BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Blog Pro PR (1)