LAHAD DATU – Mahmood Mallang merupakan seorang yang sangat dihormati oleh penduduk Kampung Tanjung Labian, di sini.
Berasal dari keturunan Sulu, beliau yang dilahirkan di Pulau Sibutu,
Filipina mula berhijrah ke sini sejak berusia 18 tahun lagi.
Beliau yang berusia 72 tahun kini pemegang kerakyatan Malaysia dan
telah dilantik menjadi ketua kampung di situ sejak beberapa tahun lalu.
Sewaktu hari pertama ketibaan pengganas militan Sulu tiba di kampungnya, Mahmood berada di bandar Lahad Datu.
Beliau hanya menyedari berlaku peristiwa pencerobohan ini
setelah dimaklumkan melalui telefon bimbit oleh anaknya, yang sebelum
itu berjaya melarikan diri setelah dipukul dan dijadikan tebusan oleh
puak pengganas Sulu yang mengepung kampung mereka.
” Mereka tahan anak saya, bahkan rumah saya pun mereka bakar
namun saya nekad tidak mahu bersubahat dengan puak pengganas ini, saya
enggan tunduk walau apa cara sekali pun,” tegasnya ketika ditemui
Mynewshub.my di sini hari ini.
Menurut Mahmood, beliau sedar ramai penduduk di kampungnya berasal dari Filipina dan tinggal tanpa izin sejak sekian lama.
Namun, katanya, mereka ini jarang menimbulkan masalah malah ramai yang sudah berkahwin dan beranak pinak di kampung tersebut.
Katanya, ini disebabkan tanah asal kelahiran mereka di Filipina
sangat mundur hingga susah untuk mencari rezeki bagi menyara keluarga.
Sebab itu, katanya, beliau hairan bagaimana puak yang mendakwa
berasal dari Kesultanan Sulu ini sanggup bertindak kejam dan di luar
batasan hingga menyusahkan mereka yang telah lama bermaustatin di sini
khususnya dan di Sabah amnya.
” Yang pasti, saya diberitahu ada pihak di sana mendakwa
mereka telah ditipu dan dimomok-momokkan kononnya negeri ini telah
dikuasai oleh geng Sultan Kiram ini, mereka juga telah dijanjikan dengan
pekerjaan namun bila sampai ke sini, lain pula jadinya.
” Saya diberitahu ramai yang terkejut apabila tiba-tiba
diminta mengangkat senjata sedangkan niat mereka datang ke sini hanyalah
untuk mencari rezeki, bukan untuk berperang,” katanya.
Menurut Mahmood, beliau percaya ada dalang dan tali barut yang memainkan peranan di sebalik semua yang berlaku.
Katanya, walaupun beliau sendiri orang Sulu dan berasal dari Filipina
namun ini bukan bermakna beliau perlu tunduk dan akur dengan kemahuan
puak pengganas berkenaan.
” Sebenarnya ‘jeneral’ Musa itu sendiri adalah sepupu kepada isteri
saya namun itu bukan alasan untuk saya bersubahat dengan mereka dalam
hal ini.
” Kami sudah berjanji untuk menumpahkan taat setia kami pada
Malaysia, mereka (pengganas) tidak boleh paksa untuk kami bersama mereka
dalam perjuangan yang sia-sia ini,” katanya -
Mynewshub.my