BEAUFORT - Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji Datuk Seri Panglima Lajim
Ukin dan Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing atas keberanian mereka
melawan regim penguasa yang zalim.
Menyifatkan sifat itu tidak dimiliki Perdana Menteri, Ketua Pembangkang
itu secara seloroh, berkata mereka mengambil jalan susah demi
kepentingan rakyat.
“Saya kagum dengan keberanian Lajim, Wilfred. Inilah ciri-ciri kualiti
seorang pemimpin – berani. Mereka cari jalan susah, nak lawan PM, nak
lawan seluruh jentera BN.
“Sebab itu saya salut, inilah hero rakyat yang sebenar,” katanya sambil
menempelak Datuk Seri Najib Razak yang takut berdebat, malah tidak
berani mengumum tarikh pilihan raya.
Beliau juga bersyukur kerana Lajim dan Wilfred tidak keseorangan,
sebaliknya dikerumuni rakyat segenap kaum apabila memutuskan untuk
meninggalkan BN.
Anwar turut mengingatkan mereka, berapa jentera media Umno BN akan
menyerang mereka setiap hari berikutan keberanian kedua-dua pemimpin
itu.
“Saya cakap dengan isteri Lajim, kena kuat. Umno BN takkan biar begitu
sahaja. Tapi, dengan rakyat bersama kita, Insya-Allah semua akan
berjalan lancar.
“Ada yang kata Anwar beli Lajim, beli Wilfred. Akupun mana ada duit.
Umno lainlah, bolot dan rampas kekayaan rakyat Sabah,” katanya.
Beliau turut meminta rakyat Sabah supaya memilih pemimpin yang betul
bagi memastikan nasib mereka dibela, bukannya ditentukan seorang dua
pemimpin atasan.
“Dulu, bila saya kata ada kejutan di Sabah, pemimpin Umno BN permainkan
saya tapi kejutan sebenar bukan penyertaan mereka (Lajim dan Wilfred)
tetapi kebangkitan rakyat Sabah,” katanya.
Terbaru kecoh lagi: Bendera China di replika roket pula
52 seconds ago