skip to main |
skip to sidebar
Penculikan di Semporna : Belum Apa-Apa, Najib Dah Buat Spekulasi
Belum Apa-Apa, Najib Dah Buat Spekulasi
Oleh : Shahbudin Husin
Negara nampaknya dirundung malang lagi. Belum pun nampak kekeruhan
hubungan Malaysia dengan China dapat dijernihkan berikutan insiden
kehilangan pesawat MH370, kini berlaku lagi kejadian penculikan dua
pelancong di Semporna, Sabah di mana salah seorang daripadanya adalah
warga China. Seorang lagi mangsa ialah rakyat Filipina.
Dua kejadian dalam tempoh berhampiran ini bukan saja akan menjejaskan
nama baik negara serta hubungan dengan China, bahkan pastinya juga akan
menjejaskan kedatangan pelancong daripada negara tersebut ke negara
kita.
Memang diketahui Malaysia adalah antara negara yang paling digemari oleh
pelancong China. Jika dalam insiden MH370, 158 daripada 239
penumpangnya adalah warga China, ketika kejadian penculikan di sebuah
resort di Semporna itu pula, daripada 61 pelancong yang sedang menginap,
59 daripadanya adalah warga China.
Maka, dengan kemarahan yang belum reda daripada waris penumpang MH370
yang tidak puas hati berkaitan ketelusan maklumat mengenai kehilangan
pesawat yang sudah menjangkau hari ke 25 ini, berlakunya kejadian
penculikan ini pastinya menambahkan lagi beban sengsara yang ditanggung
oleh kerajaan.
Ia ibarat kata pepatah, sudah jatuh ditimpa tangga.
Tetapi kejadian penculikan bukannya perkara baru Semporna ini. Sudah
beberapa kali ianya terjadi. Tidak lama sebelum ini, seorang pelancong
Taiwan juga diculik setelah suaminya ditembak mati. Pelancong terbabit
hanya dilepaskan beberapa hari kemudian selepas wang tebusan yang
diminta diberikan.
Polis Sabah sendiri tidak menolak kejadian terbaru itu turut
bermotifkan wang tebusan. Pesuruhjaya polis Sabah, Hamza Taib percaya,
penculikan ini dilakukan oleh kumpulan yang berpusat di selatan Filipina
dan dilakukan semata-mata untuk mendapatkan wang.
Selain kejadian ini bermotifkan wang tebusan, ianya juga memperlihatkan
kawalan keselamatan yang boleh dipertikaikan keberkesanannya. Meskipun
negeri Sabah di kelelilingi lautan dan banyak pulau-pulau, pihak
berkuasa seharusnya sentiasa berawas dan berhati-hati dalam soal
keselamatan, terutamanya yang berkaitan pelancong.
Kerapnya kejadian penculikan ini, di tambah pula dengan insiden
pencerobohan Lahad Datu sebelum ini, ia tidak lain memperlihatkan ada
sesuatu yang tidak kena dalam soal kawalan keselamatan di negeri Sabah
dan memerlukan perhatian yang lebih serius dari pihak berwajib.
Bagaimanapun, sebagaimana insiden lain seperti kehilangan pesawat MH370
dan sebagainya, kita tidak harus membuat sebarang spekulasi atau andaian
awal mengenai motif dah siapa yang terlibat, kecuali setelah
benar-benar pasti dan mempunyai bukti kukuh mengenainya.
Tetapi dalam insiden penculikan ini, Perdana Menteri, Najib Razak
awal-awal lagi sudah membuat spekulasi dan andaian awal mengenainya.
Menulis di twitternya, beliau tidak menolak kejadian ini didalangi oleh
pihak-pihak tertentu yang cuba mengeruhkan lagi hubungan Malaysia dengan
China.
Kerajaan tidak tolak kemungkinan kes penculikan di Semporna perbuatan
pihak tertentu untuk keruhkan hubungan Malaysia - China, demikian
tulisan itu dipetik.
Hanya bersandarkan andaian dan kebetulan kemarahan ramai warga China
berikutan insiden kehilangan pesawat MH370, Najib seolah-olah terus
membuat kesimpulan ianya didalangi oleh mereka yang mahu mengeruhkan
hubungan Malaysia dengan China.
Siapakah pihak yang dimaksudkan Najib itu? Adakah beliau pasti
mengenainya? Apakah pula bukti yang menyokong dakwaan itu? Tidakkah ini
bertentangan dengan kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah yang mengaitkannya
dengan penculikan bermotifkan wang?
Persoalan yang lebih penting ialah wajarkah seorang Perdana Menteri
membuat spekulasi sedemikian rupa seolah-olah semua perkara dikaitkan
dengan unsur politik?
Jika dalam insiden MH370, rakyat diingatkan agar
jangan membuat sebarang spekulasi dab mendengar maklumat sahih daripada
kerajaan, kenapakah dalam kejadian penculikan ini, Najib sendiri memilih
menjadi spekulator nombor wahid mengenainya?
Janganlah kerana pesawat hilang, kewarasan dan wibawa seorang Perdana Menteri juga turut hilang sama!! (SH 03/04/2014)
-http://shahbudindotcom.blogspot.com/