Oleh : Shahbudin Husin
Ada dua kejadian malang sedang menimpa dunia ketika ini. Satu, mengenai
kehilangan pesawat MH370 milik Malaysia membawa 239 penumpang yang masih
misteri sehingga kini sejak 8 Mac lalu manakala yang kedua ialah
tragedi feri karam di Korea Selatan pada 16 April lalu yang dipercayai
mengorbankan hampir 300 nyawa.
Dalam kejadian feri karam itu, sehingga ini seramai 180 orang sudah
disahkan meninggal dunia dan hanya selepas 11 hari daripada kejadian
itu, Perdana Menteri Korea Selatan, Chung Hong-won mengambil keputusan
untuk meletakkan jawatannya bagi memikul tanggungjawab atas kritikan
terhadap kerajaan mengenai tragedi itu.
Perkara terbaik untuk saya lakukan ialah memikul tanggungjawab dan meletakkan jawatan, katanya tanpa ragu-ragu.
Tetapi dalam kes kehilangan pesawat MH370 yang sudah memasuki minggu
keenam sehingga ini, di sebalik pelbagai kritikan dari dalam dan luar
negara terhadap cara kerajaan menguruskan tragedi itu, langsung tidak
terlibat ada mana-mana pemimpin negara yang sedia memikul tanggungjawab
dan meletakkan jawatan.
Baik Perdana Menteri, Najib Razak ataupun pemangku Menteri Pengangkutan,
Hishammuddin Hussein - kedua-duanya langsung tidak menunjukkan moral
yang tinggi sebagai pemimpin atas kejadian itu. Bukan saja tidak
menunjukkan keinginan untuk memikul tanggungjawab dan meletakkan
jawatan, malah seboleh-bolehnya cuba melindungi dan mempertahankan lagi
kedudukan yang disandang sekarang.
Perdana Menteri khususnya seolah-olah tidak terkesan dengan kehilangan
pesawat yang membawa 239 nyawa yang sekaligus menyebabkan beribu-ribu
yang lain yang sedang menangis ketika ini dengan terus menunjukkan wajah
seolah-olah tiada apa yang perlu dikesali dan dipertanggungjawabkan
daripadanya.
Ketika kenyataan Najib bahawa MH370 telah berakhir di Lautan Hindi dan
MAS pula menghantar pesanan ringkas memaklumkan tiada penumpang yang
selamat tapi tidak dapat disertakan dengan apa-apa bukti sehingga
menimbulkan kemarahan keluarga dan waris mangsa, bukan saja perkataan
maaf jauh panggang daripada api, bahkan kenyataan Perdana Menteri itu
pula yang cuba dipertahankan sebagai tidak bermaksudkan pesawat itu
telah terhempas dan penumpangnya meninggal dunia.
Ini dapat dibayangkan bahawa andainya nanti MH370 tidak terhempas
sebagaimana yang ditafsirkan sebelum ini dengan pencarian dilakukan di
Lautan Hindi dan usul takziah juga sudah dibentangkan di Parlimen,
tindakan mahu memikul tanggungjawab dan meletakkan jawatan turut
mustahil dilakukan.
Jelas bahawa prinsip moral dan konsep pertanggungjawaban antara Perdana
Menteri Korea Selatan dengan Perdana Menteri Malaysia begitu jauh beza
dan jaraknya.
Lebih dari itu, penyerlahan "wajah tidak berdosa" Najib ini juga dapat
dilihat ketika beliau giat "berselfie" dengan pemimpin-pemimpin dunia
yang ditemuinya. Minggu lalu beliau "berselfie" dengan Perdana Menteri
Turki, Tayyib Erdogan dan semalam pula kelihatan cukup berseri-seri
dapat "berselfie" dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.
Gambar beliau "berselfie" itu, terutamanya dengan Barack Obama menjadi viral dan perbualan di media sosial ketika ini.
Walaupun "berselfie" adalah hobi kebanyakan orang ketika ini tetapi ada
pula yang menyifatkan kegilaan terhadapnya sebagai tanda-tanda mengalami
gangguan jiwa iaitu kerana mengharapkan puji-pujian, untuk menarik
perhatian dan untuk menunjukkan sikap 'humble' yang sebenarnya tiada
dalam diri seseorang itu.
Sama ada Najib mengalami salah satu gangguan itu atau sebaliknya, tiada
siapa yang dapat memastikannya dengan tepat tetapi dalam beliau ghairah
"berselfie" itu, janganlah sampai terlupa akan tragedi malang MH370 itu
sehingga bukan saja waris keluarga mahukan ketelusan kerajaan, malah
Obama sendiri mengharapkan perkara yang sama.
Namun lebih afdal jika dapat mencontohi sikap terpuji seperti Perdana
Menteri Korea Selatan itu dan kurang-kurangkanlah "berselfie". (SH
28/04/2014)
- http://shahbudindotcom.blogspot.com/2014/04/feri-karam-pm-korea-letak-jawatan-tapi.html
Wanita bersalin dekat kaunter tiket lapangan terbang
9 minutes ago