Monday, 17 March 2014

Zahid Hamidi nafi kenal raja bomoh

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menafikan beliau mengenali secara peribadi raja bomoh, Ibrahim Mat Zain yang mencetuskan kontroversi susulan daripada upacara yang dilakukannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) minggu lalu.

"Saya tidak kenal dia, (bomoh) tapi yang saya tahu dia adalah orang yang memegang kelapa di bawah Pokok Sena," kata Zahid di Dewan Rakyat hari ini, ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Semalam, The Malaysian Insider melaporkan Ibrahim mendakwa beliau mengenali Zahid yang juga merupakan naib presiden Umno secara rapat.

Dalam dua upacara di KLIA minggu lalu, ditemani beberapa pembantu, Ibrahim melakukan ritual bertujuan “melemahkan semangat jahat supaya penyelamat dapat menemui pesawat”.

Lelaki berusia 80 tahun dari Sungai Manik, Pasir Salak, Perak itu yang juga guru seni mempertahankan diri, berkata dia sudah membantu ramai orang sejak berusia 10 tahun.

“Pelanggan saya pelbagai. Kebanyakan daripada mereka adalah orang penting, kaya dan ahli politik,” katanya.

Ibrahim mendakwa, beliau adalah generasi kelima keturunan bomoh dan ada kaitan dengan pahlawan Melayu, Datuk Maharajalela pada tahun 1800-an.

Residen British pertama di Perak, J W W Birch, dibunuh oleh pejuang kebangsaan Melayu dan negarawan, Datuk Maharajalela dan Sepuntum pada 1875.

Ibrahim juga menyenaraikan peranannya dalam beberapa kejadian besar dalam negara: antaranya ialah memanggil semula roh mangsa tsunami 2004; menjejak mayat mangsa lemas di banjir besar di Kuala Dipang; mengesan mayat mangsa kondominium Highlands Tower yang runtuh pada 1993; dan melemahkan ilmu hitam Mona Fendy supaya hakim boleh menjalankan tugasnya tanpa diganggu di mahkamah Temerloh di Pahang, di mana Mona Fendy akhirnya disabitkan bersalah membunuh ahli politik pada 1993 dan dihukum gantung.

Mengenai kaedahnya yang “istimewa” dalam membantu Putrajaya mencari MH370, Ibrahim berkata, setiap individu ada cara tersendiri untuk membantu.

“Orang teknikal guna sains dan radar kesan pesawat. Saya guna ayat Al-Quran dan barangan yang saya bawa bersama ketika sesi (ritual) bukan untuk dipuja.

“Saya tidak puja barang itu kerana mereka hanya sebagai symbol. Seperti menangkap ikan, adakah kita hanya berharap dan berdoa menangkap ikan tanpa ada peralatan? Tidak, bukan? Jadi mata kail dan perangkap ikan adalah symbol mendapatkan pesawat itu,” katanya. - 17 Mac, 2014./~TMI


No comments:

Post a Comment

ANDA KOMEN ANDA TANGGUNG