Oleh: Shahbudin Husin
Sebagaimana yang diramalkan oleh banyak pihak, bekas Perdana Menteri,
Mahathir Mohamad bersuara lagi mengenai UMNO. Dalam tulisan terbaru di
blognya, beliau mengkritik cara kempen UMNO dan BN dalam pilihanraya
kecil Sungai Limau yang menyaksikan calon BN kalah kepada calon Pas
dengan kekurangan 1084 undi.
Mahathir menyifatkan pemberian wang dan hadiah ketika kempen di Sungai
Limau tidak berjaya memikat hati pengundi, malah menganggapnya suatu
pembaziran dan kekalahan calon BN adalah bukti bahawa pengundi menolak
budaya itu yang telah pun ditunjukkan sejak PRU 13 lagi.
"Ini jelas sejak PRU 13, yang tidak sokong, tetap tidak sokong juga.
Wang yang diberi adalah suatu pembaziran, tidak kira sama ada wang
kerajaan atau bukan kerajaan.
"Sokongan kepada parti politik diasaskan kepada perjuangan serta tingkah
laku pemimpin dan calon. Kalau datang dengan Mercedes atau motosikal
1000cc, saguhati dan apa yang diberi tidak akan menawan hati," demikian
antara intipati tulisannya.
Sanggahan Mahathir mengenai cara kempen BN ini memang ada benarnya,
malangnya itulah yang sebenarnya telah diamalkan sejak sekian lama. Di
era Mahathir pun, ketika kempen pilihanraya, itulah juga cara kempennya.
Pemberian wang, hadiah, kain batik, kain pelikat dan projek-projek
pembangunan adalah cara kempen yang sudah sebati dengan UMNO dan BN
sejak dulu lagi.
Ketika kempen pilihanraya, tidak banyak yang bercerita tentang apakah
perjuangan UMNO dan sasaran masa hadapan yang mahu dilakukannya kepada
rakyat. Yang banyak dicurahkan oleh janji-janji pembangunan dan
seumpamanya saja. Dan melalui janji pembangunan, pemberian wang dan
saguhati itulah UMNO dan BN menang pilihanraya selama ini.
Kenapa Mahathir tidak mengkritiknya sebelum ini dan hanya berbuat demikian setelah BN kalah di Sungai Limau?
Adakah jika BN menang dalam pilihanraya Sungai Limau tempohari, kritikan Mahathir tetap sama?
Kritikan Mahathir terhadap amalan pemberian wang dan saguhati ini adalah
serangan terbarunya terhadap UMNO dan kerajaan yang dipimpin oleh Najib
Razak. Ini juga memperlihatkan bekas Perdana Menteri itu semakin kerap
bersuara mengenai UMNO, kerajaan dan Najib sejak pemilihan UMNO pada 19
Oktober lalu yang menyaksikan anaknya, Mukhriz hanya mampu mendapat
tempat keempat dalan perebutan kerusi Naib Presiden UMNO walaupun
dilihat calon yang popular.
Sebaik usai pemilihan itu, Mahathir seperti meluahkan rasa kecewanya
dengan kekalahan Mukhriz. Katanya, beliau memang sudah menjangka anaknya
yang juga MB Kedah akan tewas dalam pertandingan itu kerana beliau
bukanlah calon pilihan Perdana Menteri.
Jelas daripada ungkapan itu, terpancar rasa kecewanya kerana Najib lebih
meletakkan Hishammuddin, sepupunya dan dianggap lemah serta tidak
disukai oleh rakyat, sebagai antara calon pilihan Perdana Menteri untuk
memenangi jawatan nombor tiga itu, sebaliknya Mukhriz yang tidak
dijadikan calon pilihan Perdana Menteri bertanding keseorangan.
Mahathir juga kemudian mengatakan politik wang masih berlaku dalam UMNO
sehingga calon yang tidak layak akhirnya telah memenangi jawatan
tertentu dalam pemilihan kali ini. Sekali lagi, tafsiran umum mengenai
calon yang dianggap tidak layak tetapi telah memang itu sebenarnya
ditujukan kepada Hishammuddin.
Memang diakui dalam pemilihan lalu, Hishammuddin merupakan calon paling
tidak popular dan ramai yang mahukan beliau kalah. Berbanding dengan
Mukhriz yang baru membawa kemenangan kepada BN menawan semula Kedah,
anak bekas Perdana Menteri, Hussein Onn itu nyata jauh tertinggal di
belakang.
Bagaimanapun ketika pemilihan, Hishammudin berjaya mendapat tempat
ketiga dengan kelebihan 9 undi berbanding Mukhriz manakala Zahid Hamidi
di tempat pertama dan Shafie Apdal di tempat kedua. Kedudukan sebagai
calon bukan pilihan Najib dianggap sebab utama tewasnya Mukhriz dalam
pemilihan itu.
Selepas mengkritik mengenai politik wang yang masih berlaku dalam UMNO,
Mahathir juga kemudian mengatakan kepimpinan Najib sebenarnya semakin
lemah kerana kerap tunduk kepada tuntutan kumpulan ekstrem daripada
pembangkang.
Jika dikira pendedahan mengenai tekanan yang sedang diberikan oleh
Mahathir kepada Peguam Negara, Ghani Patail dengan menjadikan kehilangan
Pulau Batu Puteh dan salah lakunya ketika mengendalikan kes mata lebam
yang melibatkan Anwar Ibrahim sebagai asas menekan pegawai tinggi
kerajaan yang dianggap rapat dengan Perdana Menteri itu, serangan dan
kritikan Mahathir kepada UMNO, kerajaan dan Najib sudah menjadi episod
yang bersiri sebenarnya.
Ia kini sudah memasuki siri kelima -bermula dengan luahan kecawa kerana
anaknya bukan calon pilihan Najib, politik wang telah menyebabkan calon
tidak layak terpilih, kerajaan Najib makin lemah kerana tunduk kepada
tuntutan ekstrem pembangkang, tekanan kepada Ghani Patail tetapi sasaran
sebenarnya ialah Najib dan terbaru kritikannya mengenai pemberian wang
dan hadiah yang dianggap pembaziran dalam kempen.
Pastinya selepas ini banyak lagi kritikan dan serangan akan dilakukan
oleh bekas Perdana Menteri itu. Dalam tempoh tidak sampai sebulan, sudah
terlihat tanda-tanda bahawa semua yang ada dalam UMNO dan kerajaan
sekarang tidak lagi betul di mata Mahathir.
Bukan saja pemberian wang dan hadiah yang dulunya menjadi alat
memenangkan BN setiap kali pilihanraya sudah dianggapnya tidak betul dan
membazir, malah Ghani Patail yang mula digunakannya ketika era
pemerintahannya untuk mendakwa dan menyingkirkan musuh politiknya Anwar
Ibrahim ketika ini, turut dilihatnya tidak lagi betul sekarang ini.
Oleh itu, janganlah terkejut, jika selepas ini bukan saja kritikan
Mahathir makin kerap, malah apa yang dulunya dianggap betul, turut
dilihatnya salah selepas ini. Oleh kerana Mukhriz menang undi popular
berbanding Hishammuddin yang mengatasinya dengan kelebihan 9 undi
berdasarkan kaedah "electoral college" atau satu bahagian satu undi,
tidak mustahil juga Mahathir selepas ini mahukan kaedah undi popular
digunapakai dalam pemilihan UMNO pula.
Sikap berubah-ubah bukanlah asing bagi Mahathir dan dalam sejarah
politiknya, sudah banyak kali kawannya bertukar menjadi musuh dan musuh
kembali menjadi kawan.
Oleh itu, bermula dengan semuanya tidak lagi dianggap betul oleh
Mahathir sekarang ini, tidaklah mustahil Najib yang dulunya wangi dan
disanjung, bakal dikitai tak lama lagi.
-http://shahbudindotcom.blogspot.com
Bunuh rakan senegara, polis buru lelaki Indonesia
5 minutes ago
Bukan siri ke 5 tapi siri ke 6 .... yg ke5 ialah Petronas tak bantu Melayu yg mana Presiden Petronas la nie adalah org Najib.....
ReplyDeleteTak ada apa yg nak dibanggakan dengan mukhriz. Kedah kalah pun kerana brim dan bantuan melimpah oleh najib. Maslah lain kat Kedah cuma sikit perbalahan antara pemimpin Pas. Pengikut Pas sebenar tiada masalah pun. Cuma pengundi atas pagar yang berubah kerana pelik dengan pemimpin Pas dan rasuah politik.
ReplyDeletemamak kutty mudah lupa .kata dulang paku serpih dey! sakit hati anak mamak botak kalah dua kali daa ! ABU !
ReplyDelete