SHAH ALAM: Percayakah anda jika diberitahu ada pelajar
Melayu di sebuah sekolah rendah di ibu kota Kuala Lumpur terpaksa
mencari cicak untuk dimakan semasa waktu rehat kerana terlalu lapar
sedangkan beliau tidak dibekalkan wang dan makanan ke sekolah lantaran
kesempitan hidup keluarga
(atas, gambar hiasan).
"Ketika
pelajar lain ke kantin, pelajar malang ini mencari cicak untuk
dimakan," kata Yang Dipertua PAS Pandan, Iskandar Abdul Samad.
Kisah ini diceritakan Iskandar kepada Harakahdaily tatkala diminta mengulas entri beliau di laman blognya baru-baru ini.
Iskandar
yang juga Pengerusi Jawatankuasa tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan
dan Peneroka Bandar Selangor diwawancara Harakahdaily di pejabatnya, di
Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, semalam.
Menurut
Iskandar, menyedari kejadian tersebut, guru di sekolah berkenaan segera
memasukkan nama pelajar terbabit dalam senarai Program Rancangan Makanan
Tambahan Sekolah.
"Hanya setelah peristiwa itu, barulah
guru-guru sekolah tersebut tahu betapa melaratnya keluarga pelajar
tersebut. Memang ada keluarga yang hidup susah tetapi tidak mahu
meminta-minta," ujarnya.
Sehubungan itu Iskandar menggesa para
petugas parti supaya turun ke tengah masyarakat untuk melakukan tinjauan
seterusnya mengenal pasti keluarga yang benar-benar memerlukan bantuan.
"Mereka (aktivis parti) perlu menyedari bahawa mereka bukan sahaja pemimpin parti tetapi juga pemimpin masyarakat," ujarnya.
Sehubungan
itu beliau mahu aktivis parti lebih prihatin dengan masalah rakyat
setempat dan keluar daripada kepompong surau dan masjid.
Dalam
entri di laman blognya baru-baru ini, Iskandar berkata cabaran utama
dalam menyampaikan bantuan bukanlah jumlah wang yang diperuntukkan
tetapi untuk mencari orang yang benar-benar layak dibantu.
"Kita gagal kalau kita menyampaikan bantuan kepada mereka yang tidak layak walhal mereka yang layak ditinggalkan.
"Saya
juga percaya mereka yang betul-betul layak atau betul-betul melarat
hidupnya tidak mempunyai kemampuan untuk datang berjumpa YB, nazir
masjid, pengerusi surau, penghulu atau ketua kampung.
"Adalah menjadi tugas kita untuk turun padang cari 'dari pintu ke pintu'," tegasnya.
Beliau menceritakan pengalaman berjumpa sekeluarga yang berbuka puasa dengan nasi dan kicap di kawasan yang diwakilinya.
Sehubungan
itu, Iskandar menyeru aktivis parti untuk sentiasa 'turun ke bawah'
bagi mengetahui hal kebajikan rakyat di kawasan masing-masing./~harakahdaily