SUNGAI Limau menjadi medan Datuk Mukhriz Mahathir “menebus” kekecewaan.
Selepas gagal meraih kedudukan dalam hirerki utama Umno, beliau perlu bangkit di Sungai Limau.
Menteri Besar Kedah itu tidak mungkin membiarkan nasib malangnya berulang lagi.
“Mukhriz
dianggap wira setelah berjaya menyingkirkan PAS dan Pakatan Rakyat di
Wisma Darul Aman. Mukhriz mahu mara dan melonjat ke atas.
“Sebab itulah beliau mengharap nasibnya lebih baik di Sungai Limau. Beliau sedang all out sekarang.
Kegagalan 4 November ini bermakna laluan politiknya semakin berliku,”
kata seorang pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi di Terengganu.
Mukhriz
muncul selepas Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah menebas segala semak dan
halangan yang ditinggalkan Datuk Mahathir Khalid.
Akhirnya
usaha Bashah disepah madunya oleh Mukhriz. Bekas pengerusi Umno Kedah
itu dipindah ke Kuala Lumpur bagi mengelakkan Mukriz diganggu dengan
kisah lama.
Di saat-saat akhir menjelang hari mengundi pada pilihan raya umum lalu, Mukhriz diumumkan sebagai calon Menteri Besar Kedah.
Laluan
anak Dr Mahathir itu kurang berliku kerana ada kemuncup pula melekat
pada stokin pemimpin PAS Kedah. Akibat alpa membuang kemuncup tanpa
sedar Wisma Darul Aman sudah dikepung Umno.
Jasa Bashah dilupakan
Bashah
terpaksa akur. Umno pusat seperti tidak menghargai keringat dan jasanya
sebelum ini. Bagi mengurangkan hangatnya, beliau dianugerah jawatan
timbalan menteri.
“Mukhriz sedang berhempas pulas sekarang.
Beliau dibantu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyuddin Yassin bagi
memecah kubu PAS di Sungai Limau.
“Antara strateginya membawa
Muhyuddin ke sekolah-sekolah agama dan pondok sebagai gambaran mudah,
kubu pecah sudah pecah,” kata pensyarah terbabit.
Hujah serupa
diamati Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yusoff. Kata
beliau kehadiran Timbalan Perdana Menteri ke sekolah agama di Sungai
Limau sebagai strategi akhir.
Gambaran yang diperlihatkan,
kemesraan terjalin antara pemilik pondok dengan Muhyiddin. Ia
setidak-tidaknya membuat jentera PAS panas punggung.
Tidak dapat dinafikan ada kesan positif yang cuba mereka raihkan. Golongan atas pagar antara harapan mereka.
“Umno
tahu mereka sukar untuk menggugatkan ideologi politik guru-guru pondok,
namun mereka mengharap ada umpan bagi menarik pengundi atas pagar,”
kata seorang sarjana politik lulusan UKM.
Bagaimanapun Wan Nik
memberitahu jentera PAS tidak membiarkan Umno dengan mudah keluar masuk
sekolah agama dan pondok. Ceramah dan majlis penerangan seringkali
diadakan di kawasan berkenaan.
Malah kunjungan dari rumah ke rumah Ustaz Mohd Azam Abdul Samad menjadi sentuhan yang lebih berkesan.
Biar
pun Umno cuba menghulur salam bersalut janji kepada sekolah-sekolah
agama, namun warga pondok tidak membelinya dengan harga murah.
Calon berbeza
“Berdasar
kepada pengamatan kasar, nampak calon PAS berada di hadapan berbanding
calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim. Ustaz Azam tinggal di Sungai Limau dan
sudah lama dikenali penduduk kampung.
“Berbeza Dr Sohaimi
sebelum ini tinggal di tempat lain. Tidak ramai penduduk tempatan
mengenalinya,” kata seorang penduduk dari Kampung Titi Batu.
Situasi
itu tidak jauh berbeza dengan calon BN di Kuala Besut, Tengku Zaihan
Che Ku Abdul Rahman, beliau juga tinggal di luar Terengganu.
Ustaz Azam sama dengan calon PAS di Kuala Besut, Endot @ Azlan Yusof kerana tinggal di kawasan mengundi.
Biar
pun beberapa faktor dianggap menyebelahi PAS, namun Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR) dilihat cuba mencari helah. Pengundi yang tinggal di luar
kawasan sukar balik mengundi kerana bekerja.
Amalan mengundi pada
hari bekerja seperti menjadi “trend” baru SPR. Strategi mengundi hari
bekerja di Dun Galas dan Kuala Besut ternyata memberi pulangan kepada
Umno.
Dan sekarang teori itu dipraktik pula di Sungai Limau. Di
Dun berkenaan kira-kira 2,000 pengundi tinggal di luar kawasan. Mereka
mencari rezeki di bandar.
Pengundi yang tinggal di bandar lebih mudah akses terhadap isu semasa.
“Maka
pilihan mengundi pada hari bekerja juga dilihat menjadi salah satu cara
SPR membantu mengurangkan kehadiran pengundi luar kawasan.
“SPR bukan mahu menyuburkan demokrasi, sebaliknya seperti ada agenda lain,” kata seorang lagi sarjana.
Langkah
SPR itu juga disokong kerajaan Kedah. Mukhriz sebelum ini dilaporkan
berkata, mengisytiharkan cuti umum di Kedah pada 4 November ini tidak
praktikal.
Sedangkan ketika pilihan raya kecil Dun Galas pada November 2010, kerajaan Kelantan mengumumkan cuti peristiwa.
Biar apa pun kepulangan pengundi yang tinggal di luar kawasan cukup penting.
Faktor kampung nelayan
Gerak kerja kempen Umno lebih terkesan di kampung nelayan. Peti undi Dulang Besar dan Dulang Kechik mudah dikawalnya.
Umpan
sara hidup bulanan RM200, subsidi diesel, bot, pukat dan pelbagai lagi
bantuan untuk nelayan tentunya mampu menambat jiwa pengundi.
Teori
yang diguna pakai di Kuala Besut mengumpan bantuan segera ternyata
mengena. Kampung nelayan di Seberang Barat dan Seberang Barat Luar
menjadi deposit tetap buat Umno di Kuala Besut.
Begitu juga di
Sungai Limau kaedah serupa juga digunakan. Oleh itu PAS dan Pakatan
perlu pendekatan berbeza. Sentuhan di jiwa lebih melekat di kalbu.
Biar pun Muhyiddin dan Mukhriz mengharap ada kejutan di Sungai Limau, namun kemelut dalaman Umno di Jerai masih berbekas.
Bekas
Ketua Umno Jerai, Datuk Suhaimi Abdullah pernah menyebut “saya dan
Dato’ Jamil Khir Baharom tidak ada masalah lagi, kami kembali normal”.
Maknanya, ribut rumah tangga Umno Jerai benar-benar berlaku.
Duka
Suhaimi bertambah lagi apabila Dr Sohaimi dikatakan kenalan rapat Khir
Baharom. Isnin ini masa terbaik Suhaimi dan pengikutnya melakukan
sesuatu.
Tanpa ada keberanian hayat politiknya tentunya terperap
di kaki Gunung Jerai. Mampukah Suhaimi dan Dr Sohaimi “Berani Hijrah”
atau Ustaz Azam “Kekal” di Sungai Limau./~harakahdaily
Jokowi, anak dan menantu dipecat PDIP
3 hours ago