.

Monday, 2 September 2013

Polis: Ketua kongsi gelap bekas anggota TUDM

Polis hari ini mengesahkan bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mati ditembak di Taman Rishah, Silibin di Ipoh pagi semalam merupakan ketua kumpulan kongsi gelap Geng 36 di Batu Gajah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata hasil siasatan mendapati S. Jambukeshan, 39, ditembak mati akibat pergaduhan membabitkan tiga kumpulan kongsi gelap iaitu Geng 36, 04 dan 08.

"Pergaduhan dipercayai berpunca kerana berebutkan kawasan untuk pengedaran dadah," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis serah terima tugas antara Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan dengan penggantinya, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Ipoh hari ini.

Katanya polis percaya akan dapat memberkas suspek dalam kes tembak itu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kedai berhampiran lokasi kejadian.

Katanya polis tidak menolak kemungkinan suspek yang terlibat melebihi dua orang.

Mohd Dzuraidi berkata setakat ini polis telah mengambil keterangan dua saksi yang berada di tempat kejadian.

Dalam kejadian pada 7.15 pagi semalam, bekas anggota TUDM itu mati ditembak dari jarak dekat di hadapan sebuah restoran di Jalan Permaisuri Mazwin, Taman Rishah.

- Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist