Setelah
pelantikan Jemaah Menteri yang termasuk beberapa kes "kitar semula",
Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Najib Tun Abdul Razak nampaknya
terus melaksanakan pelantikan "kitar semula" apabila dilaporakan
sebagai telah atau akan melantik Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil
selaku "penasihatnya" berkaitan "isu wanita".
Saya tidak nampak apa-apa kelebihan dalam pelantikan Shahrizat, mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Apakah pelantikan itu semata-mata untuk memenuhi kehendak Wanita UMNO
yang dipimpin oleh Shahrizat atau "membalas budi dan sokongan" mantan
Ahli Dewan Negara yang ditumbangkan oleh naib presiden PKR Nurul Izah
Anwar pada PRU-12 di Lembah Pantai itu?
Apakah kerana Shahrizat mengetuai Wanita UMNO maka dia mesti diberi
jawatan walaupun tidak lagi menjadi wakil rakyat yang dipilih melalui
pilihan raya ataupun dilantik melalui pintu Dewan Negara?
Atau apakah Shahrizat begitu hebat dan dia tidak boleh diketepikan
oleh Najib sehingga dilihat sebagai membelakangi Menteri Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim?
Rohani, tokoh wanita dari Sarawak, nampaknya kurang senang dengan
pelantikan itu apabila dia dikutip media sebagai berkata "Beliau
(Shahrizat) bukan penasihat dikementerian saya". Jelas sekali Rohani
tidak memerlukan seorang penasihat untuk menjalankan tugas. Kementerian
berkenaan mempunyai pegawai dan pakar yang mencukupi untuk "menasihati"
menteri, jika perlu, berkaitan isu wanita.
Sesiapapun yang mengetaui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat pasti akan rasa tersinggung mengenai pelantikan seorang
"penasihat" berkaitan isu wanita sedangkan sudah wujud sebuah
kementerian khusus untuk itu.
Najib mesti sedar bahawa dia tidak boleh "menggembirakan" semua orang
dan harus peka akan hakikat tersebut. Mungkin Najib sendiri "dinasihati"
oleh seorang wanita tertentu untuk melantik Shahrizat dan dia terpaksa
akur dengan "nasihat" itu.
Saya setuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh,
bahawa pelantikan Shahrizat sebagai penasihat kepada Perdana Menteri
dalam isu wanita sebagai satu "produk kitar semula" menggunakan wang
pembayar cukai. Katanya, Shahrizat tidak membawa sebarang "tambah
nilai" terutamanya dalam isu-isu wanita.
Selain pelantikan Shahrizat, saya difahami bahawa seorang ahli politik
yang tiga kali "melompat parti" dari UMNO kepada PKR dan kembali
berpaut kepada UMNO, akan dilantik sebagai Duta Besar ke Republik
Indonesia. Ini pun satu pelantikan "kitar semula" untuk membalas
"sokongan" tokoh berkenaan kepada Najib dan UMNO sebelum PRU-13.
Nampaknya, Najib sedang menguji kesabaran ahli UMNO yang mulai kurang
senang dengan beberapa tindakan dan keputusan yang dibuatnya.
KUDA RANGGI
http://kudaranggi.blogspot.com