.

Monday 1 July 2013

Wajarkah elaun RM200 juta kepada SPR?

Ahli Parlimen Pakatan persoalkan elaun RM200 juta kepada SPR

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR), mempersoalkan rasional di sebalik bayaran elaun RM200 juta kepada pegawai dan kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertugas pada Pilihan Raya 2013.

Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali mendakwa SPR tidak layak memperoleh sebarang bonus berikutan kegagalan mereka mengendalikan pilihan raya dengan bersih dan adil.

"Mereka gagal dalam tugas. Bagaimana mereka boleh menerima anugerah? SPR gagal. Ini mengecewakan pembayar cukai," katanya.

Bagaimanapun, Azmin mengakui kakitangan kerajaan yang berkhidmat pada pilihan raya umum lalu, bekerja keras dan memuji kerajaan atas penghargaan kepada mereka.

"Tetapi kebimbangan utama kami ialah pegawai tinggi SPR," katanya.

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong pula berkata, Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR tidak patut diberi penghargaan.

"Mereka patut meletak jawatan, bukan dapat bonus," katanya.

Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran pula menyifatkan pemberian bonus itu sebagai suatu penyalahgunaan dana pada pilihan raya umum lalu.

"Ia jumlah yang terlalu besar (merujuk RM200 juta), apatah lagi RM7 juta dibelanja bagi dakwat kekal.
"Kerajaan perlu memberi penjelasan dan memberi butiran perbelanjaan terperinci terhadap dana yang digunakan. Ini perlu kerana ia wang rakyat," katanya.

Dalam jawapan bertulis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata kerajaan memperuntuk RM400 juta kepada SPR untuk mengendalikan pilihan raya.

Dari jumlah itu, katanya, RM200 juga dibayar sebagai bonus dan elaun kepada mereka yang bertugas pada pilihan raya berkenaan.

Jumlah RM400 juta itu adalah pertambahan 100 peratus berbanding peruntukan pada pilihan raya umum sebelumnya.

Menegaskan jumlah itu mengejutkan, Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar hairan mengapa kos berkenaan naik sehingga 100 peratus sedangkan pertambahan jumlah pengundi cuma 20 peratus. - 1 Julai, 2013./TMI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist