.

Wednesday, 3 July 2013

Isu Idris-Mat Said kini muncul di Kuala Besut

BESUT: Biar pun BN bertapak kukuh di Dun Kuala Besut sejak pilihan raya umum 2004, namun Dun terbabit pernah dimenangi PAS pada empat pilihan raya umum sebelum itu.

PAS pernah menang pada pilihan raya umum 1959, 1969, 1974 dan 1999.

Situasi itu membuatkan Umno dan BN tidak mampu mendabik dada menjuarai dengan mudah pilihan raya kecil Kuala Besut tidak lama lagi.

Tambahan pula isu dalaman dan luaran terus membelit parti itu.

Penyisihan terhormat Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said daripada jentera utama pilihan raya BN Kuala Besut bukan lagi sekadar cerita kedai kopi.

Yang Dipertua PAS Besut, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, pelantikan Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut membuatkan Umno Terengganu bergolak semula.

“Isu kuasa autonomi diberi Umno pusat kepada Idris di Kuala Besut dengan mengenepikan Ahmad Said dilihat boleh membantu PAS,” katanya pada sidang media di Markas Besar PAS Dun Kuala Besut di Kampung Baharu petang semalam.

Menurutnya, penyisihan Ahmad sudah tentu memanaskan isu lama yang sudah berkocak dalam Umno sejak 2008.

Selain itu isu tempatan dengan lambakan permohonan milik tanah rakyat yang tidak selesai juga tidak boleh dipandang ringan.

Kata Wan Azhar isu tanah bukan perkara kecil di Kuala Besut kerana banyak tidak selesai sehingga mengundang kemarahan rakyat.

Katanya, ditambah pula isu nasional dengan kepincangan pengurusan pilihan raya umum lalu masih diperkatakan rakyat secara meluas.

Wan Azhar juga berkata, undi kepada calon PAS pada pilihan raya umum lalu meningkat sebanyak 178 undi.

“Begitu jumlah undi diraih calon BN di Kota Putra, Hulu Besut dan Jertih juga didapati merosot berbanding 2008,” ujarnya.

Pilihan raya kecil Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr A Rahman Mokhtar pada 26 Jun lalu.

Di peringkat pusat, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengetuai jentera dan kempen BN bagi menghadapi PRK Kuala Besut./~harakahdaily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist