Oleh: Shahbudin Husin
Di sebalik pelbagai khabar angin yang sedang bertiup mengenai politik
UMNO dan kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri, kedudukan Muhyiddin
sama ada mencabar Najib sebagai Presiden UMNO atau hanya mengekalkan
jawatan Timbalan Presidennya dalam pemilihan parti hujung tahun ini,
terus menjadi tanda-tanya.
Jika sebelum ini ramai golongan pengampu, pembodek dan tukang kipas
tampil dengan satu demi satu alasan agar jawatan Presiden dan Timbalan
Presiden tidak dipertandingkan tetapi sejak Muhyiddin sendiri enggan
memberi ulasan mengenai perkara itu buat masa ini, ia semacam reda
seketika.
Muhyiddin minggu lalu ketika di Pagoh hanya berkata, beliau akan memberi
komen mengenai pertandingan dalam UMNO atau mengenai kedudukan dirinya
sama ada bertanding atau tidak di suatu masa yang sesuai nanti.
Jawapan Muhyiddin itu bukan saja berjaya menghentikan pengampu, pembodek
dan tukang kipas daripada terus berkokok tetapi dalam masa yang sama
terus menghangatkan perbualan di dalam UMNO sendiri mengenai
pertandingan kedua-dua jawatan tertinggi itu.
Ramai yang percaya, jawapan Muhyiddin itu menggambarkan kesediaannya
untuk memikul tanggungjawab yang lebih tinggi dalam UMNO, bagaimanapun
beliau dipercayai perlu mengambil sikap berhati-hati dan meninjau-ninjau
dahulu arus yang sedang mengalir di dalam UMNO, sama ada memihak
kepadanya atau pun tidak.
Jika Muhyiddin hanya mahu kekal sebagai Timbalan Presiden, di sebalik
timbulnya isu pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden itu,
beliau pastinya menyambut baik cadangan itu atau sekurang-kurangnya
memberitahu kesediaannya hanya akan mempertahankan jawatannya saja.
Tetapi dengan memberitahu akan memberi komen di suatu masa yang sesuai
nanti, pelbagai tafsiran boleh dibuat dan kemungkinan besarnya ialah
mencabar kedudukan Najib sebagai Presiden UMNO.
Di dalam UMNO, Muhyiddin masih diingati kerana keberaniannya meminta Pak
Lah menyegerakan peralihan kuasa sebaik pilihanraya 2008 dulu, di
sebalik tekanan yang dilakukan sebelumya oleh Mahathir yang akhirnya
menyebabkan BN hilang majoriti 2/3 dan Pak Lah terpaksa tunduk untuk
menyerahkan jawatannya kepada Najib pada 3 April 2009.
Jika dulu Muhyiddin mendesak Pak Lah tetapi dengan keputusan pilihanraya
2013 yang lebih buruk daripada 2008, desakan mulai kedengaran untuk
beliau mengambil alih tempat Najib pula. UMNO dan BN yang dilihat makin
lemah dibawah Najib, dipercayai oleh ramai kalangan dalam UMNO akan
menjadi lebih baik jika dipimpin oleh Muhyiddin.
Sementara isu pertemuan beberapa Ahli Parlimen daripada Sabah dan
Sarawak dengan Tengku Razaleigh Hamzah terus menjadi isu sejak beberapa
hari ini dan kemungkinan ia bakal menjadi episod yang menggugat lagi
kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin pula sebaliknya lebih
mengintai peluang dalam perebutan jawatan Presiden UMNO nanti.
Walaupun sama ada Muhyiddin bertanding atau tidak belum menjadi
kepastian tetapi orang-orang Muhyiddin dalam UMNO sudah mula bercakap
mengenai kemungkinan itu. Mereka berkata, pemilihan kali ini adalah
peluang terbaik untuk Muhyiddin jika mahu meningkatkan lagi karier dan
pencapaiannya dalam parti dan kerajaan.
Jika Muhyiddin tidak bertanding kali ini, kata para penyokongnya,
beliau yang kini berusia 64 tahun mungkin sudah terlalu lewat untuk
melakukannya pada pemilihan yang seterusnya. Lagi pula, jika pemilihan
UMNO yang akan diadakan tiga atau empat tahun nanti dilangsungkan
selepas pilihanraya umum, UMNO juga mungkin sudah kehilangan kuasanya
sebagai kerajaan ketika itu.
Ketika itu, tiada ertinya lagi jika Muhyiddin mahu mengambil alih
kepimpinan parti atau barangkali jika bukan lagi sebagai kerajaan, Najib
juga mungkin akan menyerahkan saja secara sukarela jawatannya kepada
Muhyiddin.
Hakikat ini yang membimbangkan orang-orang Muhyiddin mengenai kedudukan
boss mereka itu. Lantaran itu, mereka merasakan pemilihan kali ini
adalah yang terbaik untuk mencabar kedudukan Najib. Ia bukan saja
disebabkan pilihanraya baru berakhir dan kedudukan Najib dilihat lemah
serta mudah dilemahkan tetapi juga kerana persekitaran politik yang
seakan-akan memihak kepada orang yang berani melakukann pesaingan.
Tambahan pula tindakan dua bekas menteri, Daim dan Zainuddin Maidin yang
turut mengkritik Najib selepas pilihanraya ini dilihat turut memberi
gambaran sokongan secara tidak langsung kepada sesiapa juga yang berani
menentang Najib dan melakukan perubahan. Di ketika yang sama, tulisan
Mahathir dalam blognya mengenai kelemahan dan perbezaan UMNO dulu dan
sekarang yang ditulisnya selepas keputusan pilihanraya dan sebaik Najib
mahu berbangga dengan pencapaian UMNO dalam pilihanraya juga dilihat
mempunyai sindiran tertentu terhadap kepimpinan Najib.
Di samping sokongan cuba dipertingkatkan kepada Muhyiddin untuk berani
mencabar Najib, tekanan secara tidak langsung daripada penyokongnya juga
diperhebatkan lagi kepada Timbalan Perdana Menteri itu agar akhirnya
beliau bersedia memikul tanggungjawab yang tinggi itu.
Semua keadaan ini, ditambah dengan pergolakan semasa yang semakin
menekan UMNO dan kerajaan yang muncul satu demi satu, lebih memungkinkan
kedudukan Najib daripada dicabar oleh Muhyiddin, hampir tidak dapat
dielakkan lagi. (SH 14/06/2013)
- http://shahbudindotcom.blogspot.com/2013/06/orang-orang-muhyiddin-mula-berkata.html
Jokowi, anak dan menantu dipecat PDIP
2 hours ago