Saturday, 29 June 2013

Dalam 48 jam kredibiliti Khalid, Zahid hancur lebur

Lim Kit Siang, 29 Jun 2013
Apakah Najib akan mengambil tindakan ke atas Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara? Tahap kebertanggungjawaban, integriti dan tadbir urus dua pegawai tertinggi dalam bidang keselamatan, iaitu KPN dan Menteri Dalam Negeri, sedang berjerebu

Belum pun reda betul jerebu yang diakibatkan oleh kebakaran gambut di Riau dan Sumatera dan telah menyebabkan darurat diisytiharkan di beberapa kawasan dan ribuan sekolah ditutup di beberapa buah negeri, Malaysia kini dilanda pula oleh jerebu baru – jerebu kebertanggungjawaban, integriti dan tadbir-urus dua pegawai tertinggi dalam bidang keselamatan, iaitu Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri.


Siapa sangka dalam masa hanya 48 jam kredibiliti dan kewibawaan dua pegawai tertinggi keselamatan negara – Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi – boleh hancur lebur.

Pada hari Rabu, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk V.T. Singham (mencapai usia 65 tahun hari ini dan telah mengambil keputusan untuk bersara setahun lebih awal daripada sepatutnya), mendapati Khalid ketika menjadi ketua polis Selangor bertanggungjawab atas kematian A Kugan. Kugan yang disyaki terlibat dalam kes curi kereta telah mati akibat kecederaan teruk dalam tahanan polis di Balai Polis Taipan pada 20 Januari 2009.

Sejarah dalam bidang kehakiman tercipta apabila hakim memutuskan keluarga Kugan berhak menerima pampasan sebanyak RM801,700 kerana polis dan kerajaan boleh dipertanggungjawabkan atas kematian Kugan, manakala Khalid pula boleh dipertanggungjawabkan kerana menyalahgunakan kedudukannya sebagai penjawat awam.

Kelmarin, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Zahid untuk mengenepikan saman terhadapnya yang dikemukakan oleh ahli perniagaan Amir Bazli Abdullah berikutan serangan yang berlaku pada tahun 2006.

Presiden Mahkamah Rayuan Hakim Md Raus Sharif yang mengetuai panel lima orang hakim menyebut bahawa isu-isu yang dibangkitkan oleh peguam Zahid, Shamsul Bahrain Ibrahim, adalah berfakta dan perlu didengar dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Dengan keputusan mahkamah tertinggi dalam negara ini, saman sivil oleh Amir Bazli Abdullah terhadap menteri dalam negeri akan mula didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 Ogos nanti.

Baru dua minggu lalu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebut bahawa pengundi Malaysia telah menyampaikan mesej yang jelas dalam Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu, iaitu bahawa mereka mahu kerajaan bersikap tegas mempertahankan institusi-institusi penting dalam negara, “menguatkuasakan undang-undang, menegakkan Perlembagaan”. Malangnya dua insiden melibatkan Menteri Dalam Negeri dan KPN ini menyampaikan mesej yang berlawanan, iaitu betapa kredibiliti, integriti, dan kewibawaan institusi-institusi negara sedang diancam hebat selepas PRU13.

Sukar untuk Menteri Dalam Negeri meminta KPN memikul tanggungjawab penuh atas kematian Kugan sedangkan pada masa yang sama persoalan timbul mengapa polis tidak membuat penyiasatan dan mendakwa Zahid atas serangan terhadap Amir Bazli pada tahun 2006.

Pada masa yang sama juga, KPN tidak boleh menggesa Menteri Dalam Negeri untuk memikul tanggungjawab penuh atas kes serangan pada tahun 2006 itu kerana Khalid sendiri sedang dipertanggungjawabkan atas kematian Kugan dalam tahanan polis pada tahun 2009.

Langkah Menteri Dalam Negeri dan KPN nampaknya sedang terkunci kerana kedua-duanya tidak dapat menggunakan kuasa masing-masing ke atas satu sama lain kerana kedua-dua mereka mempunyai pekung tersendiri.

Apakah ini caranya kerajaan Barisan Nasional memulihkan kepercayaan rakyat dalam negara dan warga dunia terhadap institusi-institusi utama dalam negara selepas PRU13?

Belum pun dua bulan selepas PRU13, kerajaan Barisan Nasional telah mula berdepan dengan krisis tadbir-urus yang parah.

Rakyat Malaysia berhak tahu bagaimana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hendak menyelesaikan jerebu terbaru ini yang menjejaskan tahap kebertanggungjawaban, integriti, dan tadbir-urus yang baik oleh dua pegawai keselamatan tertinggi negara. Rakyat mahu tahu sama ada beliau akan menamatkan perkhidmatan mereka, menggantung, atau mengarahkan kedua-dua mereka mengambil cuti sehinggalah mereka berjaya membersihkan diri daripada tuduhan-tuduhan yang dibuat terhadap mereka.

-harakah daily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Blog Pro PR (1)