PERTEMBUNGAN
bagi jawatan Ketua Wanita Umno akan berlaku akhir tahun ini apabila
bekas Ketua Puteri Umno Datuk Azalina Othman Said menyatakan
kesediaannya untuk mencabar Datuk Seri Shahrizat Jalil dalam pemilihan
parti itu akhir tahun ini.
Shahrizat telah
mengesahkan mahu terus mempertahankan jawatannya walaupun terpalit
dengan skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) pada tahun 2012 sehingga
menyebabkan beliau melepaskan jawatan menterinya.
"Ya,
saya berminat untuk bertanding. Saya telah membuat keputusan," kata
Azalina yang merupakan ahli Parlimen Pengerang dipetik dari The Star
Online.
Walau
bagaimanapun, Shahrizat yakin akan terus kekal memimpin Wanita Umno
berdasarkan galakan dan sokongan daripada sayap Umno itu.
"Mereka
berada di sana untuk saya pada waktu gelap saya dan saya percaya mereka
tidak akan meninggalkan saya. Mereka adalah kawan-kawan saya dan
rakan-rakan adalah seperti bintang. Semakin gelap malam, sinarannya
semakin bercahaya," kata beliau dipetik dari The Star Online.
Perhimpunan
Agung Khas Umno pada Oktober 2009 meluluskan pindaan perlembagaan iaitu
146,500 perwakilan bakal menentukan kepemimpinan Umno dengan
menghapuskan sistem kuota, persidangan mesyuarat perwakilan secara
serentak dan juga menambah bilangan ahli jawatankuasa lantikan Wanita.
Selain itu
Umno juga meluluskan untuk menjadikan yuran keahlian sebagai yuran
seumur hidup, memberi kuasa kepada Pemuda, Wanita dan Puteri untuk
meluluskan keahlian baru Umno dan mengiktiraf sumbangan setiausaha
bahagian./~sabahkini.net