Saya yang tidak berapa pandai ini pun merasakan yang UMNO sudah sampai kepenghujung usianya. Saya bukan menentang tindakan menahan rakan-rakan perjuangan saya oleh pihak Polis, kerana itulah makanan orang-orang perjuang sejati. Bagi pihak yang berjuang mereka merasakan mereka bertindak dengan kebenaran dan bukan sedikit manusia yang menyokong mereka.
Tetapi seperkara yang tidak
dapat dinafikan, pihak berkuasa tidak mencari jawapan kenapa keadaan sebegini
berlaku. Pihak parti pemerintah tidak pula berusaha dan mendengar keresahan
rakyat selama ini. Apabila terdesak maka ditahan orang itu dan orang ini
sewenang-wenangnya.Saya tidak dapat menerima tindakan kerajaan menahan mereka semalam.
Ruang untuk pemerintah membetulkan keadaan
semakin hari semakin sempit. Bukan sedikit teguran di
buat terhadap parti pemerintah sejak banyak tahun dahulu, tetapi UMNO tidak
mahu berubah dan terlalu leka dengan kuasa. Rakyat sudah berani keluar untuk
menentang secara terbuka dan ia hanya memberikan keyakinan ramai yang UMNO tidak dapat
dipulihkan lagi. Yang jelas sekarang rakyat pula yang mengambil tindakan untuk
berubah.
Saya merasakan yang keadaan
begini akan terus menerus berlaku dan tidak ada pihak yang mampu untuk
meredakan perasaan mereka yang hilang keyakinan terhadap UMNO itu. Tidak adil
jika kesalahan itu hanya diletakkan kepada rakyat. UMNO sepatutnya menerima dan
mengakui seratus peratus kesalahan itu. Selalu saya berkata UMNO sudah hilang
punca seolah-olah sudah hilang hidayah kerana masih melakukan kesilapan
walaupun usia UMNO itu semakin luput. Hendak berbuat baik tetapi mereka sudah
tidak lagi tahu apa dia yang baik untuk mereka lakukan.
Penahanan tiga aktivis semalam
tidak melunturkan perasaan marah rakyat. Pihak pemerintah mesti mengakui yang
rakyat marah itu bukan tidak bersebab. Tidak mungkin mereka marah semata-mata
untuk marah. Bukannya usaha yang kecil untuk keluar malam dan berjuang dengan tidak
ada hentinya.
Malam tadi ribuan rakyat berada
di sekitar Balai Polis Jinjang untuk memberikan simpati kepada Tian Chua,
Tamrin Ghaffar dan Harris Ibrahim yang ditahan Polis semalam. Ini bukannya
perkara kecil. Jika tekanan kuat di lakukan oleh pihak berkuasa pun ia tidak
melunturkan perasaan marah rakyat itu.
Pihak kerajaan mesti faham, yang mereka
kendalikan sekarang ini bukannya haiwan. Mereka adalah manusia yang kebanyakkan
mereka adalah kumpulan muda yang terpelajar. Mereka tidak mahukan kerajaan melakukan
tekanan. Jika kerajaan sentiasa memberikan tekanan sebegini, pihak pemerintah
akan pasti kehilangan sokongan lebih buruk lagi dari semasa pilihanraya yang
lalu.
Tidak akan ada kesudahannya dan
tidak mungkin UMNO mampu memperbetulkannya lagi. Oleh yang demikian apa yang
sepatut dilakukan oleh siapa bagi membetulkan yang salah dan menampal yang
koyak tadi?
Jika benar terdapat penipuan
dalam pilihanraya yang lalu setelah mahkamah membuat keputusan, maka tidak ada
jalan lain selain dari kerajaan sekarang berundur. Kerajaan sekarang tidak
boleh lagi mengaku mereka berkuasa melalui proses demokrasi kerana telah
terdapat penipuan itu. UMNO akan hanya mampu bertahan seketika jika mahkamah
memutuskan tiada penipuan dan mengakui yang pilihanraya telah berjalan dengan
betul mengikut cara yang betul.
Tetapi boleh kah mahkamah
memutuskan PRU yang baru selesai ini tidak ada penipuan? Jika ada penipuan maka
tidak syak lagi UMNO terpaksa berundur dengan cara terhormat walaupun
pilihanraya di kawasan-kawasan yang di dapati ada penipuan diadakan semula.
Penahanan terhadap Tamrin, Tian
Chua dan Harris itu amat memberi kesan kepada kredibiliti kerajaan. Saya
berharap ketiga-tiga mereka akan di bebaskan tanpa apa-apa tindakan susulan yang di
ambil terhadap mereka.
Saya memohon agar kerajaan
cukup-cukuplah melakukan penahanan sesiapa kerana rakyat sedang memerhatikan
keadaan dengan rapi. Sekarang bukan zaman UMNO yang mengaku boleh menghantar
songkok untuk mewakili calon dan terus menang dalam pilihanraya.
UMNO dan BN akan hanya mempunayi
sedikit peluang jika UMNO tunjukan yang parti itu benar-benar melakukan transformasi
habis-habisan dengan melakukannya sekarang juga. Lewat dari sekarang kita boleh
kira UMNO sudah tamat riwayatnya.
Jika UMNO tidak memperbaiki diri
sekarang juga ia bermakna UMNO sendiri yang mahu mereka di tumbangkan bukannya
rakyat yang saja-saja mahu menumbangkan mereka.