KUALA LUMPUR: PAS mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low yang juga bekas
Presiden Transparency-International Malaysia (TI-M) terus membuka kertas
siasatan terhadap tiga Menteri Besar dan dua Ketua Menteri yang sebelum
ini terpalit dalam skandal rasuah.
Tiga Menteri Besar yang dimaksudkan itu adalah Menteri Besar Negeri
Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Khaled Nordin (Johor),
Datuk Seri Ahmad Said (Terengganu), serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri
Musa Aman dan Tan Sri Taib Mahmud (Sarawak).
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad berkata, walaupun nama
mereka terbabit ‘dibersihkan’ daripada sebarang dakwaan sebelum Pilihan
Raya Umum ke-13 (RPU13) namun persepsi itu masih wujud.
Menurut Dzulkefly, Najib dan Paul perlu mengarahkan Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya terus menyiasat pemimpin
terbabit demi komitmen untuk memperbaiki persepsi umum terhadap prestasi
indeks rasuah negara.
“Kalaulah siasatan itu menemui bukti yang dapat membebaskan mereka
daripada tuduhan itu kita minta SPRM supaya nama mereka dipertahankan
dan tuduhan disangkal.
“Kalau tidak maka persepsi akan berterusan dan jadi buruk kerana
rakyat tak dapat terima kepimpinan ketua negeri seperti ini,” katanya
dalam sidang media di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.
Musa Aman sebelum ini dikaitkan dengan skandal rasuah balak RM40 juta
dan mendapat perhatian Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC).
Begitu juga dengan Ahmad Said yang didakwa terlibat dengan skandal
rasuah pengurusan balak, namun beliau menafikannya dan bersumpah tidak
melakukan perbuatan itu dalam satu Majlis Menandatangani Ikrar Integriti
Korporat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu dengan SPRM
pada bulan lalu.
SPRM sebelum ini pernah mencadangkan kepada kerajaan mewajibkan parti politik mengemukakan senarai calon PRU13 untuk tapisan.
Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, Datuk Johan
Jaaffar berkata ini bagi memastikan calon yang bakal bertanding ‘bersih’
daripada rasuah, selain mengelakkan tohmahan tidak berasas ke atas
individu yang akan bertanding atau partinya./~TMI
Remaja 16 tahun tembak ibu bapa, adik-beradik
12 minutes ago