.

Tuesday, 7 May 2013

Masalah Husam Isu Pertama PAS Selepas Ketiadaan Nik Aziz | Oleh: Mohd Sayuti Omar

Naluri saya gemar untuk menyorot mengenai kekalahan PAS Kedah sehingga kerajaannya negeri 'rebah bertungging'. Saya geram dan berminat untuk mengulas fasal apa kerajaan PAS Kedah jatuh. Ada sesuatu yang hendak saya lepaskan mengenai PAS Kedah. Saya sudah lama menyimpan dendam ini dan akan meluah hari ini selepas PAS kalah teruk. Saya tidak mahu menjadi jahat mengkritik dalam masa Azizan atau PAS di ambang berperang.

Tetapi memandangkan gelora politik di negeri saya Kelantan lebih panas apa berlaku di Kedah saya tangguhkan dulu. Rasanya ramai yang ternanti-nanti apakah komen dan ulasan saya mengenai Kelantan, bukan pencapaian PAS dalam pilihan raya tetapi pembentukan kerajaan Kelantan yang baru.

Di Kedah sudah sah Azizan Razak tidak lagi menjadi MB Kedah. Anak Mahathir, Mukhriz, 52 sudah pun mengangkat sumpah sebagai MB Kedah yang baru. Seluruh orang PAS Kedah perlu merasa malu dan Azizan Razak terutamanya kena tanggung kemaluan itu. Tahniah kepada Mukriz. Akhirnya permainan kali ini dimenangi anda dan bapa anda, Mahathir. Kemenangan disebabkan kerana pihak PAS degil dan keras kepala.

PAS Kedah hari ini senyap sendu. Negeri itu bagi PAS seperti dimakan geruda. Berakhirlah sebuah kerajaan yang diagung-agungkan. Ternyata PAS Kedah tidak pandai menjaga negeri. Apa dialami Terengganu tahun 1999 sama dengan dialami PAS Kedah. Kerajaan PAS Terengganu yang dibentuk tahun 1999 akhirnya meniarap makan tanah tahun 2004.

Kembali kepada Kelantan. Semalam Ahmad Yaacob sudah mengangkat sumpah menjadi MB Kelantan yang baru. Barisan Exco juga sudah dibentuk, khabarnya. Nama-nama atau senarai sudah disediakan dan akan mengangkat sumpah memegang jawatan masing-masing. Mohd Amar Nik Abdullah,51 yang sebelum ini galak menyusun calon-calon PAS bersama birasnya Zulkefli Mamat dilantik menjadi TMB. Akhirnya usaha tidak pernah mengenal kalah dan secara senyap Mohd Amar itu berjaya juga. Inilah politik dan keajaibannya.

Mohd Amar tidak boleh menafikan akan hakikat dan kerja ini. Kelelahan dan tidak berdaya Nik Aziz diambil kesempatan sepenuh olehnya. Saya ada maklumat kuat untuk menuduh perkara ini. Ia ditambah pula dengan sikap Husam Musa salah seorang pemimpin tertinggi PAS yang jarang atau tidak begitu rajin untuk menghadiri mesyuarat. Kelewatan Husam tiba pada sesuatu mesyuarat telah diambil kesempatan orang Mohd Amar dan yang lain untuk mencatur mengikut kehendak mereka. Akhirnya Husam dimakan atau pun diperdaya dengan sikap acuh tidak acuhnya sendiri.

Usaha Mohd Amar berjaya. Pesepsi buruk ke atas Husam yang ditabur diserata tempat berjaya mencapai apa dihajatkan. Husam telah dinyahkan dari kerajaan Kelantan apabila beliau tidak disenaraikan sebagai Exco. Apakah Husam dipanggil sama semasa membincang untuk membentuk barisan Exco?

Hari ini Husam tidak disenaraikan bukan saja sebagai TMB, tempat yang dikira wajar dan tepat untuknya berdasarkan track rekod dan pencapaian, tetapi dia juga tidak dilantik menjadi Exco. Namanya tidak termasuk dalam sembilan nama Exco. Ketiadaan Husam dalam barisan kabienat Kelantan inilah yang anih dan ganjilnya dan menjadi isu di Kelantan kini. Husam memang kalah di perlimen Putrajaya, tetapi dia menang besar di Salor dengan majoriti, 3,683. Apakah mereka yang menyenaraikan nama Husam untuk dihantar kepada Sultan, terlupa yang Husam menang?

Otak dan kepala orang politik tidak mungkin mudah lupa akan perkara-perkara sepeting ini. Fikiran orang politik senantiasa tajam dan cekap. Jadi untuk mengatakan lupa ia adalah mustahil. Ertinya keciciran nama Husam dalam senarai kabinet Kelantan bukan atas sifat kealpaan manusia tetapi disengajakan.

Siapakah yang bertanggungjawab mengugurkan nama Husam? Inilah yang orang ramai ingin tahu. Apakah Nik Aziz atau siapa? Saya mendapat tahu mulanya nama Husam disenaraikan sebagai TMB Kelantan. Ahmad Yaacob mahukan dia menjadi timbalannya. Mungkin Ahmad sedar akan kebolehan Husam. Walaupun Ahmad ada terasa dengan tindak tanduk Husam dalam beberapa hal, tetapi sebagai orang jujur, beliau tidak melupai akan hakikat kebolehan dan kemampuan Husam. Husam sangat diperlukan untuk membantunya terutama dalam menjana pembangunan ekonomi negeri sesuai dengan beberapa plan tindakan yang sudah diambil.

Malangnya ketika sampai ke pihak Istana nama Husam didapati tidak ada? Jadi tidak timbul nama Husam dipotong atau pun di delete oleh pihak istana? Katanya seawal pihak Istana menerima senarai barisan kabinet kerajaan Kelantan nama Husam sudah tidak ada. Ruang yang sepatutnya terletak nama Husam dibubuh dengan nama Mohd Amar. Jadi bila nama Husam sudah tidak ada, maka tidak adalah apa-apa ogehan terhadap Husam. Di sini macam berlaku kolobrasi penipuan Sultan?

Salah seorang pegawal di istana yang terlihat senarai nama itu telah menghubungi seseorang dan dia terkejut kenapa nama Husam tidak ada? Jadi ini mengesahkan bahawa nama Husam dibuang awal-awal lagi oleh pihak lain bukan oleh Sultan. Ertinya permintaan Ahmad Yaacon yang mahukan Husam ditolak sebelum senarai nama itu sampai ke Istana. Tidak tepat kalau ada pihak mengatakan sultan tidak mahukan Husam.

Majlis angkat sumpah jawatan MB dan TMB sudah agak pelik sedikit bila mana ia tidak dihadiri sama oleh Tokguru Nik Aziz. Ia sudah berlaku secara ganjil. Nik Aziz yang lurus dan tidak tahu bertindak sendiri katanya telah dinasihati agar tidak hadir? Beliau malahan dihantar untuk berihat di hospital. Apakah penghantaran Nik Aziz untuk menerima rawatan di hospital itu bagi memberi alasan kepada Sultan kenapa Tokguru tidak hadir? Ah sejahat dan seburuk itu politik PAS ini?

Dan dalam masa sama juga tidak mahu memberi tahu yang senarai kabinet itu tanpa nama Husam? Mati-matian Tokguru ingat majlis angkat sumpah itu akan dihadiri sama Husam. Begitukah. Tokguru yang jujur tidak hadir dan mungkin tidak dirujuk langsung mengernai senarai itu. Tokguru segera menjadi 'tongkorang' buruk dicampak ke tepi selepas nyiur didapati. Ini satu kesilapan dan satu tektik kotor yang cukup jelek kalau ia berlaku. Sebagai bekas MB Tokguru harus berada sama dalam majlis berkenaan. Walaupun ia bukan satu kemestiaan tetapi untuk merai majlis angkat sumpah beliau kena hadir sama. Kalau ini satu perancangan mereka yang memberi idea ini seorang yang jahat. Dan Tokguru jelas terkecong dalam kes ini.

Keciciran nama Husam menjadi tanda tanya dan terkilan besar kepada rakyat Kelantan yang sudah melihat kejayaan Husam sebagai Exco selama ini. Bagi mereka Husam patut diberikan kesempatan, kalaupun tidak sebagai TMB tetapi cukup sebagai Exco bagi meneruskan beberapa projek yang telah dirangkanya. Apa yang berlaku sudah ada 'kadas kenting' dalam politik PAS Kelantan mengenai perkara ini. Kalau sebelum ini perihal 'kadas genting' ini hanya diketahui dikalangan orang dalaman sahaja tetapi dengan apa yang tersembur kini menyebabkan semua orang tahu.

Saya tidak mahu menggunakan alasan Sultan yang bertanggungjawab dalam hal ini. Memang sultan boleh berbuat apa sahaja dengan kuasa sama ada ligal atau lisan ke atas sesuatu yang berlaku di dalam negerinya. Walaupun baginda tidak wajar campur tangan tetapi itu masih haknya yang diterima sebagai halal atas nama batang tubuhnya sebagai sultan. Berani saya mengatakan kalau Sultan memainkan peranan dalam hal ini menafikan keperluan Husam kepada kerajaan PAS Kelantan ia sesuatu yang tidak betul dan perlu diperbetulkan. Tetapi apakah benar sultan bersikap demikian? Saya rasa ia bukan atas ulah sultan tetapi pihak lain yang bijak mencuri keadaan dengan menggunakan nama baik Sultan. Sultan juga terkecong dalam kes ini?

Sebelum ini sudah terdengar cerita-cerita yang Sultan tidak mahukan Husam, tanpa memberi sebab-sebab dan dalil kuat kepada rakyat. Yang didengar ialah bisik-bisik kononya begitu dan begini. Situasi ini menyebabkan timbul tanda tanya sejauh mana akan kebenaran Sultan murka kepada Husam. Kalau benar Husam ada membuat kesalahan Sultan harus perjelaskan menerusi makenisme tertentu biar rakyat tahu. Dan apakah semua kesalahan itu tidak boleh dimaafi atau diperbetulkan? Rasanya ajaran Islam tidak menyarankan begitu. Sifat pengampun dan pemaaf adalah sifat terpuji.

Rakyat khasnya penyokong PAS terkilan dengan apa yang berlaku. Perkara ini perlu disedari oleh semua orang. Kalau Husam ada melakukan kesalahan seperti ditafsirkan oleh Sultan itu tetapi ia tidak melibatkan rakyat atau penyokong PAS. Maksudnya penyokong PAS tidak tahu kesalahan dan kesilapan itu. Apabila penyokong PAS tidak tahu menyebabkan timbul berbagai persepsi dan ini bakal memberi penyakit kepada PAS.

Apa yang berlaku kini memberi senario yang tidak baik dan ia bakal menyusahkan kerajaan dan kepimpinan Ahmad Yaacob juga. Semua pihak kena tahu seorang menteri besar bukan saja setakat memerlukan mandat 2/3 di DUN tetapi sokongan berterusan dari semua peringkat. Penyokong atau kepercayaan rakyat yang diletak ke Husam bukan kecil. Tidak salah kalau saya katanya orang kedua selepas Nik Aziz mempunyai pengaruh terbesar di kalangan rakyat khasnya kalangan orang muda di Kelantan ialah Husam. Dan kini apabila Tokguru tidak lagi berada dalam 'hegomeni' kuasa, maka Husamlah menjadi ikon kepimpinan di Kelantan.

Sokongan untuk sesebuah kerajaan bukan saja dari kalangan ahli dan penyokong parti sahaja. Tetapi ia memerlukan sokongan rakyat dari semua lapisan masyarakat. Husam memiliki itu semua. Beliau dilihat dan dipandang bukan saja oleh golongan remaja di dalam PAS tetapi di kalangan pegawai-pegawai kerajaan juga. Orang kampung yang dapat mengecapi nikmati menerusi projeknya juga suka. Atau setidak-tidaknya rakyat Kelantan boleh menjadi halwa telinga dengan berbagai-bagai projek pembangunan yang dirancangnya. Setidak-tidaknya dalam keadaan Kelantan tidak mempunyai wang tetapi dia boleh berkhayal untuk mewujudkan projek, sementara orang lain usah nak melaksanakan, hendak berkhayal pun tidak mampu.

Penampilan, cara dia berfikir di respact oleh banyak pihak. Semua itu adalah modal utama untuk pengukuhan kerajaan Kelantan.

Saya tidak mahu memperkecilkan kebolehan Mohd Amar sebagai timbalan menteri besar. Tetapi hakikat apa yang saya sebutkan disaksikan oleh dunia. Justeru pembarisan kabinet Kelantan tidak perlu dibuat atas rasa sentimen peribadi atau kepuakan atau kumpulan, tetapi harus meletakkan kepentingan bersama dan satu keputusan rasional. Kesalahan Husam letak dibelakang bina keyakinan dan harapan baru bersamanya, itu sepatutnya... bukan terus membunuh kerjaya politiknya secara kejam.

Saya ingin kata orang yang berusaha menyingkirkan Husam atau mempengaruhi Sultan (tetapi saya tidak percaya sultan tergamak) agar Husam tidak disenaraikan, jangan bergembira sangat dan seronok dengan apa yang terjadi. Sebuah kerajaan bukan berusia setahun, tetapi lima tahun dan tahun-tahun mendatang. Dalam tempoh itu kerajaaan Kelantan memerlukan gabungan tenaga semua para pemimpinnya. Sekiranya gabungan ini gagal diwujudkan saya membayangkan kerajaan Kelantan yang ada hari ini akan goncang.

Kegoncangan ini bukan saja dari segi perpaduan parti, tetapi juga kegoncangan dari segi kewangan dan lain-lainya. Justeru tanggungjawab Ahmad Yaacob kini besar untuk mencari seorang Husam baru bagi menggati Husam lama itu. Kegagalan Ahmad mendapat pengganti atau seorang yang setaraf dengan Husam dari segi memiliki intelektual politik dan ekonomi menyebabkan Kelantan bermasalah. Kegagalan mendapat pengganti Husam akan dipertanggungjawab kepada beliau. Saya yakin kalau diadakan usaha, apa disebut sebagai perselisihan Husam dengan sultan seperti mana dijaja itu dapat dilendekkan, kerana tidak ada masalah tidak dapat diselesaikan.

Saya pernah menyebut keadaan Nik Aziz dengan Tuanku Ismail Petra semasa menjadi sultan dulu lebih dahsyat lagi sehingga Tuanku enggan bersalam dengan Nik Aziz di Balai Islam, dan Nik Aziz pernah mengangap sultan sebagai bukan manusia, tetapi akhirnya mereka berdua dapat berdamai dan duduk sekali membangun dan memakmurkan negeri. Apa disebut kononnya sultan ada masalah dengan Husam belum sampai ke tahap 'pergaduhan' ayahandanya dengan Nik Aziz satu ketika dulu.

Kepada Husam, biarlah dan redha atas apa yang berlaku. Perkuatkan iman dan kejapkan semangat. Banyak berzikir dan berdoa. Anggaplah apa yang berlaku ada hikmahnya. Dan saya yakin kebenaran itu akan tetap menang dan ia menjelma selalunya lambat selepas terburainya kepalsuan. Rakyat yang akan bersama kamu. Terbaik, kalau Husam sudah tidak disenaraikan sebagai Exco kerana kononnya Sultan tidak mahu, ambil dan tempatlah Husam di mana-mana institusi pembangunan ekonomi di Kelantan. Jangan sia-sia kepakaran dan kebolehan yang beliau ada. PAS akan rugi besar kalau abaikan Husam kerana PAS telah melantih dan membentuk Husam menjadi Husam lebih 20 tahun tiba-tiba disia-siakan saja.

Ahmad Yaacob boleh memikirkan tempat yang sesuai untuk Husam. Saya percaya Ahmad sedang memikirkan masalah ini dengan serius. Beliau diharap tidak mudah terminum racun dari orang membenci Husam kerana amarah. Untuk ini ia terletak ke atas kebijaksanaan Ahmad Yaacob sendiri. Ujian pertama bagi Ahmad Yaacob sebagai MB ialah menghadapi isu mengenai Husam ini barulah selepas itu rakyat dan serangan-serrangan Umno. Kegagalan menyelesaikan isu Husam dengan baik akan menunjukkan kegagalan beliau juga.

Mohd Amar yang sudah mengangkat sumpah menjadi TMB dan ia tidak bileh diundurkan lagi. Hhajat lama yang terpendam sudah diraih. Setelah menjadi TMB seharusnya persepsi, cara berfikir dan melihat sesuatu masalah kena berubah. Dalam melayan kawan-kawan anda yang berdendam dengan Husam jangan berlebih-lebih sangat, sebab mereka adalah tukang halak dan sorak, tetapi yang akan memikulnya anda bersama Ahmad Yaacob. Ingat teman ketawa ramai, teman menangis hanya sedikit atau tidak ada langsung. Yang mengukuhkan kedudukan anda bukan 'desperado' tetapi ahli dan penyokong parti.

Isu Husam ini adalah isu pertama PAS Kelantan selepas ketiadaan Nik Aziz? [wm.kl.6:10 pm 07/05/13]

Comments (10)

Loading... Logging you in...
  • Logged in as
Adakah ini tanda2 permulaan kepada pengakhiran ( The beginning of the End) Pas di Kelantan? Setelah lama memeritah negeri, mulalah tibul bibit2 puak dan nafsu serakah untuk berkuasa dan menjatuhkan mereka yang bukan "team" sendiri. Tunggulah akibatnya nanti pada 2018 atau sebelumnya. Anak2 muda kelantan sedang memerhati tindaktanduk mereka yang diberikan kuasa mentadbir negeri Kelantan.
Wak Dogol's avatar

Wak Dogol · 635 weeks ago

Jika begitulah adanya Wak yang hina dina ini pun turut bersedih....
Bibit-bibit gila kuasa sudah menular dan menjangkiti pemimpin Kelantan. Nik Aziz sudah tentu tidak akan mencampuri urusan ini keran sebelum iniipun TGNA diminta untuk berundur oleh puak-puak ni. Ingat kemenangan kali ini disebabkan oleh TGNA dan Husam Musa sebagai pemimpin yang berwibawa. Bila Husam melangkah keluar, anda-anda semua akan hilang punca dan bercakaran sesama sendiri seperti apa yang berlaku di Kedah. Kalau di Selangor org melihat Khalid sebagai ikon bersih, sebab itu Selangor menang besar. Ingat... ingat... Pas Kelantan, anda dalam bahaya. Jangan angkuh! jangan sombong! kerana keangkuhan dan kesombongan akan menghumban anda ke lembah kebinasaan.
Sos Kicap's avatar

Sos Kicap · 635 weeks ago

DSAI! jika anda berundur, pasti politik Malaysia akan berundur 20 tahun ke belakang. DSAI ikon pembakang yang berwibawa. Secara jujur sy nyatakan memang elok DSAI berundur bagi memenuhkan masa bersama keluarga. Anda sudah berjuang bermati-matian dengan pelbagai hentakan dan panahan halilitar. Cukuplah! ambil masa untuk bersama keluarga. Beri laluan kepada mereka yang lain. Tapi selepas ini, kita akan saksikan tiada lagi check and ballance dalam kerajaan.
1 reply · active 635 weeks ago
Kekasih PAS's avatar

Kekasih PAS · 635 weeks ago

Berjuang sehingga akhir hayat..DSAI adalah pejuang Melayu yang berwawasan...memang diakui sebagai manuasia biasa terdapat kelemahan...Apa yang pastinya...DSAI adalah penggerak momentum perjuangan dalam diri rakyat Malaysia bagi semua bangsa..tanpa Anwar mungkin bangsa Melayu akan layu dan lesu...
Sos Kicap's avatar

Sos Kicap · 635 weeks ago

MOHD. AMAR ni sapa hah. Sy dah lama duk Kelate, tak kenai pon.
Salam Tuan MSO,

Saya sedikit keliru dengan pendirian tuan berkaitan peribadi Dato' Husam. Saya masih ingat bagaimana tuan menghentam Dato' Husam berkaitan Projek Kambing Bor. Sekarang, tuan dilihat bermati-matian membela Dato' Husam. Jujurlah! Permainan apakah ini.

Maaf, saya kurang arif tentang sepak terajang politik, cuma pemerhati biasa. Harap dapat dijelaskan kekeliruan ini.

Terima kasih.
suratkhabarlama's avatar

suratkhabarlama · 635 weeks ago

saya bekerja dgn agensi kerajaan persekutuan..boss saya gembira kerana Husam tidak terpilih sebagai exco semalam...saya tanya kenapa??..senang sikit nak "deal" dgn Kelantan..

kalau Husam ada..mungkin susah sebab dia "smart" dan "educated"..maksud boss saya..peluang federal nak "tipu" Kelantan lebih mudah (Nauzubillah)..

saya harap exco2 Kelantan yg dilantik akan lebih berhati2..

sebenarnya walaupun Husam tidak dilantik sbg exco..beliau masih boleh dilantik menjadi penasihat/adviser..tak semestinya kene jadi exco dulu..
Salam,
bagi saya PAS perlu perbaiki tarbiyyah ahli secara sungguh-sungguh dan menyeluruh.(Usrah yg konsisten)

"Pihak-pihak" yang mempunyai "agenda" sentiasa mencari peluang merosakkan ukhwah sesama kita dan lebih teruk lagi menanam kebencian sesama kita.

Sentiasa perbaiki dan sedia menerima teguran, tidak kira kita penyokong atau kita pemimpin.

<3 PAS
<3 ISLAM
<3 ALLAH & RASULULLAH
Kekasih PAS's avatar

Kekasih PAS · 635 weeks ago

Sedih sunguuh tengok sikap pemimpin Melayu Islam ni...lebih banyak dipengaruhi perangai Melayu dari Islam....tidak kasih dan prihatin dengan pengorbanan rakyat...kasihani rakyat..bertindaklah dengan matang dan profesional...rakyat yang menyokong terasa amt penat dengan telatah kalian..Allah sedang memerhati dan dia sebaik-baik penilai...jangan sampai Cina Dap pun sudah boring tengok perangai pemimpin PAS.Mereka DAP (kukuh bersatu atas dasar bangsa dan nilai sejagat..tapi kita Melayu yang ada Islam sebagai pegangan gagal menunjukkan perpaduan yang kuat..

Post a new comment

Comments by

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist