
Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu bahawa kemasukan pengundi dari pelbagai lokasi dalam jangka masa beberapa hari sahaja menjelang pilihan raya umum amat mencurigakan.
“Saya ingin bertanya adakah mereka yang dibawa masuk ini bertujuan untuk mengundi Barisan Nasional pada pilihan raya umum ini,” kata Ketua Umum PKR itu.
Menurut beliau, maklumat yang diperoleh pihaknya menunjukkan terdapat 16 penerbangan direkodkan daripada Sabah dan Sarawak, khususnya dari Kuching, Kota Kinabalu, Sandakan, Miri dan Sibu.

Menurut beliau, berdasarkan kiraan pihaknya menjelang hari mengundi sekurang-kurangnya 40,500 orang diterbang masuk sambil menambah bahawa maklumat yang diterima turut menunjukkan bahawa penumpang terbabit adalah warga asing.
Maklumat yang diterima daripada pekerja syarikat penerbangan MAS dan AirAsia turut termasuk salinan komunikasi email di antara MAS dengan pejabat Perdana Menteri berkenaan penerbangan berkenaan.
Selain itu, beliau turut mendakwa terdapat kebanjiran masuk pekerja asing dari Thailand, Kemboja, Pakistan dan Myanmar melalui Bukit Kayu Hitam serta warga Indonesia melalui Pelabuhan Klang dan laluan masuk pengangkutan laut. – Roketkini.com