Oleh: Shahbudin husin
Hari
ini merupakan hari terakhir untuk berkempen sebelum pengundian esok.
Baik PR mahupun BN, masing-masing sedang melipatgandakan usaha dan
kekuatan bagi meraih kemenangan di saat-saat akhir ini. Secara umumnya,
walaupun pengundi Cina lebih memihak kepada PR, kedudukan keseluruhannya
masih lagi 50-50 kerana pengundi Melayu dan luar bandar masih lagi
cenderung kepada BN.
Merdeka Center dalam kajian terakhirnya meramalkan PR dijangka pasti
memenangi 89 kerusi manakala BN 81 kerusi, sementara seelebihnya masih
lagi merupakan kerusi yang dipersaingkan dengan hebat dan hanya akan
diketahui setelah proses pengiraan undi berakhir.
BN, selain mengulang-ulang isu pembangunan, keharmonian serta
menakut-nakutkan pengundi berkenaan dengan Pas yang didakwanya ekstrem
dan DAP kononnya anti Melayu, turut menjaja nama Najib sebagai Perdana
Menteri sebagai bahan untuk meraih undi. Bertaburan di mana-mana
sekarang ini poster gambar Najib yang bertulis Undilah Perdana Menteri
yang memberi gambaran bahawa memilih Najib sebagai Perdana Menteri
merupakan keutamaan jika mengundi BN.
Sememangnya diakui BN agak tenggelam dengan idea-idea segar untuk
membantu dan meringankan beban kehidupan rakyat berbanding PR. Hanya
BR1M yang dijaja siang dan malam sebagai modal kononnya BN mempunyai
iltizam yang tinggi untuk mendahulukan rakyat.
Setelah 56 tahun berkuasa, BN sebenarnya hanya mampu menawarkan RM500
untuk menolong rakyat. Selainnya memilih BN hanyalah untuk menjadikan
Najib terus kekal sebagai Perdana Menteri.
Berbeza dengan PR yang menawarkan penurunan harga minyak, penghapusan
hutang PTPTN, pendidikan percuma, penurunan harga kereta, menaikkan
royalti untuk negeri pengeluar minyak, penghapusan tol lebuhraya
utara-selatan dan sebagainya, terlihat bahawa iltizam untuk mengagihkan
kekayaan negara dengan rakyat begitu menyerlah.
Bimbang dengan idea-idea PR itu, BN dalam manifestonya telah menciplak
sebahagian besar manifesto PR itu tetapi dengan sedikit pengubahsuaian.
Tetapi dalam kempen-kempen yang dijalankan tetap disuarakan agar Najib
terus diberi peluang sebagai Perdana Menteri kerana kononnya tempoh 4
tahun yang sudah dilaluinya masih tidak mencukupi.
Ditambah dengan semakin banyaknya poster gambar Najib yang bertulis
Undilah Perdana Menteri, tergambar bahawa matlamat utama BN lebih untuk
meletakkan Najib terus kekal sebagai Perdana Menteri berbanding
lain-lain kepentingan. Walaupun Najib dilihat gagal dalam tugasnya
berikutan hutang negara yang semakin meningkat, pembaziran, ketirisan
dan rasuah juga makin meningkat, selain pelbagai masalah lainnya yang
wujud dalam negara yang secara langsung menggambarkan kegagalan beliau
memimpin negara ini ke arah yang lebih baik, nama Najib terus dijaja ke
seluruh negara.
Ini dilihat berbeza dengan PR yang mempunyai program yang banyak dan
hampir menyeluruh untuk memberi kesejahteraan dan kehidupan yang lebih
baik untuk rakyat. Bayangkan dalam tempoh lima tahun akan datang
pelbagai manfaat bakal diperolehi jika peluang diberikan kepada mereka.
Hanya selepas 24 selepas menubuhkan kerajaan, harga minyak akan
diturunkan, tarif letrik akan dikaji semula, anak-anak boleh menikmati
pendidikan percuma tanpa terbeban lagi dengan hutang PTPTN, boleh
memberi kereta dengan harga yang lebih murah apabila cukai eksais
dikurangkan dan pemberian permit import tidak lagi seperti sekarang,
tiada lagi tol di lebuhraya utara-selatan, negeri pengeluar minyak akan
menikmati lebih kemakmuran dan pelbagai lagi.
Manifesto dan janji-janji PR bukan saja memberikan kita rakyat Malaysia
kehidupan yang lebih baik, malah anak-anak dan cucu kita juga mempunyai
jaminan yang lebih baik kehidupannya.
Berbanding mengundi BN, mereka hanya menawarkan Najib terus kekal
sebagai Perdana Menteri dan menjanjikan bantuan RM500 melalui BR1M akan
diteruskan. Tiada ada iltizam yang tinggi untuk memberi kehidupan yang
lebih baik bagi rakyat dan generasi seterusnya, malah dengan hutang
negara lebih RM500 billion sekarang dan dijangka akan terus meningkat
jika BN dan Najib terus kekal, bermakna setiap kelahiran bayi akan
segera dibebani hutang sebanyak RM20 ribu bersamanya.
Tiada pilihan yang banyak jika rakyat dan pengundi sayangkan diri
sendiri dan anak cucu mereka selain memberi peluang kepada PR memerintah
negara ini. 5 Mei adalah penentuannya. Hanya dengan berakhirnya era BN
dan pengundi dapat membuktikan bahawa rakyatlah sebenarnya yang paling
berkuasa dalam negara ini, boleh menaik dan menjatuhkan kerajaan, maka
kehidupan rakyat akan menjadi lebih baik akhirnya.
Tetapi jika masih ada yang terlalu sayangkan Najib, keluarga dan
anak-anaknya yang sudah pun menikmati kehidupan selesa melebihi kasih
sayang kepada diri dan anak cucu sendiri, silalah terus mengundi BN, (SH
04/05/2013)
Kelantan: Mayat wanita bertudung tersangkut pada 'taut'
49 minutes ago