.

Saturday, 20 April 2013

PRU 13 : Lapan kerusi Parlimen paling panas

Calon-calon kerusi Parlimen Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan antara lapan kerusi panas yang dipertandingkan pada pilihan raya umum ke-13. — Gambar oleh Boo Su-Lyn

KUALA LUMPUR, 20 April — Kerusi Parlimen Gelang Patah (Johor), Putrajaya (Wilayah Persekutuan), Lembah Pantai (Wilayah Persekutuan) dan Permatang Pauh (Pulau Pinang) adalah antara kerusi panas daripada 222 kawasan Parlimen yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pertembungan di Cameron Highlands (Pahang), Segamat (Johor), Arau (Perlis) dan Shah Alam (Selangor) yang juga termasuk dalam kelompok kerusi panas menjadi tumpuan masyarakat dan pemerhati politik kerana ditandingi beberapa veteran politik selain membabitkan pertandingan lebih daripada tiga penjuru.

Kerusi Parlimen Gelang Patah yang mempunyai 106,864 pengundi menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.
Kerusi itu disandang Tan Ah Eng daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 8,851 undi.

Penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian dalam temu bualnya bersama TV3 hari ini berkata kedua-dua tokoh politik gergasi itu mempunyai kelebihan masing-masing di mana Abdul Ghani dilihat lebih dominan di Johor berbanding Kit Siang yang popular di peringkat kebangsaan.


“Saya melihat pemilihan Abdul Ghani adalah tepat dan tidak harus dilihat mewakili satu kaum. Beliau juga diterima seluruh masyarakat setelah menumpahkan khidmat sepanjang menjadi calon BN berbanding Kit Siang yang kerap bertukar lokasi,” katanya.

Selain Gelang Patah, saingan tiga penjuru juga disaksikan di Permatang Pauh apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku penyandang kerusi itu dicabar Dr Mazlan Ismail (BN) dan Dr Abdullah Zawawi Samsudin (Bebas).

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang juga penyandang kerusi Parlimen Lembah Pantai akan ditentang Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin (BN) dan calon Bebas Rusli Baba.

Pada pilihan raya 2008, Anwar menang dengan majoriti 15,671 undi manakala anaknya Nurul Izzah memperoleh majoriti 2,895 undi.

Sementara itu, Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel juga akan mengharungi persaingan sengit di Parlimen Cameron Highlands apabila ditentang calon DAP M. Manogaran dan tiga calon Bebas.

Kerusi itu dimenangi BN menerusi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K.Devamany dengan majoriti 3,117 undi pada PRU12.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga penyandang kerusi Parlimen Putrajaya selama dua penggal sejak 2004 akan menghadapi pertandingan satu lawan satu dengan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa. Pada 2008 beliau memperoleh majoriti 2,734 undi. 

Pertembungan buku dengan ruas antara calon rakan BN Datuk Zulkifli Nordin dan penyandang Khalid Abdul Samad di Parlimen Shah Alam juga bakal menghangatkan PRU13.

Selain itu pertembungan dua rakan baik iaitu Timbalan Presiden MIC yang juga Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S.Subramaniam dan bekas menteri kesihatan yang juga Pengerusi PKR Johor Datuk Dr Chua Jui Ming di Parlimen Segamat.

Khalid menang dengan majoriti 9,314 undi manakala Subramaniam memperoleh majoriti 2,991 undi.

Turut mencuri perhatian ialah pertandingan tiga penjuru antara bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim, Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din dan Zainudin Yom (Bebas) di Parlimen Arau.

Kerusi Arau dimenangi Datuk Ismail Kasim, yang juga adik Shahidan daripada BN, menewaskan Haron dengan majoriti 300 undi pada 2008.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 15 hari dengan 5 Mei adalah tarikh pengundian manakala tarikh pengundian awal, ditetapkan pada 30 April ini. — Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist