Ciuman dari anggota masyarakat India tidak memadai untuk
menyelamatkan calon BN untuk kerusi parlimen Shah Alam, Zulkifli
Noordin, atau menjadi penawar kepada perasaan “amat meluat” di kalangan
warga berkenaan, kata ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Jarang
sekali kita mendapat ahli politik seperti ini, penuh dengan ketaksuban
kaum, merendah-rendahkan agama dan kepercayaan lain,” katanya dalam satu
sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.
Anwar juga tertanya-tanya mengapakah pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak meletakkan Zulkifli sebagai calon di kawasan tersebut.
Sedangkan, masyarakat India kini “sangat meluat” dengan Zulkifli yang merupakan naib presiden PERKASA itu, katanya.
Sentimen itu tidak boleh ditawarkan dengan hanya satu ciuman, kata Anwar lagi.
Zulkifli
pada hari penamaan calon Sabtu lalu dirakam dalam keadaan beliau
dirangkul erat dan dikucup oleh seorang lelaki, yang merupakan seorang
penyokong dari BN dari kelompok masyarakat India.
Najib
menguar-uarkan kucupan tersebut sebagai tanda bahawa masyarakat India
sudahpun menerima Zulkifli yang sebelum ini mencetus kontroversi
berhubung kenyataannya berhubung dewa Hindu.
Najib juga berkata Zulkifli berikrar untuk menjaga kebajikan orang India di kawasan tersebut.
[Baca berita penuh]