WANGSA MAJU - MCA Wangsa Maju bersama kira-kira 120 pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) Wangsa Maju memutuskan memboikot Barisan Nasional (BN)
sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) berikutan Datuk Yew
Teong Look tidak dicalonkan di kerusi Parlimen Wangsa Maju.
Perkara tersebut disuarakan selepas mesyuarat tergempar bersama MCA dan
wakil-wakil NGO Wangsa Maju setelah mengetahui Teong Look tidak
dicalonkan, semalam.
Ketua Bilik Gerakan Pilihan Raya MCA, Lim Choong Hong berkata, 120 NGO
seluruh Wangsa Maju telah sepakat bersama MCA akan memboikot pilihan
raya kali ini.
Menurutnya, suara rakyat di akar umbi di Wangsa Maju langsung tidak
didengar oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak setelah NGO
menghantar memorandum kepada Najib supaya Teong Look dicalonkan.
“Malah MCA akan mengadakan bantahan bersiri kepada pucuk pimpinan MCA
bagi mengutuk tindakan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang tidak
mempertahankan kerusi Wangsa Maju.
“Saya percaya undi masyarakat Cina di Wangsa Maju akan beralih kepada
parti pembangkang dan BN akan kalah teruk PRU13 sebagai tanda protes
kepada keputusan ini,” katanya.
Sementara itu, Teong Look berkata, beliau telah bekerja keras untuk
mengembalikan keyakinan rakyat kepada BN dan tidak henti-henti
berkhidmat menjaga kebajikan rakyat hampir lima tahun.
“Saya telah membelanjakan RM2.5 juta tanpa bantuan parti komponen yang
lain untuk penduduk di Wangsa Maju tetapi kerja keras tidak dinilai oleh
pucuk pimpinan BN.
“Saya mengambil keputusan untuk berehat dan apa-apa keputusan dari MCA
serta NGO bagi memboikot pilihan raya bukanlah dalam kawalannya
sekarang,” katanya.
Namun begitu, beliau tetap akur dengan keputusan pemilihan calon yang dibuat pucuk pimpinan BN./~sinar harian
Seorang wanita tergamak penggal kepala 2 anak
5 hours ago