KUANTAN: Calon PKR Kuantan, Fuziah Salleh hari ini membuat laporan
polis berhubung ugutan berbaur gangguan seksual yang diterimanya melalui
sistem pesanan ringkas (SMS) lewat pagi ini.
Tanpa mendedah kandungan SMS itu, Naib Presiden PKR itu, berkata
kandungannya mengugut untuk mencemar kredibilitinya selaku calon dan
mengancam untuk menyebar perkara ‘buruk’ mengenainya.
Beliau mengesyaki ia dilakukan seorang wartawan sebuah stesen
penyiaran kawalan Umno BN selepas membandingkan nombor telefon berkenaan
dengan kad media yang ada dalam simpanannya.
“Setiap nombor media saya simpan. Nombor sama sejak tahun lalu selalu
hantar SMS terutama melibatkan isu Lynas tapi saya tidak pernah ambil
peduli.
Kali ini, melampau. Saya sebagai calon wanita risau, ini agak menakutkan. Kalau SMS sekadar marah-marah dan tak suka, lainlah.
“Saya risau ada insiden yang tak diingini berlaku. Dalam keadaan
sekarang, semua boleh berlaku. Jadi saya tampil buat laporan,” katanya
seperti dilapor Keadilandaily hari ini.
Fuziah berkata, SMS itu diterimanya jam 3.32 pagi, bagaimanapun masih membuat pengesahan mengenai nombor tersebut.
Keadilan Daily beberapa kali cuba menghubungi nombor berkenaan tetapi telefon bimbit itu ditutup.
Fuziah berkata, nombor sama juga sebelum ini sering menghantar SMS
peringatan berbentuk amaran berkaitan isu Lynas tetapi tidak
diendahkannya./~FMT
Suami kejam disyaki bunuh isteri hamil 5 bulan
5 hours ago