Saya dimaklumkan bahawa laman-laman Facebook yang berkaitan dengan saya 
ada menyiarkan satu kenyataan maaf terhadap Dato’ Seri Zahid Hamidi 
sekitar jam 7 petang ini. Sejurus selepas itu juga, laman-laman blog 
pro-Umno menyiarkan berita melaporkan kononnya kenyataan maaf tersebut.
Saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang kenyataan maaf. Saya tetap 
dengan pendirian sebelum ini bahawa perkara ini akan diteruskan di 
mahkamah dan saya tidak akan berganjak dari terus membawa soal salahguna
 dana Angkatan Tentera Malaysia.
Kenyataan tersebut adalah palsu, berniat jahat dan direncanakan oleh 
laman-laman blog pro-Umno bertujuan memfitnah saya dan mengelirukan 
rakyat.
Apabila mereka tidak dapat berdepan dengan pendedahan-pendedahan yang
 memalukan pimpinan mereka, laman-laman ini secara tidak beretika 
menggunakan muslihat untuk menggodam akaun dan laman-laman berkaitan 
Pakatan Rakyat, termasuklah laman-laman pimpinan Pakatan Rakyat dan 
laman Facebook.
Laman Facebook saya adalah yang kedua dalam tempoh dua hari yang 
digodam, selepas laman Facebook YB Azmin Ali, Timbalan Presiden 
KEADILAN. Ini juga rentetan kepada siri godaman terhadap laman Malaysiakini setiap kali ada perkembangan politik penting negara yang merugikan Umno/Barisan Nasional.
Saya mengutuk sekeras-kerasnya muslihat dan tipu helah yang digunakan
 oleh cybertrooper Umno ini kerana ia tidak beretika dan memfitnah. 
Sikap pimpinan Umno yang berdiam diri menunjukkan mereka juga sama-sama 
mendokong muslihat dan tipu helah kotor ini.
Saya sekali lagi menegaskan bahawa saman Datuk Seri Zahid Hamidi akan saya jawab di mahkamah.
Isu salahguna dan penyelewengan dana LTAT dan kebajikan anggota 
angkatan tentera yang diabaikan tidak boleh dipadamkan dengan muslihat 
jahat dan tipu helah cyber seperti ini.
RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi KEADILAN
27 Januari 2013
Dr Mahathir calon perdana menteri sekali lagi?
47 minutes ago



