Oleh:
Shahbudin Husin
Nama Syed Mokhtar Al Bukhary, orang Melayu paling kaya di Malaysia
disebut lagi di Parlimen. Kali ini ia disebut oleh orang yang senama
dengannya iaitu Bung Mokhtar, Ahli Parlimen UMNO Kinabatangan yang
memang terkenal dengan kelantangan dan ucapan yang kontroversi.
Bung Mokhtar membangkitkan tentang monopoli perniagaan yang diperolehi
oleh Syed Mokhtar daripada kerajaan sejak akhir-akhir ini. Selama ini
katanya, usahawan itu sudah memperolehi perniagaan di darat, laut serta
udara dan tidak mustahil selepas ini di atas kubur pula.
Jika sebelum ini Ahli Parlimen pembangkang sering melahirkan rasa tidak
puas hati terhadap Syed Mokhtar terutama berkaitan kenaikan harga gula
dan penganugerahan beberapa projek mega sejak Najib menjadi PM, kini
Ahli Parlimen BN juga bagaikan senada dengannya.
Memanglah diakui, sejak Najib menjadi PM pada 2009, hampir semua projek
mega diberikan kepadanya. Beliau kini menguasai monopoli perniagaan gula
dan beras dan dianugerahkan pula penswastaan dalam perniagaan
pelabuhan, IPP, Proton, MRT, Keretapi Tanah Melayu dan banyak lagi.
Sayap perniagaan Syed Mokhtar kini melebar hampir kepada semua jenis perniagaan halal di Malaysia.
Melihat stail kepimpinan Najib, adalah dijangkakan lebih banyak lagi
penganugerahan projek mega dan penswastaan akan diberikan kepada Syed
Mokhtar, terutamanya jika beliau terus menerajui Malaysia selepas PRU 13
ini.
Dalam konteks perniagaan gula yang dimonopolinya, telah berlaku empat
kali kenaikan sejak Najib menghuni Seri Perdana dan ini antara isu yang
menimbulkan kemarahan rakyat terhadap beliau.
Syed Mokhtar, usahawan berasal dari Kedah ini mula menjadi primadona
kepada kerajaan sejak era kepimpinan Tun Mahathir lagi walaupun
sebenarnya beliau mula bertapak kukuh dalam dunia perniagaan di Johor
ketika Muhyiddin menjadi Menteri Besar di penghujung tahun 80an dahulu.
Di era Pak Lah juga beliau kekal mendapat perhatian yang tinggi daripada
kerajaan. Tetapi pemberian kontrak kerajaan atau penswastaan paling
banyak diperolehinya di era Najib ini.
Hampir semua projek besar dan mega yang diumumkan kerajaan, ia akhirnya
akan jatuh ke tangan Syed Mokhtar. Malahan sebaik saja Najib mengumumkan
sesuatu projek mega, wujud tanggapan rakyat atau lelucon bahawa ia
pasti menjadi milik Syed Mokhtar akhirnya.
Longgokan terlampau banyak projek mega kepada Syed Mokhtar menggambarkan
seolah-olah nama usahawan Melayu lain tidak pernah wujud di hati Najib.
Di hati Najib hanya ada nama Syed Mokhtar saja.
Bagi rakyat biasa, lambakan terlampau banyak projek kepada Syed Mokhtar
menimbulkan perasaan tidak puas hati kerana seolah-olah usahawan lain
tidak layak diberikan peluang yang serupa. Lebih dari itu, ia juga
dilihat menggambarkan kegagalan Najib sendiri untuk melahirkan lebih
ramai usahawan Melayu yang berwibawa.
Rakyat juga sedikit marah dengan Syed Mokhtar kerana monopoli gula yang
dikuasainya telah menyebabkan rakyat dibebankan dengan kenaikan sebanyak
empat kali dalam tempoh tidak sampai empat tahun berbanding tiada
kenaikan ketika dikuasai oleh Robert Kouk.
Bagi pihak pembangkang pula, mereka melihat isu Syed Mokhtar ini sebagai
paparan kelemahan Najib dalam mengurus ekonomi dan negara. Najib
dilihat seperti sudah terikat dan termakan budi dengan usahawan itu
sehingga tunduk dan akur terhadap apa saja permintaannya.
Sementara itu pakar-pakar ekonomi juga tidak bersetuju dengan lambakan
terlampau banyak projek kepada seseorang individu kerana ia lebih mudah
memberi kesan langsung terhadap ekonomi negara. Dengan Syed Mokhtar
sekarang ini menguasai sebahagian besar segmen ekonomi negara, jika
beliau terbersin misalnya, kesan selsemanya pasti akan dirasai oleh
ramai orang.
Ahli dan pimpinan UMNO juga sebenarnya tidak berapa setuju dengan kaedah
Najib yang memberikan terlampau banyak projek kerajaan kepada Syed
Mokhtar, namun kebanyakannya hanya berdiam diri atau bersuara di
belakang kerana akur ianya adalah pilihan dan kuasa Najib sebagai PM.
Suara yang dibawa oleh Bung Mokhtar sebenarnya adalah suara yang sudah lama terpendam di hati ahli UMNO.
Ramai ahli dan pimpinan UMNO tidak gembira dengan Syed Mokhtar kerana
beliau dilihat mempunyai pasukannya yang tersendiri untuk melaksanakan
semua projek yang diberikan oleh kerajaan. Dan ada pula dakwaan
mengatakan semua pasukannya terdiri daripada bukan Melayu. Tidak ada
setitis pun tempias atau terpercik projek yang diperolehinya akan jatuh
kepada usahawan dari kalangan ahli serta pemimpin UMNO.
Lebih dari itu, Syed Mokhtar juga meletakkan dirinya terlalu eksklusif
sehingga tidak mahu menjalin sebarang hubungan dengan mana-mana pihak
lain dalam UMNO selain Perdana Menteri. Ini bermakna, meskipun Syed
Mokhtar memperolehi banyak nikmat dari UMNO tetapi tidak ada mana-mana
pihak dalam UMNO yang dilayannya untuk memperolehi sebarang sub kontrak
atau bantuan perniagaan.
Syed Mokhtar juga tidak bergaul dalam majlis-majlis sosial yang
melibatkan UMNO sebagaimana yang biasa dilakukan oleh usahawan lain yang
memperolehi kontrak daripada kerajaan sebelum ini seperti Allahyarham
Tan Sri Yahya, Halim Saad, Tajuddin Ramli, Rozali Ismail, Abu Shahid
serta ramai lagi. Tiada ruang kepada sesiapa dalam UMNO menjalin
kerjasama, mengemukakan cadangan, mengadu masalah atau meminta bantuan
daripadanya berikutan sifat eksklusif yang diamalkannya itu.
Ruangnya hanya terbuka untuk Najib dan Seri Perdana sahaja.
Inilah antara isu yang selama ini dipendam oleh ramai ahli dan pemimpin UMNO terhadap Syed Mokhtar.
Di sebalik ada yang bangga dengan kejayaan Syed Mokhtar dalam
perniagaan, tidak dapat dinafikan monopoli dan lambakan terlalu banyak
projek kerajaan ditangannya turut mencetuskan rasa tidak puas hati
sebahagian besar segmen dalam masyarakat. Tidak saja pembangkang, rakyat
biasa dan pakar-pakar ekonomi, malahan ahli dan pemimpin UMNO juga
turut tidak menyenangi beliau.
Digelar sebagai orang Melayu terkaya dan kini raja kroni di era
kepimpinan Najib, rasa tidak puas hati yang kian tak terbendung sekarang
di mana Ahli Parlimen BN sendiri mula mengkritiknya dan kesatuan
sekerja kakitangan Keretapi Tanah Melayu juga melakukan demonstrasi
terhadap rancangan penswastaan KTM kepadanya serta protes senyap rakyat
yang sudah lama terpendam, semua penolakan itu mungkin terhambur ke peti
undi yang akan memudarkan lagi peluang Najib untuk kekal di Seri
Perdana.