Musa terperanjat sidang akhbar isu Altantuya di Bangkok
SHAH ALAM, 21 Okt — Tan Sri Musa Hassan terperanjat dengan dakwaan beliau akan mengadakan sidang akhbar di Bangkok, Thailand esok mengenai isu pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006 seperti yang tertera di laman sesawang Kelab Koresponden Asing Thailand (FCCT).
“Saya terperanjat apabila mendengar berita ini. Saya tahu tentang ini pun apabila ada wartawan menghubungi saya semalam.
“Mana ada, saya masih di sini (Malaysia),” kata bekas ketua polis negara (KPN) itu ketika dihubungi oleh The Malaysian Insider sebentar tadi.
Tinjauan The Malaysian Insider di laman sesawang FCCT menyaksikan notis tentang sidang media Musa di Bangkok masih tertera di laman berkenaan dan boleh diakses di sini http://fccthai.com/items/966.html.
“Saya tak faham mengapa semenjak dua menjak ni saya sering menjadi sasaran pelbagai spekulasi,”
“Saya harap pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini berhenti menganggu saya,” katanya lagi.
Notis itu menyebut, sidang media bekas KPN itu akan diadakan pada 22 Oktober jam 11 pagi waktu Thailand .
Jemputan itu bertajuk “Pendedahan baru dalam kes pembunuhan Altantuya” oleh bekas KPN Malaysia dan menyatakan notis bahawa acara berkenaan tidak ditaja oleh FCCT.
Notis tersebut juga menulis, enam tahun lalu, seorang jurubahasa muda dari Mongolia bernama Altantuya Shaariibuu, telah dibunuh di Malaysia oleh dua pegawai polis dari Cawangan Khas dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan
Selepas kematian beliau, terdedah bahawa dia telah dikaitkan dengan penjualan dua kapal selam buatan Perancis ke Malaysia dengan harga 1.3 bilion dolar Amerika Syarikat — perjanjian yang disyaki mengandungi rasuah peringkat tinggi.
PM semasa Malaysia, (Datuk Seri) Najib Razak, ketika itu Menteri Pertahanan dan (Tan Sri) Musa Hassan adalah ketua polis negara. Pendedahan ini dijangka akan mengubah landskap politik Malaysia.
Musa Hassan, yang telah berhenti sebagai ketua polis, mempunyai pendedahan terbaru terhadap kes berprofil tinggi ini. Beliau akan berbuat demikian pada sidang akhbar di FCCT.
Altantuya dibunuh secara kejam apabila mayatnya diletupkan menggunakan bom di Hutan Simpan Puncak Alam, Shah Alam antara malam 18 Oktober dan 19 Oktober 2006.
Beliau adalah penterjemah kepada Abdul Razak Baginda dalam pembelian kapal selam Scorpene.
Abdul Razak Baginda rapat dengan Najib yang pada ketika itu merupakan timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan Malaysia.
Dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) dan pengiring kepada Najib, Inspektor Azilah Hadri, 34, dan Koperal Sirul Azhar, 39, dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April 2009, setelah didapati bersalah membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja antara 9.45 malam 18 Oktober 2006 dan 9.45 malam hari berikutnya.
Hakim dalam kes perbicaraan itu walaubagaimanapun tidak memutuskan motif pembunuhan Altantuya./~TMI