KUALA LUMPUR, 14 Okt — DAP hari ini menyeru agar Kementerian
Pengangkutan menggantung sementara pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan
Automatik (AES) kerana ia hanya akan memberikan keuntungan kepada
pemegang konsesi, dan bakal membebankan rakyat negara ini.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata melalui pemasangan 831
kamera di seluruh negara, syarikat konsesi berkenaan - ATES Sdn Bhd dan
Betap Tega Sdn Bhd – mampu mendapatkan balik modal mereka melalui
pengagihan keuntungan daripada saman yang dibayar sehingga RM700 juta.
"Sekiranya RM5 bilion dikutip setiap tahun, kedua-dua pemegang
konsesi akan beroleh keuntungan RM80 juta di bawah peringkat pertama,
RM270 juta di bawah peringkat kedua dan RM350 juta di bawah peringkat
ketiga – jumlah lumayan sebanyak RM700 juta untuk kerja setahun," kata
Lim ketika Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan di Ibu Pejabat DAP di sini.
Jelas Ahli Parlimen Bagan ini lagi, daripada skim pembayaran yang
diberikan kepada pemegang konsesi tersebut menunjukkan terdapatnya tiga
peringkat kaedah bayaran dengan peringkat pertama, untuk setiap lima
juta saman pertama, RM16 setiap saman akan dikutip oleh konsesi dengan
kadar RM80 juta.
Bagi peringkat kedua pembayaran, sejumlah RM540 juta kutipan
seterusnya dikongsi 50 peratus, iaitu berjumlah RM270 juta, dan kerajaan
bakal mendapat jumlah yang sama.
Peringkat ketiga pula, sejumlah 7.5 peratus akan dikutip daripada
keuntungan seterusnya, dengan kerajaan akan mengutip jumlah yang
berlebihan.
Media sebelum ini melaporkan sejumlah 63,558 kesalahan trafik telah
dicatatkan bagi lapan hari pertama sejak pelancaran AES pada 23
September lalu, dengan 14 kamera dipasang di kawasan-kawasan kerap
berlakunya kemalangan.
"Selain daripada keuntungan RM700 setahun, terdapat juga tanda tanya
tentang kos besar yang didakwa oleh kedua-dua pemegang konsesi untuk
pemasangan 831 kamera.
"Adakah ia bernilai RM600 - RM800 juta seperti yang didakwa oleh
kedua-dua syarikat tersebut untuk pemasangan 831 kamera yang bersamaan
dengan RM722,000 - RM962,000 setiap kamera?" soal Lim lagi.
Justeru, beliau mengharapkan agar Kementerian Pengangkutan harus
menunaikan kebertanggungjawaban umum dengan menjelaskan soalan-soalan
ini dan sama ada ia dilakukan melalui tender terbuka.
"Jika isu-isu ini tidak dijelaskan, pemandu-pemandu Malaysia berhak
marah kerana sekali lagi kroni-kroni Barisan Nasional (BN) untung
sementara rakyat rugi.
"DAP menyeru agar pelaksanaan AES digantung dengan serta merta
sehingga isu-isu ini dapat diperjelaskan dengan penuh demi kepentingan
umum," katanya lagi. ?~TMI
Polis siasat status ibu bapa jenazah bayi beku
3 minutes ago