Oleh : LISA J. ARIFFIN
KUALA
LUMPUR : Malaysia kini menghadapi jurang perbezaan dari segi pendapatan
dan keuntungan syarikat di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP),
kata Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Beliau yang
menyertai sesi debat memberitahu Parlimen bahawa cadangan untuk Bajet
2013 yang dibuat oleh Barisan Nasional (BN) tidak cukup untuk
mengurangkan perbezaan antara kaya dan miskin di Malaysia.
Ketua
pembangkang itu berkata pendapatan isirumah masih lagi rendah dan
menunjukkan yang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin miskin.
“Ini bermakna pertumbuhan ekonomi dan projek yang diumumkan oleh BN tidak memberi manfaat kepada majoriti penduduk,” kata Anwar.
Beliau
berkata berdasarkan tinjauan, 44.2 peratus penduduk isirumah di
Malaysia mendapat kurang dari RM2,500 sebulan, dan hanya mewakili 14
peratus dari kekayaan ekonomi jika dibandingkan dengan 50 peratus yang
dipegang oleh 20 peratus penduduk Malaysia yang terkaya.
“Keghairahan
mengejar unjuran ekonomi tanpa melihat polisi untuk merapatkan jurang
miskin dan kaya dapat dilihat dalam ETP yang dicadangkan perdana
menteri,” kata Anwar.
“Analisis
dan perbandingan dalam nilai ekonomi yang dibuat dalam projek ETP dan
gaji yang diberi kepada pekerja, bahawa pada tahun 2020 gaji pekerja
akan mendapat kurang dari keuntungan syarikat.
“Sekarang, ratio gaji dan keuntungan ialah sekitar 28 peratus, di bawah ETP ia akan jatuh kepada 21 peratus,” katanya lagi.
Anwar
berkata, pelan ekonomi nasional harus berubah dari hanya mahu mencapai
pertumbuhan ekonomi dan ekuiti, tetapi harus memastikan pendapatan
RM4,000 sebulan kepada seluruh isirumah dalam penggal pertama
pentadbiran Pakatan Rakyat (PR).
Dia juga berkata pertumbuhan ekonomi harus dijana oleh perniagaan kecil dan sederhana dan bukan “seorang dua bos besar”.
Bercakap
di Parlimen, ketua pembangkang juga membentangkan Bajet alternatif PR
dengan memberi fokus kepada peningkatan pendapatan isirumah.