"Apa yang saya dapat lihat, Umno sekarang semakin lemah. Perpaduan dalam parti juga semakin menurun dan ini boleh menyebabkan parti veteran negara ini berada di ambang perpecahan," katanya pada Majlis Himpunan Ke Arah Penyatuan Ummah bertajuk “Dakwah Menjana Kesatuan Ummah". Beliau berkata demikian ketika menjadi panel sesi "Agenda Penyatuan Ummah Fakta atau Auta?". Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan PKR ini berkata, kaum Melayu negara ini tiada pilihan lain melainkan mesti bersatu bagi memastikan kuasa Melayu tidak terlepas kepada kaum lain.
"Kita mesti bersatu atas nama perpaduan ummah bagi memastikan demokrasi yang kita nikmati sekarang mampu dikekalkan dan diwarisi kepada generasi akan datang," tegasnya yang menyertai Umno lebih tiga tahun lalu. Tambah beliau, rakyat mesti melihat suatu gagasan besar yang mampu memimpin negara dan wajar melakukan pilihan bijak pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). "Penyatuan ummah ini mesti digalas oleh pemimpin-pemimpin yang berjiwa besar bagi memastikan setiap objektif dapat digapai secara bersama. "Jika pemimpin berjiwa kecil, bakal berlaku pemimpin yang hanya berfokuskan pada parti semata-mata, bukan kepada kebajikan rakyat," tegasnya.
Tambah beliau, pemimpin yang mampu mendominasi tampuk kepimpinan negara juga tidak boleh mementingkan diri semata-mata. "Jika pemimpin negara pentingkan diri, bagaimana mahu capai kemajuan negara?" katanya. Dalam pada itu, penganalisis politik, Prof Madya Dr Samsul Adabi Mamat menegaskan, PRU13 bakal menjadi cabaran terbesar kaum Melayu bagi memastikan Umno kekal menjadi parti pemerintah negara ini.
"Jika tiada perpaduan dalam parti, saya yakin Umno sendiri tidak mampu melakukan transformasi dalam negara kita," kata beliau yang turut bertindak sebagai ahli panel. Beliau menambah, rakyat sendiri boleh menilai dan faham dengan realiti polemik politik masa kini bagi memastikan masa depan negara terjamin dengan memilih parti yang benar dalam PRU13./~utaranews.com