.

Wednesday 15 August 2012

‘RIBUT’ DI SABAH PUNCA NAJIB TANGGUH PRU-13?

Oleh : NOMY NOZWIR

KUALA LUMPUR : Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar hari ini berkata keadaan politik di Sabah sekarang menyebabkan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak tidak ada pilihan selain daripada menangguhkan pilihan raya.

Selain itu, Mahfuz berkata, jadual cuti perayaan yang berdekatan menyukarkan Najib membubarkan parlimen dalam masa terdekat.
 
“Selain dari Aidilfitri dan Aidiladha, kita juga hampir dengan musim peperiksaan di mana hampir 10,000 guru bertugas untuk jadi pengawas dalam peperiksaan itu.

“Sudah pasti beliau dalam keadaan tertekan kerana sumber risikan beliau sendiri berkata ada kemungkinan akan berlaku perubahan kerajaan,” kata ahli parlimen Pokok Sena malam tadi dalam majlis berbuka puasa bersama media di Kuala Lumpur.

Mahfuz juga berkata, keadaan politik di Sabah juga merancakkan lagi rancangan Pakatan Rakyat (PR) menjelang pilihan raya akan datang.

“Semalam Anwar dan para pemimpin PR telah berbincang dengan beberapa parti di Sabah untuk mengurangkan saingan untuk menentang BN di negeri itu pada PRU akan datang.

“Sudah pasti pemimpin-pemimpin tempatan akan diberi perhatian, takkan kawasan seperti Beaufort nak diberi pada orang lain..,” beliau merujuk kepada pemimpin Sabah yang keluar BN bulan lalu, Datuk Seri Lajim Ukin yang juga mantan Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Beliau juga memberi komen terhadap isu ‘kafir harbi” yang ditimbulkan oleh pengasas sekolah agama Pondok Geting, Ustaz Abdullah Sama’ah yang mengatakan haram mengundi DAP yang disifatkan sebagai ‘kafir harbi’.

“Kerajaan tidak bertanggungjawab kerana membiarkan kenyataan yang boleh memecahbelahkan negara ini dengan tidak mengambil tindakan.

“Kenyataan begini jika dibiarkan boleh jadi pertumpahan darah,” katanya lagi
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist