.

Monday 20 August 2012

RCI: BAGAI PENCURI MENANGKAP PENCURI?

Oleh : MUTALIB M.D

BUKAN mudah bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk berkata "TIDAK" kepada desakan rakyat Sabah yang mahukan penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) berhubung kemelut pendatang asing dan kerakyatan songsang yang membelenggu Sabah selama ini.

Begitu juga dengan Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong yang pada dasarnya telah berkenan mencemar duli membaca dan mengkaji memorandum yang dihantar rakyat Sabah termasuk yang ditandatangani secara bersama oleh Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Patrick Sindu dan saya sendiri; sekalipun memorandum berkenaan disampaikan kepada Yang DiPertuan Agong sebelum Baginda.
Walaupun telah menggadai nyawa saya untuk membongkar Skandal IC Palsu, IC Projek dan Pengundi Untuk Disewa; namun saya tidak pernah mendabik dada bahawa pengorbanan saya selama ini telah berjaya.

Saya amat berterima kasih kepada Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri (Tun) Abdullah Ahmad Badawi @ Pak Lah yang telah menerima, mengkaji dan berbincang secara panjang lebar dengan saya berhubung buku 'IC Projek Agenda Tersembunyi Mahathir?' sehingga mengarahkan saya dipanggil memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Pilihankhas Parlimen Mengenai Integriti yang dipengerusikan oleh Tan Sri Bernard Dompok pada 2006.

Kendatipun Pak Lah tidak mempunyai kekuatan dan 'Political Will' untuk mengisytiharkan perang terhadap Skandal IC Projek yang dilaksanakan dengan jayanya oleh Allahyarham Dato' Seri Megat Junid Megat Ayob; di bawah 'naungan dan restu' Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir; namun kesudian Pak Lah mendengar penjelasan saya dan membaca sinopsis kesemua buku saya sudah memadai.

Kesungguhan Najib menanggalkan enigma yang menjadi stigma di hati rakyat Sabah dengan mengisytiharkan penubuhan RCI merupakan 'Political Will' yang dinantikan selama ini; membuktikan rakyat Sabah dekat di hati Najib.

Sikap Najib yang suka mendengar, mengkaji, mentafsir dan menterjemahkan isu PATI dan Kerakyatan Songsang di Sabah ke dalam bentuk tindakan, sekalipun mungkin hanya membaca buku '007-Lelaki Malaysia Terakhir' dan 'IC Projek-Agenda Tersembunyi Mahathir?' yang saya serahkan sendiri kepada Pak Lah di Pejabat Perdana Menteri.

Kekuatan yang ada pada Najib tidak ada pada Dr Mahathir dan Perdana Menteri selepasnya untuk melakukan transformasi minda dan politik, seiring melakukan tindakan pantas membentuk RCI sekalipun berbentuk legislatif dan semi-interaktif, namun penuh karismatik.

Walaupun saya tidak menaruh harapan yang tinggi kepada RCI yang saling tidak tumpah sebagai aparatus untuk menjinakkan kemarahan rakyat Sabah dan bimbang dengan kebangkitan kuasa politik luar biasa. Apatah lagi terkesima dengan tindakan dua Ahli Parlimen BN melakukan tindakan 'Kamikaze' meninggalkan BN yang masih berada di tampuk kuasa; sekalipun tanpa motif yang jelas.

Memang jelas terbayang di ruang mata bagaimana berduyun-duyun PATI Filipina, Pakistan, India, Filipina berbaris di beberapa lokasi di seluruh Sabah yang direkrut sebagai Pengundi setelah diberi kerakyatan songsang melalui pintu belakang. Semua ini bukan cerita dongeng dan boleh dibaca dalam Empat Buku saya iaitu IC Palsu Merampas Hak Anak Sabah; Pengundi Untuk Disewa; IC Projek-Agenda Tersembunyi Mahathir; 007-Lelaki Malaysia Terakhir serta melalui Blog Peribadi saya; IC PALSU.

Sekalipun RCI tertubuh dengan Terma Rujukan yang senang ditebak, namun rakyat Sabah yang menderita akibat kerakyatan songsang ini mempertikaikan penubuhan RCI yang hanya mempunyai kuasa untuk menyiasat dan melaporkan kepada DYMM Yang DiPertuan Agong; namun kes Salman Majid membuktikan Undang-Undang di Malaysia hanya untuk PATI yang memiliki kad pengenalan palsu; bukan untuk IC Projek.

Segala siasatan akan menjurus kepada rujukan terakhir yang disimpan oleh pengeluar kad pengenalan iaitu Jabatan Pendaftaran Negara (Unit Khas) dan Jabatan Imigresen yang menyimpan data kemasukan mereka secara sah, namun mengubah identiti setelah mendapat kad pengenalan.

Sedangkan rekod saya mendapat Taraf Penduduk Tetap Sabah pada 1974 tidak ada dalam simpanan Imigresen sehingga menyebabkan saya terpaksa menunggu selama 23 tahun untuk JPN memasukkan huruf 'H' di Mykad saya; apatah lagi 'Pelarian Filipina dan Indonesia' atau PATI yang membanjiri Sabah di era 90-an dan mendapat 'Suaka Politik'?

Tindakan ini tidak ubah seperti bertanya pencuri apakah mereka mencuri? Mencuri adalah profesion pencuri. Begitu juga dengan Jabatan Pendaftaran Negara yang selama ini mencuri kerakyatan Sabah untuk pendatang asing setelah mereka diarah merekrut PATI sebagai pengundi dalam pelan rampasan kuasa (coup-de-taat) melalui penyimpangan undang-undang.

Jika rekod JPN menunjukkan bahawa ADUN Sebatik, Muis Picho adalah pemilik sah kad pengenalan yang dipegangnya; sekalipun beliau dilahirkan di Indonesia yang datang bekerja di Sabah; mendapat kad pengenalan merah, menyerahkan kad pengenalannya setelah mengeluarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan pulang ke Indonesia.

Muis kembali semula ke Sabah dan mendapat kad pengenalan biru IC Projek dan seterusnya MyKad dan akhirnya menjadi ADUN Sebatik yang dilindungi undang-undang.

Mampukah RCI mengatasi masalah ini yang melibatkan lebih sejuta orang warga asing yang diberi MyKad Malaysia; tidak termasuk ratusan ribu Pelarian Filipina dan Pelarian Indonesia (berbangsa Cina); kebanyakannya telah memasuki perkhidmatan kerajaan; malah pemegang IC Palsu seperti Arsad Alwi terus dilindungi oleh Kerajaan Malaysia.

Saya tidak berniat untuk mempertikaikan 'Political Will' Najib melaksanakan RCI, namun saya bimbang pemimpin politik di Sabah akan mengalami mimpi ngeri setiap malam jika Najib dan Kabinet Persekutuan memberi kuasa lebih kepada RCI untuk menarik kerakyatan songsang yang dimiliki oleh penyokong tegar ADUN dan Ahli Parlimen BN sejak 'Ops Gembleng' dilaksanakan pada 1991.

Rakyat Sabah akan bertepuk sorak jika semua PATI yang mendapat kerakyatan songsang dilucutkan kerakyatan dan sebagai alternatif dihalau keluar daripada Sabah atau diberi kad pengenalan merah iaitu penduduk tetap atau seangkatan dengannya.

Namun siapakah yang mempunyai kekuatan untuk melaksanakan 'Misi Suci' ini jika majoriti pemimpin Sabah 'Bacul' dan kehilangan 'Kejantanan' untuk berjuang demi ibu pertiwi? Malah dalam masa yang sama mereka melindungi PATI dan terus memberi suaka politik sekalipun PATI berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri melainkan Sijil Keahlian UMNO?

Mahkamah di Malaysia tidak akan mampu menjatuhi hukuman terhadap pesalah politik ini setelah kes Salman Majid menjadi 'Mercu Tanda' Kehakiman di Malaysia. Lalu siapa lagi yang boleh diharapkan?

Buku pertama saya, IC PALSU Merampas Hak Anak Sabah yang diterbitkan pada 1999 dan telah dijadikan sebagai Bahan Bukti dalam Petisyen Pilihanraya Likas dan dibeli oleh Perpustakaan Negeri Sabah sebagai bahan rujukan penting. Parti Bersatu Sabah (PBS) yang berada di luar BN ketika itu menggunakan buku berkenaan sebagai modal politik untuk meneruskan survival mereka.

Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan (Tan Sri) tidak pernah membeli walau sebuah buku berkenaan yang saya beri percuma kepada beliau; tetapi menjadikan buku saya sebagai senjata untuk menentang dan membongkar kejalangan Kerajaan Persekutuan berhubung kerakyatan songsang; termasuk buku kedua saya Pengundi Untuk Disewa.

Sikap 'Bacul' pemimpin Sabah begitu terserlah kerana membungkus atau menutup semua kulit buku saya kerana bimbang dicap sebagai 'Penentang Kerajaan' atau 'Musuh Warga Penyu'.

Semua parti politik di Sabah, malah PAS di Kelantan, menjadikan semua buku saya sebagai 'Boomerang' dan melobi kedudukan mereka dalam politik; namun tidak berani memperjuangkan kebenaran buku berkenaan; sekalipun Mantan Yang DiPertuan Agong dan Mantan Perdana Menteri Malaysia (Pak Lah) telah menerima sendiri 'Memorandum Penubuhan RCI'.

Persoalannya, tidak ada pemimpin Sabah yang benar-benar memperjuangkan isu ini secara ikhlas dan tidak ada rakyat Sabah yang berani bangkit menentang kemungkaran ini sebagaimana tindakan BERSIH di Semenanjung Malaysia melaksanakan serampang empat mata menuntut Reformasi Pilihanraya dan janji Najib melaksanakan Transformasi Politik.

Tanpa kebangkitan semangat dan sokongan jitu rakyat Sabah, RCI tidak ubah sebuah 'Pintomin' atau 'Wayang Opera Cina' yang hanya difahami kelompok tertentu di dalam masyarakat; sedangkan RCI merupakan 'Peperangan Kalah Mati' sebenar di antara yang 'Hak dan Batil!'/~sabahkini.net

1 comment:

  1. bookmarked!!, I really like your site!

    Check out my website :: cellulite treatment reviews

    ReplyDelete

ANDA KOMEN ANDA TANGGUNG

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist