Oleh : MUTALIB M.D
BUKAN
mudah bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk
berkata "TIDAK" kepada desakan rakyat Sabah yang mahukan penubuhan
Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) berhubung kemelut pendatang asing dan
kerakyatan songsang yang membelenggu Sabah selama ini.
Begitu juga dengan
Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong yang pada dasarnya telah
berkenan mencemar duli membaca dan mengkaji memorandum yang dihantar
rakyat Sabah termasuk yang ditandatangani secara bersama oleh Datuk Dr
Jeffrey Kitingan, Datuk Patrick Sindu dan saya sendiri; sekalipun
memorandum berkenaan disampaikan kepada Yang DiPertuan Agong sebelum
Baginda.
Walaupun
telah menggadai nyawa saya untuk membongkar Skandal IC Palsu, IC Projek
dan Pengundi Untuk Disewa; namun saya tidak pernah mendabik dada bahawa
pengorbanan saya selama ini telah berjaya.
Saya
amat berterima kasih kepada Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri (Tun)
Abdullah Ahmad Badawi @ Pak Lah yang telah menerima, mengkaji dan
berbincang secara panjang lebar dengan saya berhubung buku 'IC Projek
Agenda Tersembunyi Mahathir?' sehingga mengarahkan saya dipanggil
memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Pilihankhas Parlimen Mengenai
Integriti yang dipengerusikan oleh Tan Sri Bernard Dompok pada 2006.
Kendatipun
Pak Lah tidak mempunyai kekuatan dan 'Political Will' untuk
mengisytiharkan perang terhadap Skandal IC Projek yang dilaksanakan
dengan jayanya oleh Allahyarham Dato' Seri Megat Junid Megat Ayob; di
bawah 'naungan dan restu' Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir; namun
kesudian Pak Lah mendengar penjelasan saya dan membaca sinopsis kesemua
buku saya sudah memadai.
Kesungguhan
Najib menanggalkan enigma yang menjadi stigma di hati rakyat Sabah
dengan mengisytiharkan penubuhan RCI merupakan 'Political Will' yang
dinantikan selama ini; membuktikan rakyat Sabah dekat di hati Najib.
Sikap
Najib yang suka mendengar, mengkaji, mentafsir dan menterjemahkan isu
PATI dan Kerakyatan Songsang di Sabah ke dalam bentuk tindakan,
sekalipun mungkin hanya membaca buku '007-Lelaki Malaysia Terakhir' dan
'IC Projek-Agenda Tersembunyi Mahathir?' yang saya serahkan sendiri
kepada Pak Lah di Pejabat Perdana Menteri.
Kekuatan
yang ada pada Najib tidak ada pada Dr Mahathir dan Perdana Menteri
selepasnya untuk melakukan transformasi minda dan politik, seiring
melakukan tindakan pantas membentuk RCI sekalipun berbentuk legislatif dan semi-interaktif, namun penuh karismatik.
Walaupun
saya tidak menaruh harapan yang tinggi kepada RCI yang saling tidak
tumpah sebagai aparatus untuk menjinakkan kemarahan rakyat Sabah dan
bimbang dengan kebangkitan kuasa politik luar biasa. Apatah lagi
terkesima dengan tindakan dua Ahli Parlimen BN melakukan tindakan
'Kamikaze' meninggalkan BN yang masih berada di tampuk kuasa; sekalipun
tanpa motif yang jelas.
Memang
jelas terbayang di ruang mata bagaimana berduyun-duyun PATI Filipina,
Pakistan, India, Filipina berbaris di beberapa lokasi di seluruh Sabah
yang direkrut sebagai Pengundi setelah diberi kerakyatan songsang
melalui pintu belakang. Semua ini bukan cerita dongeng dan boleh dibaca
dalam Empat Buku saya iaitu IC Palsu Merampas Hak Anak Sabah; Pengundi
Untuk Disewa; IC Projek-Agenda Tersembunyi Mahathir; 007-Lelaki Malaysia
Terakhir serta melalui Blog Peribadi saya; IC PALSU.
Sekalipun
RCI tertubuh dengan Terma Rujukan yang senang ditebak, namun rakyat
Sabah yang menderita akibat kerakyatan songsang ini mempertikaikan
penubuhan RCI yang hanya mempunyai kuasa untuk menyiasat dan melaporkan
kepada DYMM Yang DiPertuan Agong; namun kes Salman Majid membuktikan
Undang-Undang di Malaysia hanya untuk PATI yang memiliki kad pengenalan
palsu; bukan untuk IC Projek.
Segala
siasatan akan menjurus kepada rujukan terakhir yang disimpan oleh
pengeluar kad pengenalan iaitu Jabatan Pendaftaran Negara (Unit Khas)
dan Jabatan Imigresen yang menyimpan data kemasukan mereka secara sah,
namun mengubah identiti setelah mendapat kad pengenalan.
Sedangkan
rekod saya mendapat Taraf Penduduk Tetap Sabah pada 1974 tidak ada
dalam simpanan Imigresen sehingga menyebabkan saya terpaksa menunggu
selama 23 tahun untuk JPN memasukkan huruf 'H' di Mykad saya; apatah
lagi 'Pelarian Filipina dan Indonesia' atau PATI yang membanjiri Sabah
di era 90-an dan mendapat 'Suaka Politik'?
Tindakan
ini tidak ubah seperti bertanya pencuri apakah mereka mencuri? Mencuri
adalah profesion pencuri. Begitu juga dengan Jabatan Pendaftaran Negara
yang selama ini mencuri kerakyatan Sabah untuk pendatang asing setelah
mereka diarah merekrut PATI sebagai pengundi dalam pelan rampasan kuasa
(coup-de-taat) melalui penyimpangan undang-undang.
Jika
rekod JPN menunjukkan bahawa ADUN Sebatik, Muis Picho adalah pemilik
sah kad pengenalan yang dipegangnya; sekalipun beliau dilahirkan di
Indonesia yang datang bekerja di Sabah; mendapat kad pengenalan merah,
menyerahkan kad pengenalannya setelah mengeluarkan Kumpulan Wang
Simpanan Pekerja dan pulang ke Indonesia.
Muis
kembali semula ke Sabah dan mendapat kad pengenalan biru IC Projek dan
seterusnya MyKad dan akhirnya menjadi ADUN Sebatik yang dilindungi
undang-undang.
Mampukah
RCI mengatasi masalah ini yang melibatkan lebih sejuta orang warga
asing yang diberi MyKad Malaysia; tidak termasuk ratusan ribu Pelarian
Filipina dan Pelarian Indonesia (berbangsa Cina); kebanyakannya telah
memasuki perkhidmatan kerajaan; malah pemegang IC Palsu seperti Arsad
Alwi terus dilindungi oleh Kerajaan Malaysia.
Saya
tidak berniat untuk mempertikaikan 'Political Will' Najib melaksanakan
RCI, namun saya bimbang pemimpin politik di Sabah akan mengalami mimpi
ngeri setiap malam jika Najib dan Kabinet Persekutuan memberi kuasa
lebih kepada RCI untuk menarik kerakyatan songsang yang dimiliki oleh
penyokong tegar ADUN dan Ahli Parlimen BN sejak 'Ops Gembleng'
dilaksanakan pada 1991.
Rakyat
Sabah akan bertepuk sorak jika semua PATI yang mendapat kerakyatan
songsang dilucutkan kerakyatan dan sebagai alternatif dihalau keluar
daripada Sabah atau diberi kad pengenalan merah iaitu penduduk tetap
atau seangkatan dengannya.
Namun
siapakah yang mempunyai kekuatan untuk melaksanakan 'Misi Suci' ini
jika majoriti pemimpin Sabah 'Bacul' dan kehilangan 'Kejantanan' untuk
berjuang demi ibu pertiwi? Malah dalam masa yang sama mereka melindungi
PATI dan terus memberi suaka politik sekalipun PATI berkenaan tidak
memiliki sebarang dokumen pengenalan diri melainkan Sijil Keahlian UMNO?
Mahkamah
di Malaysia tidak akan mampu menjatuhi hukuman terhadap pesalah politik
ini setelah kes Salman Majid menjadi 'Mercu Tanda' Kehakiman di
Malaysia. Lalu siapa lagi yang boleh diharapkan?
Buku
pertama saya, IC PALSU Merampas Hak Anak Sabah yang diterbitkan pada
1999 dan telah dijadikan sebagai Bahan Bukti dalam Petisyen Pilihanraya
Likas dan dibeli oleh Perpustakaan Negeri Sabah sebagai bahan rujukan
penting. Parti Bersatu Sabah (PBS) yang berada di luar BN ketika itu
menggunakan buku berkenaan sebagai modal politik untuk meneruskan
survival mereka.
Presiden
PBS, Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan (Tan Sri) tidak pernah
membeli walau sebuah buku berkenaan yang saya beri percuma kepada
beliau; tetapi menjadikan buku saya sebagai senjata untuk menentang dan
membongkar kejalangan Kerajaan Persekutuan berhubung kerakyatan
songsang; termasuk buku kedua saya Pengundi Untuk Disewa.
Sikap
'Bacul' pemimpin Sabah begitu terserlah kerana membungkus atau menutup
semua kulit buku saya kerana bimbang dicap sebagai 'Penentang Kerajaan'
atau 'Musuh Warga Penyu'.
Semua
parti politik di Sabah, malah PAS di Kelantan, menjadikan semua buku
saya sebagai 'Boomerang' dan melobi kedudukan mereka dalam politik;
namun tidak berani memperjuangkan kebenaran buku berkenaan; sekalipun
Mantan Yang DiPertuan Agong dan Mantan Perdana Menteri Malaysia (Pak
Lah) telah menerima sendiri 'Memorandum Penubuhan RCI'.
Persoalannya,
tidak ada pemimpin Sabah yang benar-benar memperjuangkan isu ini secara
ikhlas dan tidak ada rakyat Sabah yang berani bangkit menentang
kemungkaran ini sebagaimana tindakan BERSIH di Semenanjung Malaysia
melaksanakan serampang empat mata menuntut Reformasi Pilihanraya dan
janji Najib melaksanakan Transformasi Politik.
Tanpa
kebangkitan semangat dan sokongan jitu rakyat Sabah, RCI tidak ubah
sebuah 'Pintomin' atau 'Wayang Opera Cina' yang hanya difahami kelompok
tertentu di dalam masyarakat; sedangkan RCI merupakan 'Peperangan Kalah
Mati' sebenar di antara yang 'Hak dan Batil!'/~sabahkini.net
bookmarked!!, I really like your site!
ReplyDeleteCheck out my website :: cellulite treatment reviews