KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Rakyat Malaysia yang obsesi dengan peristiwa
berdarah 13 Mei 1969 diseru untuk mendengar penjelasan kisah sebenar
dengan fakta mengenai insiden tersebut melalui rakaman eksklusif
bersiri dengan tokoh DAP Lim Kit Siang.
Menurut Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua, siri rakaman eksklusif itu
adalah untuk menepis semua tomahan dan menolak semua fitnah yang telah
dijaja oleh media dan bloger pro-UMNO berhubung DAP dan juga Lim Kit
Siang berkaitan peristiwa berdarah 13 Mei 1969.
“Fitnah yang mendakwa Lim Kit Siang dan DAP sebagai dalang yang
mencetuskan peristiwa lampau tersebut adalah karut dan boleh mengundang
rasa curiga antara kaum,” ujarnya.
Katanya, DAP percaya bahawa tindakan oleh kelompok-kelompok UMNO ini
adalah persediaan akhir sebelum pilihanraya umum ke 13 diadakan, malah
ia merupakan sebagai promosi kepada sebuah filem yang akan ditayangkan
kelak yang dilaporkan mempunyai elemen-elemen hasutan perkauman.
“Tuduhan-tuduhan ini juga digunakan hanya dengan memetik beberapa
kenyataan MAGERAN yang tidak jelas butir laporannya, malah gambar yang
digunakan sebagai bukti juga adalah salah dan tidak benar sama sekali.
“Untuk menjawab segala fitnah ini, DAP telah merakamkan siri rakaman
eksklusif buat semua rakyat Malaysia untuk menjelaskan kedudukan
sebenar atas semua dakwaan palsu oleh media dan bloger pro UMNO,” ujar
Pua.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, rakaman tersebut akan
memaparkan beberapa persoalan yang tidak pernah diberi perhatian oleh
media arus perdana berhubung fakta kejadian dan realiti bahawa Lim Kit
Siang tidak pernah berada atau terlibat dengan mana-mana rapat umum atau
demonstrasi di Kuala Lumpur sebelum, semasa dan selepas peristiwa
berdarah itu.
“Anda semua dialu-alukan menyaksikan siri rakaman ini melalui rangkaian laman web yang disediakan.”
Rakaman ini diterbitkan oleh roketkini.com dan ia mengandungi enam episod yang dimuatnaikkan ke https://www.youtube.com/user/roketkinidotcom dan akan disiarkan di laman-laman rasmi media DAP iaitu:
1. dapmalaysia.org/;
2. ubah.my/;
3. http://roketkini.com/;
4. http://www.therocket.com.my/;
5. https://www.facebook.com/DAPMalaysia ;
6. https://www.facebook.com/roketkini;
7. https://www.facebook.com/therocket.com.my
Bagi Pua, dengan adanya siri rakaman eksklusif ini, ia akan membantu
generasi baru rakyat Malaysia untuk menilai peristiwa ini secara
objektif dan tidak sekali-kali termakan dengan fitnah semberono UMNO dan
konco-konconya.
“DAP amat konsisten bahawa jika UMNO benar-benar ingin menyelak
kembali tragedi ini, maka kita sarankan agar sebuah Suruhanjaya Diraja
ditubuhkan untuk menyiasat secara terperinci dan menyeluruh tentang
peristiwa 13 Mei 1969,” ujar beliau. – Roketkini.com
2 lemas, 1 hilang mandi laut di Papar
1 hour ago