GEORGE TOWN, 9 OGOS: Laporan polis
telah dibuat terhadap lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia, berikutan
berita muka depannya semalam yang memetik pendapat seorang guru pondok
yang mendakwa haram hukumnya bagi orang Islam menyokong DAP.
Laporan polis
tersebut dibuat oleh Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP,
Zairil Khir Johari, bagi meminta pihak polis bertindak ke atas Utusan
kerana menyebarkan hasutan yang boleh menimbulkan ketegangan kaum.
Ia juga bertujuan
mengelak daripada sebarang kekeliruan dan ancaman yang mungkin timbul
akibat daripada tuduhan palsu dan tidak bertanggungjawab oleh Utusan
Malaysia.
Satu lagi laporan polis terhadap Utusan Malaysia atas perkara yang sama dibuat di Ipoh oleh Ketua Pemuda, Wong Ka Woh.
Di dalam kenyataan
medianya hari ini, Zairil berkata, “Walaupun kecewa dengan tindakan
lidah rasmi UMNO, khususnya dalam bulan Ramadan yang mulia ini, saya
pasti bahawa rakyat Malaysia tidak senang termakan dengan umpan hasutan
yang cuba dimainkan oleh Utusan Malaysia.
“Lagipun, suratkhabar milik UMNO ini sudah pun beberapa kali dibuktikan memfitnah oleh mahkamah,” ujar beliau.
Zairil mempersoalkan
asas dakwaan Utusan bahawa kononnya DAP sebuah parti ‘kafir harbi’
sedangkan ia tidak pernah memusuhi mana-mana agama, malah DAP jelas
mendukung agama Islam sebagai agama Persekutuan dan pada masa yang sama
memelihara kebebasan rakyat untuk mengamalkan agama lain selari dengan
peruntukan Perkara 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan.
“Umum
mengetahui bahawa DAP merupakan sebuah parti pelbagai bangsa yang sah
atau “halal” dari segi undang-undang. Perjuangan DAP pula berteraskan
prinsip-prinsip keadilan, ketelusan, kebenaran, kesaksamaan dan
demokrasi, sepertimana yang diperjuangkan parti-parti rakan dalam
Pakatan Rakyat yakni PAS dan Keadilan,” ujar beliau.
Dalam perkembangan
berkaitan, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu wartawan
dalam sidang medianya hari ini bahawa ucapan pemimpin UMNO dan MCA
menentang hudud dan penubuhan negara Islam.
“Kenapa
DAP sahaja yang tidak boleh disokong sedangkan ucapan UMNO dan MCA juga
berada dalam kategori serupa, malah lebih menghina agama?” soal beliau.
Ketua Parlimen DAP
Lim Kit Siang yang turut berada di dalam sidang media tersebut pula
berkata bahawa laporan tersebut adalah amat tidak bertanggungjawab dan
bertujuan menghasut.
Menurutnya rakyat
Malaysia seharusnya disatupadukan, namun Utusan sedang bertindak
sebaliknya dan memperlihatkan bagaimana sebahagian daripada pemimpin
UMNO begitu terdesak dan takut tewas dalam pilihanraya akan datang
sehingga sanggup melakukan taktik kotor dan bahaya.
“Adakah
mereka mahu mencetuskan konflik agama di Malaysia?” kata beliau,
menjelaskan bahawa Malaysia buakn sebuah negara agama (theocracy) dan
DAP menerima Perlembagaan yang menjelaskan bahawa Islam adalah agama
rasmi negara. - Roketkini.com
Lelaki pandu kereta tidak sengaja langgar bekas teman wanita
16 minutes ago