Oleh Mazir Ibrahim
Setelah
Tunku Abd Rahman ditekan kuat oleh ultra Melayu UMNO dan elit-elit
politik Perikatan pada pertengahan 1960-an, maka Singapura ditendang
keluar dari Malaysia.
Apabila Singapura bukan lagi sebuah entiti
yang sah dalam Persekutuan Malaysia, maka secara automatiknya Parti
Tindakan Rakyat (PAP) yang menerajui negeri/negara itu tidak boleh
bergiat aktif lagi dalam Malaysia. Jika ada, maka ia dianggap seperti
pertubuhan haram sama seperti Parti Komunis Malaya (PKM) atau Angkatan
Pemuda Insaf (API) yang telah dilarang wujud oleh penjajah British dan
dipersetujui kemudiannya oleh kerajaan Perikatan.
Selepas
Singapura dipecat keluar dari Malaysia melalui undi Parlimen, sebuah
parti baru ditubuhkan pada 1966 yang dinamakan Parti Tindakan Demokrasi
atau DAP.
Maka bertolak dari idea inilah, UMNO mendakwa DAP
adalah ejen PAP di Malaysia. Sehingga hari ini fitnah ini terus
disebarkan oleh sesetengah pemimpin UMNO dan para pecacai mereka.
Sedangkan
realiti hari ini amat berbeza kerana jika dibandingkan dalam segala
aspek, UMNO di Malaysia adalah hampir sama dengan PAP di Singapura,
walau gayanya sedikit berlainan.
Persamaan antara PAP dan UMNO
Di
Malaysia, UMNO suka memenjarakan musuh politiknya tanpa bicara melalui
Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Undang-undang zalim itu digunakan
untuk menutup mulut pengkritik kerajaan. PAP di Singpura juga
memenjarakan musuh politiknya dengan ISA dan kemudian memanipulasikan
undang-undang dengan cara saman bankrap hingga lawannya hanya tinggal
sehelai sepinggang – tak mampu dan tak layak bertanding buat
selama-lamanya. Pimpinan Singapura dan Malaysia sama-sama kekalkan akta
drakonian, iaitu ISA. Ada beza?
Di Malaysia, UMNO dan Barisan
Nasional mengawal media massa arus perdana, termasuk TV dan radio.
Kerajaan PAP Singapura juga melakukan cengkaman yang sama.
Dalam
erti kata yang lain, kebebasan bersuara dan tuntutan hak tidak mempunyai
banyak ruang akibat pemerintahan autokratik di kedua-dua negara.
Jadi apa pula persamaan antara DAP dan PAP?
Dakwaan
DAP ejen PAP sangat melucukan. Ia tidak berbangkit sama sekali kecuali
dalam minda manusia yang bencikan kaum lain. Kebencian terhadap DAP dan
PAP bukan kerana ideologi tetapi ia adalah hasad dengki terhadap kaum
yang menjadi ahli terbanyak dalam parti-parti tersebut.
Sebenarnya,
jika mahu dikatakan ada persamaan di antara DAP dan PAP, ia boleh
dilihat dari satu sudut sahaja, yakni PAP dan DAP yang menekankan
kecekapan dan ketelusan dalam bidang ekonomi seperti pengurusan
kewangan, tender terbuka dan amalan berasaskan merit.
Malah Pulau
Pinang yang diterajui DAP lebih baik daripada PAP di Singapura kerana
merit yang ditambah pula dengan amalan bantuan kepada golongan yang
memerlukan, khususnya kepada kaum Bumiputera yang berpendapatan rendah.
Justeru, Pulau Pinang bukan sahaja meneruskan Dasar Ekonomi Baru (DEB)
dengan pelaksanaan yang lebih adil dan telus berbanding UMNO-BN yang
dilihat lebih mementingkan kroni daripada usahawan Melayu yang layak.
DAP
yang menerajui kerajaan negeri Pakatan Pulau Pinang mendapat pujian
oleh Jabatan Audit Negara kerana pengurusan kewangan yang bagus.
Transparency International dua kali berturut-turut memuji dasar tender
terbuka di Pulau Pinang.
Di Singapura pula, walaupun PAP
berperangai seperti UMNO dalam soal demokrasi dan hak asasi serta
kebebasan, ekonominya adalah antara yang terbaik di dunia kerana
kecekapan pengurusan ekonomi serta ketegasan membanteras rasuah.
Inilah
persamaan yang ada di antara DAP dan PAP, iaitu dalam soal pentadbiran
awam dan kewangan yang bersih, telus serta anti-rasuah. Dalam soal
politik, tentunya DAP bertentangan dengan PAP kerana DAP mahu kepada
demokrasi yang bersih, kebebasan dan hak asasi dijamin.
Bagaimana membezakan di antara DAP, UMNO dan PAP?
Justeru,
dalam soal demokrasi dan kebebasan, PAP adalah seperti adik kepada
UMNO. Yang serupa di antara UMNO dan PAP ialah undang-undang zalim dan
amalan mengekang kebebasan dan hak asasi, antaranya media yang tidak
bebas dan tindakan undang-undang untuk memastikan pembangkang tidak ada
ruang bersuara.
Sebaliknya, yang ada persamaan di antara DAP dan
PAP pula adalah dasar pentadbiran yang anti- rasuah. DAP amalkan tender
terbuka manakala PAP tidak memberi muka langsung kepada mereka yang
melakukan rasuah, walaupun undang-undang anti-rasuah di antara Singapura
dan Malaysia hampir sama. Yang berbeza ialah penguatkuasaannya.
DAP
dan Pakatan Rakyat berjaya mengurus semua aset yang terhad hingga
berjaya menambah hasil negeri dan menjelaskan hutang kepada kerajaan
persekutuan. PAP pula berjaya menjadikan Singapura sebagai kuasa ekonomi
dunia walaupun tidak mempunyai hasil sumber alam.
Hanya jauhari mengenal manikam
Jadi
berdasarkan perbandingan secara objektif ini, kita sebagai rakyat
Malaysia yang berakal dan berhati budi, termasuk umat Islam yang diajar
supaya jujur, amanah dan beriman, pastinya boleh menilai kembali segala
dakwaan dan fitnah UMNO kepada DAP.
Bagi mereka yang sedar bahawa
dakwaan UMNO adalah fitnah tetapi tetap menerima dan menyebarkannya,
maka jelaslah bahawa semangat assabiyah yang dibajai oleh UMNO ini telah
melumpuhkan akal waras yang telah Tuhan kurniakan kepada kita. Ini
adalah tragedi yang memilukan.
Kini, kita harus memilih sama ada mahu mempercayai pembohongan atau menerima hakikat sebenar. – Roketkini.com
Bunuh rakan senegara, polis buru lelaki Indonesia
27 minutes ago