PENINGKATAN
Kadar Jenayah di Malaysia mula meresahkan semua pihak, terutama orang
awam yang bingung dengan senario bunuh, ragut, cabul, culik dan samun;
sedangkan polis, mantan pegawai kanan polis dan pakar jenayah
menyifatkan senario ini adalah kesan sampingan setelah beberapa akta
kawalan jenayah dimansuhkan tanpa alasan yang munasabah.
Kebimbangan mereka
semakin berasas berikutan wujudnya kumpulan samseng dan mafia di Kuala
Lumpur yang terlibat dengan pelbagai kegiatan jenayah termasuk peras
ugut, rompakan nekad, amok dan serangan mengejut sehingga mengingatkan
mereka terhadap keganasan Botak Chin sekitar 1970-an.
Mungkinkah
kegiatan ini dilakukan oleh kumpulan serpihan Botak Chin atau kumpulan
baru yang melakukan jenayah terancang sejak enam bulan pertama tahun ini
ekoran ura-ura pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan
beberapa akta yang selama ini membuatkan polis 'Kebal' dan 'Kendiri'.
Sebagai teladan, kita renung kembali sejarah jenayah Botak Chin yang mendapat perhatian dunia ketika itu.
Pada
22 November 1975, ketika malam mula berlabuh sekumpulan lelaki
melangkah masuk ke dalam sebuah kereta Datsun hijau. Sebaik enjin
dihidupkan, mereka memandu menyusuri jalan penuh liku di ibu kota Kuala
Lumpur.
Perjalanan
mereka pada malam itu hanya untuk satu tujuan ‘gila’. Daripada situlah
bermulanya satu kisah besar dalam sejarah negara dicatatkan.
Sasaran
mereka adalah sebuah kereta dinaiki pegawai kanan polis, Timbalan Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Deputi Superintendan (DSP) S
Kulasingam.
Sebaik
menjumpai kereta dinaiki pegawai polis itu, mereka mengekori rapat
sambil mengintip peluang yang sesuai untuk melaksanakan tindakan mereka.
Warga kota sekitar Jalan Davis-Jalan Pekeliling, masih meneruskan
kegiatan masing-masing tanpa mengesyaki satu kejadian menggemparkan pada
malam itu.
Setiba
di lampu isyarat Jalan Davis-Jalan Pekeliling, kereta Datsun ber kenaan
bergerak pantas menghampiri kenderaan yang mereka ekori. Sebaik
merapati kenderaan dinaiki pegawai kanan polis itu dan melihat peluang
yang dinanti terbuka luas, 18 tembakan dilepaskan bagi ‘menghapuskan’
Kulasingam.
Dentuman
demi dentuman dilepaskan hingga mengejutkan orang ramai di sekitar
kawasan berkenaan. Matlamat kumpulan lelaki itu hanya satu iaitu
membunuh seorang pegawai kanan polis di tempat terbuka. Bagaimanapun,
tindakan ‘gila’ penjenayah itu gagal berikutan hanya satu das tembakan
mengenai Kulasingam.
Sebaliknya pegawai polis itu masih berupaya memandu ke Balai Polis Cheras, tidak jauh dari lokasi itu.
Keesokannya,
terpampang pada dada akhbar bahawa cubaan membunuh itu gagal. Botak
Chin atau nama sebenarnya Wong Swee Chin, yang mengepalai rancangan itu
naik angin apabila mengetahui musuh ketatnya hanya cedera.
Amarahnya
memuncak mengingatkan kehadiran polis kerap mendatangkan masalah kepada
aktiviti haramnya. Kegiatan mengutip wang perlindungan daripada tempat
perjudian haram sekitar Kuala Lumpur yang dikuasainya cuba dilumpuhkan
pasukan itu.
Kegiatan
rompakan bersenjata dan pembunuhan yang dilakukan menyebabkan dia dan
ahli kumpulan menjadi buruan. Banglo di Bukit Kenny yang disewa dengan
bayaran RM1,200 sebagai tempat persembunyian hanya bertahan selama tiga
hari sebelum polis berjaya menghidu markas baru mereka itu.
Malah,
dia sendiri nyaris ditahan polis pada September tahun itu apabila
kereta curi yang dinaikinya bersama beberapa anggota dikesan pihak
berkuasa itu.
Selepas
dikejar sejauh 3.2 kilometer dan dihujani tembakan polis, kereta itu
berhenti di Segambut Dalam dan Botak Chin segera menyelinap ke kawasan
setinggan. Dalam keadaan kelam kabut, mereka tertinggal sepucuk
revolver.38.
Botak
Chin bersama anggotanya, termasuk seorang yang cedera ditembak berjaya
meloloskan diri dengan merampas sebuah kereta Volvo milik seorang
pegawai bank.
Pada
bulan sama juga, orang kanannya, Chau Kuan (Ah Kuan) ditembak mati di
sebuah kedai runcit di Jalan Kovil Hilir, tetapi kematian tidak
menakutkannya, dia terus melakukan rompakan.
Serangan
mengejut terhadap Kulasingam menyebabkan pihak polis bertekad untuk
menahan dan membasmi jenayah pemuda itu. Lelaki itu berbahaya terhadap
negara. Usianya baru pada awal 20-an tetapi dalam usia smuda itu,
namanya sudah tercatat dalam sejarah jenayah negara sebagai penjenayah
ganas paling dikehendaki. Tindak-tanduknya sentiasa mendatangkan bahaya
yang besar kepada ke amanan negara.
Lalu
satu pasukan khas ditubuhkan polis. Beberapa pegawai polis yang pakar
memburu penjenayah daripada beberapa ibu pejabat polis daerah dipanggil
menganggotai pasukan itu dan tugas mereka adalah menjejak pergerakan
geng Botak Chin, tempat yang sering dikunjungi dan sarang persembunyian.
16
Februari 1976. Selepas beberapa bulan menjejak penjenayah kejam dan
paling dikehendaki itu, akhirnya episod akhir pemburuan polis membawa
mereka ke sebuah kilang papan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
Operasi
besar diatur dan pelan dirangka sebaik mungkin. Polis mula mengepung
kilang berkenaan dan dalam kegelapan malam, mereka menunggu kemunculan
Botak Chin. Detik demi detik berlalu dengan penuh debaran.
Akhirnya,
sebuah kereta Mazda putih masuk ke kawasan kilang. Sebaik berhenti,
tiga lelaki keluar daripada kereta itu dan seorang daripada mereka ialah
suspek buruan, Botak Chin. Penjenayah ganas itu lengkap bersenjata
selain memiliki dua bom tangan.
Langkah
dan perlakuan seperti biasa meyakinkan pihak polis bahawa kumpulan
penjenayah terbabit tidak menyedari kehadiran mereka. Botak Chin tidak
menyedari bahawa kawasan itu sudah dikepung.
Beberapa
pengikut penjenayah itu yang ditugaskan mengawal kawasan kilang
berkenaan masih leka dan selesa dengan aktiviti masing-masing
seolah-olah ketenangan malam itu akan terus dinikmati dengan aman.
Ketika
itulah polis bertindak, empat pasukan menggempur masuk ke kawasan
kilang menyebabkan pengawal leka yang diharap menjadi mata dan telinga
Botak Chin lari lintang pukang meninggalkan ketua mereka dan tempat
persembunyian itu.
Daripada
dalam pejabatnya, Botak Chin dan dua orang kanannya iaitu Beh Kok Chin
(Pangkor Chai) dan Hiew Foo Khen (Ah Keong) yang berasa ‘sesuatu yang
tidak kena’ berlaku di luar mula menyedari mereka sudah dikepung polis.
Beberapa
ketika kemudian, berlakulah pertempuran antara penjenayah dan polis
dengan masing-masing melepaskan tembakan. Polis melepaskan kira-kira 500
das tembakan selain gas pemedih mata dalam drama tembak menembak itu.
Pangkor
Chai dan Ah Keong membalas tembakan selain melemparkan sebutir bom
tangan ke arah polis. Pertempuran begitu sengit dan meruncing.
Dalam
kelam-kabut itu, Botak Chin ditembak pada kaki dan tangan kanan. Dalam
kesakitan, dia merangkak mencari dua pengikut kanannya itu tetapi
mendapati kedua-dua mereka sudah kaku tidak bernyawa.
Babak
keganasan penjenayah itu berakhir apabila Botak Chin yang berada dalam
keadaan tersepit menyerah diri dalam operasi penuh bahaya itu.
Botak
Chin ditahan selama setahun sebelum mengaku bersalah apabila dihadapkan
ke mahkamah terhadap dakwaan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri
(ISA) yang membawa kepada hukuman mati mandatori.
Disebabkan
peguamnya membuat rayuan terhadap hukuman itu hingga peringkat Privy
Council, Botak Chin dibicara semula pada 1 April 1980 tetapi dia tetap
didapati bersalah pada 16 Mei 1980 dan rayuannya kepada Mahkamah
Persekutuan dan Lembaga Pengampunan ditolak.
Ketika
menunggu dihukum gantung, Botak Chin terus menunjukkan sikap ganasnya
apabila menyerang dan mencederakan pegawai penjara termasuk menggunakan
senjata tajam sebanyak dua kali.
11
Jun 1981, kepalanya disarung dengan kain hitam. Dalam kegelapan, dia
dibawa menuju ke satu lokasi dalam Penjara Pudu itu. Botak Chin diminta
berdiri di atas platform dan beberapa ketika kemudian kedengaran gear
ditarik.
Platform
di bawah kakinya terbuka, tubuhnya terjatuh ke bawah, tali gantung
menjerut lehernya sehingga patah dan riwayatnya selaku penjenayah muda
yang ganas dan paling dikehendaki polis akhirnya tamat.
Kronologi Botak Chin: -
Hasil rompakan diguna beli senjata api di Thailand
1967 – Mula terbabit dalam kumpulan Geng 360 di Kuala Lumpur dan melakukan jenayah kecil seperti mencuri.
19 April 1969 – Melakukan rompakan bersenjata pertama bersama tiga rakan.
September
1969 – Memiliki senjata pertamanya revolver .22 lalu menubuhkan geng
sendiri. Melakukan lapan rompakan pada bulan itu tetapi akhirnya ditahan
polis dan dipenjara tujuh tahun.
November
1974 – Dibebaskan daripada penjara. Cuba memulakan kehidupan baru
sebagai insan biasa tetapi pendapatan sebagai penjual sayur tidak
memuaskan hatinya.
April
1975 – Kurang setahun selepas dibebaskan, Botak Chin kembali aktif
dengan menubuhkan geng baru yang dianggotai Ng Cheng Wong (Ah Wong), Beh
Kok Chin (Pangkor Chai) dan Teh Bok Lay (Seh Chai).
Mei 1975 – Pergi ke Thailand dengan bantuan rakan untuk membeli senjata api.
2
Jun 1975 – Merompak RM5,800 daripada sebuah pusat perjudian haram di
Sentul. Hasil rompakan digunakan untuk membeli lapan senjata api dan
peluru di Thailand. Berlatih menembak dengan menjadikan anjing liar
sebagai sasaran di kawasan bekas lombong di Kepong. Semakin berani
apabila mempamerkan senjata api di tempat terbuka iaitu Pasar Sentul.
20
Julai 1975 – Merompak RM95,000 dari sebuah bank di Jalan Imbi, Kuala
Lumpur. Tidak lama selepas itu, beberapa pemain mahjung dirompak
RM10,000 selain barang kemas dan barang berharga di sebuah kuil Cina di
Jalan Kolam Ayer, Kuala Lumpur. Merampas tiga pistol milik tiga anggota
polis. Merampas senjata api milik pengawal keselamatan dalam rompakan
sebuah bar di Sentul. Mencabar sesiapa saja di Kelab Kereta Api Sentul
untuk beradu kehandalan menembak ala koboi dalam rompakan di situ.
26
Oktober 1975 – Rompakan terbesar dilakukannya apabila melarikan
RM218,000 dan menembak pengawal keselamatan yang membawa wang di Kelab
Lumba Kuda. Hasil rompakan sekali lagi digunakan untuk membeli senjata
api di Thailand. Dia kemudian memiliki 19 senjata api, lima bom tangan
dan kira-kira 1,000 peluru. Menyedari kedudukannya sebagai ketua mula
terancam kerana ada yang cuba mencabarnya, Botak Chin bertindak. Ketua
geng Lima Jari Gunung, Tua Pui Lek dan anggota gengnya sendiri iaitu Ah
Wong, kemudian ditemui mati ditembak di kawasan lombong tinggal di
Jinjang. Orang kanannya, Seh Chai, mati membunuh diri selepas dikepung
polis di Jalan Alor. Awal 1976 Botak Chin mengambil anggota baru,
diikuti tiga rompakan dengan wang yang dilarikan kira-kira RM400,000.
Pada masa sama, tujuh orangnya mati ditembak selain ada yang ditangkap.
Polis juga merampas 15 senjata api, peluru dan bom.
22 November 1975 – Cuba membunuh pegawai kanan polis yang memburunya tetapi gagal.
16
Februari 1976 – Ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah kilang di
Kuala Lumpur. Dua pengikut kanannya terbunuh dalam pertempuran dengan
polis.
11 Jun 1981 – Maut di tali gantung di Penjara Pudu.
This comment has been removed by the author.
ReplyDeletepenggantinya ialah 'botak Lee Chin'
ReplyDeletekobe sneakers
ReplyDeletejordan shoes
pg 1
moncler
yeezy boost 350
kyrie 5
kyrie 4 shoes
a bathing ape
kd shoes
curry 8