Oleh : V. Sivakumar
Pakatan Rakyat cukup yakin bahawa Barisan Nasional akan tumbang
sekali lagi di Perak selepas BN kalah kali pertama dalam pilihan raya
umum ke-12 pada Mac 2008.
Dalam PRU13 akan datang, Pakatan Rakyat mempunyai peluang untuk
menang dengan majoriti kerusi yang lebih besar. BN telah membuat
kesilapan besar merampas kuasa rakyat di negeri Perak pada tahun 2009.
Politik kotor BN
Undang-undang Tubuh Negeri Perak, Perlembagaan Persekutuan dan
Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri Perak telah dibelakangkan oleh BN
dalam kerakusannya untuk berkuasa kembali.
Pelbagai muslihat dan politik kotor telah dilakukan oleh Barisan
Nasional. Mereka telah memperalatkan Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya
Pilihan Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, mahkamah dan
beberapa agensi kerajaan yang lain untuk merampas mandat yang diberikan
oleh rakyat kepada Pakatan Rakyat.
BN juga telah merampas kuasa dengan menggunakan kekerasan polis dan
samseng. Selain daripada itu, politik wang juga telah digunakan untuk
tumbangkan kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat. BN tidak menghormati
sistem demokrasi yang berteraskan ‘kerajaan yang dipilih oleh rakyat’.
Kerajaan Perak yang ada hari ini adalah kerajaan yang ditentukan oleh
mahkamah.
Rakyat Perak sedar akan semua tindak-tanduk BN dalam menggulingkan
kerajaan Pakatan Rakyat Perak. Rakyat Perak tidak diberi peluang untuk
menilai polisi-polisi dan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat.
Rakyat puas hati dengan 11 bulan PR Perak
Kerajaan pilihan rakyat hanya berkuasa selama 11 bulan. Tempoh itu
adalah terlalu singkat untuk menentukan sejauh manakah kecekapan dan
keberkesanan kerajaan Pakatan Rakyat berbanding dengan BN. Sebelum
Pakatan Rakyat dapat membuktikan kewibawaannya, kerajaan itu dirampas
dengan cara yang tidak demokratik.
Rakyat Perak juga berpuas hati dengan beberapa polisi kerajaan
Pakatan Rakyat Perak seperti geran kekal untuk kampung-kampung tersusun
dan kampung-kampung baru di seluruh negeri. Banyak lagi polisi-polisi
kebajikan yang telah dirancang tidak dapat dilaksanakan dengan
sepenuhnya.
Rakyat Perak merasakan bahawa BN tidak adil dan terlalu gila kuasa
sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk kembali berkuasa. Sudah
pasti rakyat Perak akan memberi satu pengajaran kepada BN dalam PRU13
nanti.
Krisis dalaman BN Perak
Tambahan pula, BN juga sudah hilang genggaman di Perak. Krisis
dalaman UMNO, MCA dan MIC juga sudah memuncak kebelakangan ini.
Pemimpin-pemimpin mereka tahu bahawa BN akan tumbang sekali lagi di
Perak.
Saya pasti Menteri Besar yang tidak dipilih oleh rakyat, Datuk Seri
Zambry Abdul Kadir, juga sedar bahawa keadaan BN hari ini seperti
‘duduk dalam duri, bersandar di batang renggas’.
Pakatan Rakyat Perak sudah bersedia untuk mengambil alih kerajaan
Perak bila-bila masa apabila pilihan raya umum diadakan. Pimpinan
Pakatan Rakyat Perak cukup yakin bahawa rakyat akan memberi peluang
sekali lagi untuk melaksanakan polisi-polisi yang berjiwa rakyat. –
Roketkini.com
Penulis adalah Timbalan Pengerusi DAP Perak merangkap ADUN Tronoh
Kaki pelancong terpaksa dipotong semasa berkayak
2 hours ago