Sunday, 13 May 2012

Panel siasatan dan Hanif hanya untuk tutup keganasan polis, pertahan fitnah BN?


KUALA LUMPUR, 12 MEI: DAP memutuskan untuk memboikot sepenuhnya “panel penasihat bebas” untuk menyiasat keganasan sewaktu perhimpunan Bersih 3.0 selagi Tun Hanif Omar menjadi pengerusi atau ahli panel tersebut  kerana beliau telah pun bersikap berat sebelah kerana anti-Bersih 3.0.

Bekas Ketua Polis Negara itu yang terlibat dalam Operasi Lalang 1987 apabila menahan lebih 100 pemimpin politik, kesatuan sekerja dan NGO tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)  sewaktu pemerintahan Dr Mahathir Mohamad, telah secara terbuka menuduh Bersih 3.0 didalangi komunis, dan perhimpunan aman pada 28 April lalu didakwanya sebagai usaha untuk menjatuhkan kerajaan (secara kekerasan).

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, tuduhan Hanif bahawa Bersih 3.0 diresapi komunis bukan sahaja tidak berasas, malah tidak masuk akal kerana jika ia dianggap ancaman, kerajaan Malaysia tidak akan menandatangani perjanjian damai dengan Parti Komunis Malaya pada 2 Disember 1989.

Beliau menjelaskan, Hanif bagaimana pun menolak desakan banyak pihak supaya tidak menyertai panel tersebut atas alasan kononnya beliau sentiasa bertindak adil dan tidak memihak dalam siasatan-siasatan sebelum ini.

“Persoalannya sekarang bukanlah sama ada beliau pernah bersikap adil dan tidak berpihak sebelum ini atau bukan kerana beliau bekas Ketua Polis Negara. Kegagalan besarnya ialah beliau sudah pun menunjukkan sikap menentang Bersih dengan menuduh ada penyokong komunis terlibat.

“Beliau juga menyokong tuduhan Perdana Menteri Najib Razak bahawa perhimpunan Bersih adalah usaha untuk menjatuhkan kerajaan. Dengan membuat kenyataan liar sedemikian, beliau sepatutnya menjadi saksi kepada panel siasatan itu, dan bukannya sebagai ahli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan memberi contoh bahawa jika sebuah panel ditubuhkan untuk membincangkan sama ada lesen perlu diluluskan atau tidak untuk sesebuah syarikat judi, Hanif tidak layak untuk menyertai panel itu kerana beliau ada konflik kepentingan.

Ini adalah kerana Hanif sebagai Timbalan Pengerusi Genting, sebuah korporat besar Malaysia yang terlibat dengan perjudian, akan menjadi salah seorang yang berpihak apabila membuat keputusan, tambah beliau.

Sehubungan dengan itu, Guan Eng berkata, DAP menyokong cadangan jawatankuasa pemandu Bersih bahawa panel tersebut sepatutnya disertai oleh:

* Pelapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Frank La Rue yang menawarkan diri untuk menyiasat;
* Rakan La Rue dari PBB, iaitu Maina Kiai; dan
* Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang ditubuhkan oleh kerajaan sendiri.

“DAP juga bersetuju dengan pandangan Majlis Peguam bahawa panel penasihat yang ditubuhkan kerajaan itu tidak ada banyak rangka perundangan dan tidak menawarkan perlindungan undang-undang untuk mereka yang terlibat, di samping tidak mempunyai kuasa perundangan untuk memanggil atau mengeluarkan sepina (subpoena) saksi atau bukti-bukti dokumen,” tambah beliau.

Menurutnya, sebab-sebab tersebut serta kehadiran Hanif dalam panel itu telah menimbulkan kebimbangan rakyat terhadap siasatan panel tersebut yang mungkin hanya akan:

* “Membersihkan” keganasan polis terhadap satu perhimpunan aman;
*  “Menutup” tentang penderitaan dan sengsara mangsa keganasan polis; atau
* “Menghalalkan” pembohongan liar BN bahawa Bersih 3.0 adalah percubaan untuk menjatuhkan kerajaan. – Roketkini.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Blog Pro PR (1)