Oleh: Fairuz Azhan
Berulang-ulang kali kita mendengar daripada kem Barisan Nasional
bahawa mereka memerlukan majoriti yang besar untuk menjadi sebuah
kerajaan yang ‘kuat’. Mengapa? Kerana ia akan membolehkan mereka berbuat
sesuka hari sebagaimana yang telah dilakukan sejak beberapa dekad lalu.
Bukan sahaja di Malaysia, tetapi di serata dunia kita dapat melihat
apa yang akan terjadi jika sebuah kerajaan itu terlampau besar dan
‘kuat’. Stalin, Hitler, Mao Zedong dan yang seangkatan dengannya juga
telah berdakwah tentang bertapa pentingnya sebuah kerajaan yang ‘kuat’
dan kita tahu bagaimana keadaan dalam negara tersebut.
Adakah kerajaan yang ‘kuat’ boleh menjadi kerajaan yang baik?
Dalam sebuah kerajaan yang ‘kuat’ sedemikian, rakyat hilang suara dan
kuasa; yang paling berkuasa adalah mereka yang di tampuk kuasa yang
menghalalkan segala-galanya atas nama rakyat, termasuk mempergunakan
kaum, agama dan ‘kebangsaan’.
Pada hari ini UMNO-BN memegang rekod dunia untuk parti pemerintah
yang ‘dipilih’ oleh rakyat paling lama di dunia. ‘Pilihan’ rakyat itu
dibuat melalui pilihan raya yang tidak adil, kotor dan berat sebelah d
mana agensi kerajaan dan media massa dipergunakan sepenuhnya untuk
berkempen bagi pihak parti pemerintah.
Hasilnya, lama kelamaan ia berjaya mempengaruhi dan lebih teruk,
,mengawal segala institusi-institusi penting negara tanpa sebarang
imbangan adil atau ‘check and balance’.
Masih ingatkah kita dengan krisis kehakiman pada tahun 1988 yang amat
memualkan dan menjijikkan di mana pimpinan negara memecat dan
mempermainkan hakim-hakim besar demi kepentingan politik mereka?
Masih ingatkah kita dengan penyalahgunaan undang-undang zalim seperti
ISA yang digunakan terhadap pesaing politik semata-mata kerana UMNO-BN
tidak mampu menjawab hujah dengan hujah?
Semua ini berlaku kerana kerajaan pada ketika itu terlalu ‘kuat’.
Kerajaan menang pilihan raya secara kotor dan tidak adil, kemudian
menggunakan kemenangan besar yang dipaksakan itu untuk melakukan
kezaliman. Rakyat hidup dalam ketakutan dan terpaksa merelakan
penyelewengan, salah guna kuasa, perkauman dan sebagainya.
Apabila rakyat memberi ruang kepada pembangkang
Hari ini kita melihat pelbagai ‘reformasi’ dan ‘transformasi’ sedang
dilakukan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak – ada yang serius,
ada yang main-main, ada pula yang merupakan muslihat politik. Apa pun
Najib terpaksa melakukannya akibat kuasa pembangkang yang semakin kuat
di Parlimen yang mewakili tuntutan dan aspirasi rakyat.
Tidak seperti UMNO-BN yang mahukan penentangan yang minima di Dewan
Rakyat dan juga menggunakan segala muslihat jelik untuk menutupi segala
penyelewengan dan skandal, Pakatan Rakyat telah berikrar bahawa mereka
mahukan sebuah pembangkang yang kuat.
Maka tidak mustahil, dengan kesedaran dan kehendak rakyat, UMNO-BN
perlu bersedia untuk menjadi pembangkang yang kuat dalam pilihan raya
umum akan datang. Sudah tiba masanya untuk kita mengembalikan semula
keluhuran proses demokrasi di negara kita.
Bila UMNO-BN menjadi pembangkang…
Pertama, sudah tiba masanya UMNO-BN menjadi pembangkang yang baik
untuk menghargai peranan tersebut. Kita dapat lihat pada hari ini
hegemoni kepartian yang amat ketara di Parlimen hasil pemerintahan kuku
besi yang diamalkan BN.
Amalan hari ini menunjukkan setiap Ahli Parlimen hanya boleh
menyokong dan tidak boleh membangkang apa-apapun yang dikemukakan oleh
pimpinan parti mereka di Parlimen. Sesiapa yang mempunyai pendapat
sendiri atau cuba membawa pandangan para pengundi kawasan wakil rakyat
itu yang bertentangan dengan pendirian UMNO-BN, Ahli Parlimen itu akan
dikenakan tindakan disiplin.
Kedua, sekiranya UMNO-BN menjadi pembangkang, barulah mereka akan
lebih menghargai dan menghormati peranan pembangkang dalam sistem
kerajaan dan demokrasi di mana mereka benar-benar membawakan isu-isu
rakyat, dan bukannya untuk kepentingan diri, keluarga dan kroni.
Jika dahulu mereka mengamalkan rasuah daripada akar umbi hingga pucuk
pimpinan tertinggi, mereka bukan sahaja tidak boleh melakukan rasuah
menggunakan wang rakyat, tetapi terpaksa membongkarkan pula rasuah dalam
kerajaan baru, jika ada penyelewengan dan salah guna kuasa.
Dan untuk memenangi hati dan minda rakyat, mereka harus menjauhi
rasuah dan mesti dilihat bersih untuk memenangi semula hati rakyat yang
telah menolak mereka.
Ketiga, dengan menjadi pembangkang, barulah UMNO-BN benar-benar dapat
muhasabah diri untuk berubah. Kerana kita lihat sejak 2004 apabila
UMNO-BN berjanji untuk berubah, ia bukan sahaja di takok lama, malah
penyelewengan, salah guna kuasa dan keangkuhan semakin menjadi-jadi
hingga hari ini. Semuanya itu kerana UMNO-BN masih merasa diri hebat di
puncak kuasa.
Bersihkan Malaysia
Sistem demokrasi memang ada sedikit-sebanyak cacat-celanya kerana ia
boleh melahirkan pemerintahan kuku besi kumpulan majoriti atau ‘tyranny of the majority’
tetapi dalam amalan hari ini, demokrasi yang matang sudah pun
melahirkan nilai-nilai tambahan seperti kebebasan, keadilan, hak asasi,
peluang saksama, keadilan sosial dan pelbagai jaminan hak untuk
memastikan kumpulan majoriti tidak menindas minoriti.
Pada hari ini kerajaan UMNO-BN terlalu berkuasa sehingga wang rakyat
menjadi milik sang penguasa dan lebih teruk lagi maruah negara ini
telah digadai dan dikhianati. Demi mengekalkan kuasa politik, beratus
ribu kad pengenalan dikatakan telah diberikan kepada warga asing.
Dulu masalah ini hanya di Sabah sahaja di bawah ‘Projek IC’ yang
telah didokumenkan secara lengkap. Namun ia masih cuba disembunyikan
oleh kerajaan pusat UMNO-BN. Hari ini masalah itu telah menular ke
Semenanjung. Malah, perhimpunan aman BERSIH yang telah diadakan dan akan
terus dilakukan antara lain bertujuan menghapuskan amalan keji ini.
Jika kita sayangkan negara ini, tiada cara lain untuk membersihkan
dan menyelamatkan Malaysia, UMNO-BN harus dijadikan pembangkang selepas
PRU13.
DAP bersama Pakatan Rakyat tidak akan mengharamkan UMNO-BN, jauh
sekali melakukan kezaliman-kezaliman untuk membalas dendam. Dengan
perkataan lain, Pakatan tidak mahu mengulangi sejarah perit menjadi
UMNO-BN yang menekan rakyat sendiri.
DAP bersama Pakatan Rakyat sedar peranan pembangkang teramat penting
dalam sistem demokrasi untuk memastikan keluhuran dan idealismenya
dilaksanakan bagi memastikan kerajaan pusat dapat mentadbir dengan baik
dan adil. – Roketkini.com
Wanita terjatuh tingkat 24 ditemui tersangkut di gondola
16 minutes ago
LAWAN TETAP LAWAN!!!! TAKBIRRR!!!!! ALLUAKBAR!!!!!
ReplyDelete