Kita sedia maklum bahawa April Fool bukanlah budaya kita, tetapi ia merupakan budaya yang dibawa masuk dari Barat. Dan ISLAM juga sangat-sangat melarang ummatnya melakukan perbuatan menipu dengan sengaja, walau dalam bentuk apa sekalipun, samada dalam bentuk gurauan ataupun bukan.
Mari kita lihat beberapa pendapat `ulama muktabar berkaitan isu April Fool ini:
1) Shaikh Dr. Yusuf al-Qaradawi:
Beliau menyebutkan bahawa menipu adalah satu sifat yang buruk. Ia tidak layak diamalkan oleh manusia yang berakhlak dan beriman. Bahkan ia adalah satu petanda kemunafikan. Ini kerana Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:
“Orang munafik mempunyai tiga ciri: Dia menipu, tidak menepati janji, dan tidak menunaikan amanah.” [HR al-Bukhari dan Muslim]
Rasulullah sallAllahu Alaihi Wassalam memberikan amaran ke atas perbuatan menipu dengan tujuan menghiburkan manusia. Baginda sallallahu `alaihi wasallam bersabda:
“Kecelakaan ke atas sesiapa yang menipu untuk menghiburkan manusia, kecelakaan ke atasnya, kecelakaan ke atasnya.” [HR Abu Daud, at-Tirmizi, dan an-Nasai’e]
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam juga bersabda:
“Seseorang itu tidak dikira benar-benar beriman hinggalah dia meninggalkan penipuan yang bertujuan untuk bergurau dan meninggalkan berdebat walaupun dia membawa kebenaran.” [HR Ahmad dan At-Thabrani].
Sebahagian hadis Nabi sallallahu `alaihi wasallam turut memberikan amaran ke atas umat Islam daripada menakutkan orang lain sama ada secara serius mahupun bergurau. Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:
“Tidak dibenarkan seseorang menakutkan seorang Muslim.” [HR Abu Daud]
Oleh kerana itu, menipu adalah dilarang di dalam apa bentuk pun. Sambutan ini (hari April Fool) adalah dilarang kerana empat sebab:
- Larangan menipu yang sudah termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah.
- Kesedihan dan ketakutan yang tidak berasas (yang disebabkan penipuan itu) yang mungkin boleh menimpa seseorang mahupun kesemua ahli keluarganya walaupun hanya untuk satu jam.
- Pengkhianatan ke atas kepercayaan yang diberikan.
- Meniru budaya buruk yang bukan milik kita, iaitu penipuan.
2) Shaikh Atiyyah Saqr:
Adalah menjadi kesepakatan kesemua agama dan akal yang waras bahawa kejujuran itu satu kebaikan, dan penipuan adalah lawannya. Untuk menyatakan kebenaran, kata-katamu hendaklah menerangkan realiti, sedangkan untuk menyatakan penipuan adalah dengan menyampaikan apa yang bercanggah dengan apa yang kamu katakan mahupun lakukan. Seburuk-buruk pendustaan adalah sumpah yang palsu, bahkan itu adalah satu bentuk kemunafikan.
Penipuan adalah dilarang kecuali ia dilakukan dalam keadaan dharurat. Di dalam kes tersebut, kaedah “dharurat menjadikan yang haram harus” digunakan. Dharurat hanya boleh diambil apabila tiada pilihan lain. Salah satu bentuk penipuan yang dibenarkan ialah apa yang kita panggil sebagai helah, iaitu menggunakan perkataan yang membawa lebih daripada satu maksud. Umat Islam mungkin boleh mengambil pemahaman yang positif daripada penafsiran perkataan (yang mempunyai dua makna) tersebut.
Diriwayatkan bahawa penipuan dibenarkan untuk memberikan manfaat, bukan untuk melakukan kerosakan. Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:
“Seseorang yang mendamaikan di antara dua insan dan berkata perkara yang baik, walaupun ia tidak benar, bukanlah seorang penipu.” [HR al-Bukhari dan Muslim].
Ummu Kalsum binti ‘Uqbah turut berkata, di dalam tambahan lafaz ke atas hadis itu, “Aku tidak pernah mendengar Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam membenarkan menipu kecuali di dalam tiga situasi; ketika perang, untuk mendamaikan di antara dua pihak yang bertelagah, dan perbualan biasa antara suami isteri.” Apa yang dimaksudkan dengan perbualan biasa antara suami isteri ialah untuk meredakan kesusahan di dalam kehidupan. [Islamonline.net]
3) Shaikh Shalih Fauzan:
Di dalam laman islamqa.com fatwa nombor: 10834, beliau menyatakan bahawa:
Penipuan adalah tidak dibenarkan langsung, pada bila-bila masa sahaja. Bahkan adalah tidak dibenarkan untuk meniru orang kafir dan menjadi seperti mereka, sama ada pada hari ini (hari April Fool), mahupun pada hari-hari yang lain. Ini kerana Rasulullah sallAllahu `alaihi wassalam bersabda:
“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia sebahagian daripada mereka.”
Berdasarkan fatwa-fatwa di atas, kita akan mendapati bahawa budaya April Fool jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang menuntut umat Islam sentiasa bersifat jujur.
Muslimin/muslimat sekalian,
Jika tanpa melihat fatwa dan pandangan ulama pun, kita sedia maklum bahawa amalan menipu melanggar etika seorang manusia yang bermoral. Tiada satu pun manusia yang normal fikirannya yang suka atau rela dia ditipu.
Apatah lagi ditambah lagi dengan komen-komen para ulama yang disertakan hadith-hadith Nabi sallAllahu `alaihi wasallam yang melarang kita menipu, maka ternyatalah bahawa tradisi April Fool ini wajar dihentikan dan ditinggalkan oleh mereka yang selalu menyambutnya, walau untuk tujuan bergurau! (Ketiga-tiga pendapat ulama di atas telah saya petik dari laman sebuah laman blog, terima kasih.)
Mudah-mudahan peringatan ini bisa membuka minda dan menyedarkan kita semua betapa ISLAM adalah agama yang sejahtera dan mensejahterakan. Larangan ini bagi menjaga hak setiap jiwa manusia agar tidak teraniaya.
Sekadar menyampaikan,