.

Friday, 3 February 2012

PAS Memerintah Sabah ?

Oleh : Nazri Abdullah

Ada orang politik tidak berani membicarakan politik yang dia wakili kerana terlalu taat kepada pucuk pimpinan. Sementara, ada juga di pihak lain yang beraninya tidak dapat disembunyikan. Kemudian, wujud lagi orang-orang politik yang terlalu taksub dengan parti sehingga jika ada orang lain yang memperkatakan tentang partinya, amukannya bukan alang-alang. Waktu itu, apa saja yang diperkatakan orang luar berkaitan parti ikutannya, semua dikata dan dilihat tidak benar, fitnah dan bohong belaka.

Sampai suatu tahap, ada yang sudah berani menghalalkan yang haram semata-mata mahu mencapai kemenangan sekali gus memastikannya terus berada di takhta pimpinan, sementara orang-orang bawahan yang mempertahankannya pula selepas itu, akan terus mendapat jawatan dan imbuhan. Mereka ini sanggup menyembunyikan kekufuran demi kepentingan peribadi masing-masing. Inilah penyakit manusia yang telah, masih dan akan terus berlaku dalam mana-mana politik ; UMNO, PAS, PKR, DAP, LDP, PBS, PBRS, SAPP dan lain2 . Kini, penyakit ini sangat subur dan kemungkinan sukar dihapuskan.

Politik bukan harta warisan yang boleh diperturunkan dari generasi ke generasi sehingga pertikaiannya bagai mempertahankan nasab keturunan semata-mata mahu mendapat hak mutlak. Ini kenyataan yang harus sentiasa kita ingat. Hakikatnya, politik adalah milik rakyat. Disebabkan pemilikan inilah siapa saja rakyat yang sah dan berkelayakan memilih, mengundi dan memangkah, mereka juga layak membincang, melontar buah fikiran hatta mengkritik mana-mana bahagian yang cacat.

PAS Sabah adalah fokus saya kali ini. Skop catatan berkisar antara politik dan dakwah. Sebelumnya, saya telah nyatakan bahawa PAS Sabah gagal atas dasar demokrasi kerana sejak PAS melebarkan sayapnya ke Sabah, hingga kini ia belum menguasai satu kawasanpun disebabkan rakyat tidak memberi kemenangan padanya. Jika menurut senario ini, apakah PAS itu tidak baik?

Secara peribadi, saya berpendapat, ia bukanlah kerana PAS itu kurang baik atau tidak baik tetapi pakejnya kurang menarik dan belum mampu mempersona hati rakyat. Inilah puncanya yang bakal menyebabkan kegagalan PAS di bumi Sabah. Gagal, gagal, dan gagal lagi. PAS kena menerima ini dengan berlapang dada di samping berusaha mencari satu kaedah dan formula untuk menambahbaik pakej PAS di Sabah.

Jika PAS bersungguh dan memberi perhatian hal ini, di samping gerak kerja berterusan, tidak mustahil dalam jangka masa 5, 10 atau bertahun-tahun akan datang PAS Sabah bakal mendapat kerusi malahan akan mampu memerintah Sabah. Persoalannya, bagaimana mahu mencapai matlamat ini dan siapa pula penerajunya? Saya pasti, berdasarkan pengalaman, PAS lebih tahu dan arif mengenai hal ini.

Syukur alhamdulillah, kita tidak nafikan kewujudan beberapa markas PAS di beberapa tempat serata Sabah. Hal ini disokong lagi dengan penubuhan beberapa sekolah dan Tadika PASTI malah standard pengajian sekolah-sekolah ini bertaraf sekolah rendah dan sekolah tahfiz. Namun, jika dinisbahkan dengan keluasan negeri Sabah, sumbangan PAS dari sudut ini belum dapat dibanggakan kerana masih kurang menampung keperluan dakwah di negeri ini.

Begitu jugalah dari sudut kedatangan para ustaz dan ustazah dari semenanjung yang ditugaskan ke sekolah-sekolah di seluruh Sabah. Mereka juga ramai, bahkan barangkali nisbahnya hampir sama dengan guru-guru agama tempatan. Sebahagian mereka sangat-sangat komited hatta terlibat langsung dengan dakwah masyarakat sekitar tetapi sebahagian yang lain aktif terlibat dengan perniagaan dan masa mereka tidak dipergunakan sebahagiannya untuk berdamping dengan masyarakat Sabah khususnya masyarakat pedalaman.

Seharusnya mereka pergunakanlah peluang ini. Kalaupun tidak menang dalam pilihan raya, tapi sekurang-kurangnya menang menawan hati masyarakat sekitar sehingga akhirnya mereka dapat menerima Islam sebagai agama mereka. Inilah kemenangan hakiki yang akhirnya bakal membantu kemenangan pilihan raya kelak. Hanya saja kesan kerja ini tidak boleh dilihat dalam jangka pendek 5 atau 10 tahun, tetapi lebih kepada jangka panjang, mungkin 50 tahun ke atas.

Pondok-pondok pengajian agama sedia ada di semenanjung juga seharusnya dibuka cawangan sebanyak mungkin di Sabah. Kejahilan masyarakat terhadap agama adalah antara penyumbang PAS ditolak di negeri ini. Akhirnya, lebih baik jangan bermimpi teriakan takbir bakal menawan satu DUN atau MP Sabah. Pun, apalah guna kita menawan beberapa undi tetapi pengundi-pengundinya masih jahil bahkan ada yang tidak tahu solatpun.

Semangat perjuangan semata-mata tidak akan menjanjikan seseorang itu selamat dunia dan akhirat. Mahu atau tidak, perkara pokok wajib dilaksanakan. Saya kira pandangan peribadi ini sedikit sebanyak membuka akal fikiran kita khususnya PAS Sabah agar berusaha menambahbaik pendekatan demi menarik lebih ramai penyokong PAS di masa akan datang.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist