.

Monday 13 February 2012

‘Jangan halang Nik Aziz tanding PRU13 jika masih mampu’ kata Harussani

KUALA LUMPUR, 12 Feb — Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yakin Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih mampu untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13, menambah agar jangan mempersoalkan kelebihan Mursyidul Am PAS itu.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan sebelum ini mengumumkan akan menyertai pilihan raya umum ke-13 walaupun didesak berundur oleh Umno.


Pemimpin veteran PAS berusia 81 tahun ini mula bertanding sejak pilihan raya umum 1967 dan mengetuai pentadbiran Kelantan selepas pilihan raya umum 1990 sehingga kini.

Menurut Harussani, Nik Aziz (gambar) masih mampu untuk meneruskan perjuangan Islam walaupun dianggap “sudah terlalu uzur” untuk terus melibatkan diri dalam arena politik negara.

“Masalah perjuangan tidak kira umur, kalau beliau (Nik Aziz) mampu untuk teruskan mengapa perlu dihalang?

“Walaupun beliau lebih berusia daripada saya tetapi saya sudah tidak mampu untuk menyertai politik...saya juga tidak larat untuk melawat kawasan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Justeru Harussani menegaskan semua pihak termasuk pemimpin Umno tidak mempersoalkan kesediaan Nik Aziz untuk terus terlibat dalam politik dan pilihan raya umum ke-13.

“Selagi beliau mampu (untuk berpolitik), itu terpulang kepada beliau,” katanya.

Akhbar rasmi Umno, Utusan Malaysia minggu lalu menyifatkan kesediaan Nik Aziz untuk terus bertanding pada pilihan raya umum ke-13 membuktikan beliau tidak memahami realiti bahawa sudah uzur.

Mengambil contoh umur Nik Aziz, akhbar milik Umno itu mendakwa pemimpin berusia 81 itu masih “ghairah untuk berkuasa” walaupun sudah memimpin Kelantan selama empat penggal atau lebih 21 tahun.

“Tidak sangka dalam keadaan yang agak uzur, Nik Aziz masih mahukan jawatan tersebut. Khabarnya, hendak menyampaikan taklimat kepada beliau juga sukar atas masalah pendengaran dan fikirannya yang tidak lagi tajam,” kata akhbar itu dalam ruangan Awang Selamat./TMI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist